Tuesday 13 September 2011

Kesan pandatang asing (SPM)


Kesan-kesan kemasukan buruh Asing Di Malaysia

Penghijrahan buruh asing untuk mencari rezeki di Malaysia telah menimbulkan berbagai-bagai kesan baik, kesan positif mahupun kesan negatif. Kebanjiran pekerja asing dari negara jiran terutamanya dari Indonesia, Filipina, Bangladesh dan Pakistan ke Malaysia sesungguhnya telah mendatangkan kesan dari segi ekonomi dan dari segi sosial. Jumlah pekerja asing kini dianggarkan kira-kira 2.5 juta orang atau lebih kurang 10% daripada 28juta orang penduduk Malaysia. Rusuhan yang pernah dicetuskan oleh pekerja Indonesia di depot tahanan Pekan Nenas, Johor dan sebuah kilang di Nilai beberapa tahun dahulu sehingga sanggup membakar bangunan dan merosakkan kenderaan polis telah membuka mata pihak pemerintah akan risiko yang terpendam selama ini. Setelah menyedari hakikat itu, kerajaan telah mengambil beberapa langkah khususnya operasi pembersihan untuk mengurangkan jumlah buruh asing sehingga hanya merangkumi kira-kira 5% daripada jumlah penduduk Malaysia.

Salah satu kesan positif berikutan kemasukan buruh asing itu ialah kemasukan buruh asing yang banyak boleh dijadikan sebagai satu sumber tenaga kerja yang dapat menjana ekonomi negara. Misalnya, sektor perladangan dan sektor pembinaan di negara ini sukar untuk beroperasi jika ketandusan tenaga pekerja asing. Hal ini demikian kerana rata-ratanya rakyat tempatan yang semakin tinggi cita rasanya sebagai akibat peningkatan taraf hidup memang menganggap kerja-kerja dalam sektor-sektor berkenaan sebagai kerja bawahan. Serentak dengan itu, memang tidak dapat dinafikan juga bahawa sebahagian daripada pembangunan pesat yang dinikmati oleh negara kita sebelum kegawatan ekonomi 1997-1998 telah ’disambungkan’ oleh kebanjiran pekerja asing. Sekiranya kita lebih peka, akan kita akuri hakikat bahawa pekerja Indonesialah yang menyabung nyawa di puncak bangunan, menaikkan kepingan konkrit dan ada kalanya mengorbankan nyawa untuk membina bangunan-bangunan tinggi yang tersergam indah dan menjadi kebanggaan negara seperti Menara Kembar Petronas dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Namun begitu, kebanjiran buruh asing telah meruncingkan masalah pengangguran dalam kalangan rakyat tempatan. Seperti yang kita maklumi, zaman ini zaman globalisasi. Kebangkitan kuasa ekonomi baru terutamanya negara China dan India telah memberi saingan yang hebat kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana ( PKS ) tempatan yang gagal meningkatkan produktiviti mereka. Sebagai akibat, majikan tempatan yang ingin mengurangkan kos pengeluaran pula akan terus memberikan keutaman kepada pekerja asing yang kononnya kurang cerewet, tidak menutut gaji yang tinggi dan sanggup bekerja dalam tempoh masa yang lebih panjang jika dibandingkan dengan pekerja tempatan. Serentak dengan itu, dilaporkan bahawa pendatang-pendatang asing khusunya rakyat indonesia juga menjalankan perniagaan secara haram di negara kita. Contohnya, siasatan telah menunjukkan bahawa lebih kurang 40% daripada 35000 gerai berlesen yang dikhususkan untuk penjaja tempatan khasnya Melayu di Lembah Klang telah ”diambil alih” oleh pendatang asing. Lantaran itu, tidak keterlaluan jika kita mengatakan bahawa ”periuk nasi” anak tempatan turut dirampas oleh buruh asing.

Jika kita tinjau dari segi ekonomi, kebanjiran buruh asing yang tidak terkawal juga didapati akan menggoyah kemantapan ekonomi negara yang masih menjalani pengukuhan. Hal ini demikian kerana apabila buruh asing bekerja dalam sektor perladangan, sektor pembinaan atau dalam sektor-sektor lain, mereka akan mendapat upah. Lazimnya, mereka tidak membelanjakan upah yang diperoleh di negara ini. Sebaliknya, sebahagian daripada pendapatan mereka akan dihantar ke negara asal mereka bagi menampung hidup keluarga masing-masing. Perangkaan menunjukkan bahawa kira-kira RM 6 billion telah mengalir keluar setiap tahun sebagai ekoran pengiriman wang ke negara asal masing-masing oleh lebih daripada 2.5 juta orang pekerja asing yang meliputi warga Indonesia, Pakistan, Filipina, Myanmar dan Bangladesh. Sehubungan dengan itu, setiap tahun kerajaan juga dapati mebelanjakan lebih RM 2 juta untuk membiayai makanan pedatang tanpa izin dalam tahanan. Hal ini nescaya akan menjejaskan imbangan pembayaran negara dan seterusnya membantutkan segala usaha murni kerajaan dalam mengembalikan ekonomi negera ke landasan yang sewajarnya.

Kemasukan buruh asing secara tidak terkawal juga menjadi ’duri dalam daging’ yang mencetuskan pelbagai masalah sosial dan mengancam ketenteraman masyarakat setempat. Pekerja-pekerja asing terutamanya pendatang-pendatang tanpa izin yang masuk ke negara kita telah mewujudkan perkampungan sendiri yang terasing daripada penduduk tempatan. Misalnya, mereka telah didapati membina petempatan setinggan dengan meneroka tanah rizab kerajaan secara haram. Laporan menunjukkan bahawa Kampung Pandan Dalam yakini petempatan asing terbesar di Lembah Klang telah dihuni lebih kurang 6000 orang pendatang tanpa izin. Hal ini akan mewujudkan ketidaksefahaman malah ketegangan antara pedagang tanpa izin dengan penduduk tempatan. Sejajar dengan itu, ada setengah-setengah buruh asing yang berani mempersenda undang-undang dan adat setempat dengan membabitkan diri dalam pelbagai jenayah seperti pergaduhan, rompakan, perogolan, pelacuran, perjudian dan pembunuhan. Masalah-masalah sosial itu bukan sahaja membimbangkan penduduk tempatan malah membebani kerajaan dalam usaha pembendungan.

Selain membabitkan diri dalam pelbagai jenayah, kebanjiran burh asing juga mengancam kesihatan rakyat Malaysia secara tidak langsung. Hal ini demikian kerana kajian menunjukkan bahawa Malaysia yang telah disahkan bebas daripada beberapa jenis penyakit berbahaya seperti tibi dan sifilis kini diserang semula penyakit-penyakit tersebut. Aliran perkembangan yang meresahkan ini pula berlaku kebetulnnya sejak negara kita mula menerima kemasukan buruh-buruh asing untuk mengisi kekosongan dalam pelbagai sektor pada awal 90-an. Walaupun secara teorinya buruh asing yang datang ke negara ini secara sah atau mempunyai permit diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan, namun hakikatnya banyak buruh asing yang didapati telah melakukan penipuan tentang status kesihatan mereka terutamanya warga Indonesia. Sebagai contohnya, mereka didapati membawa pelbagai penyakit berbahaya seperti sifilis, tibi, malaria, barah, kusta, Aids dan Hepatitis B. Oleh sebab itu, apabila rakyat tempatan bercampur gaul dengan buruh asing yang membawa penyakit berbahaya, sudah pasti penyakit tersebut mudah menjalar kepada rakyat tempatan.

Kesimpulannya, memandangkan begitu banyaknya kesan negatif yang ditimbulkan oleh kemasukan buruh asing, syor kerajaan untuk membekukan pengambilan pekerja asing atau menyahkan pekerja-pekerja terutama pekerja Indonesia yang menyalahgunakan keterbukaan pihak berkuasa memang dialu-alukan. Lantaran itu. ”sebelum kudis menjadi tolok”, pijak berkenaan khususya jabatan imigresen dan pihak Polis perlu memperketat pengawasan di perairan negara dan pintu masuk ke Malaysia serta menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada. Seiring dengan itu, kita perlu sedar bahawa kita tidak boleh bergantugn kepada rakyat asing untuk  selama-lamanya. Usaha-usaha yang terancang perlu untuk mengelakkan Malaysia daripada dimanipulasi oleh orang-orang luar. Atas kesedaran itu, semua pihak baik kerajaan mahupun swasta harus menggembleng tenaga dan merangka stategi yang ampuh lagi bersepadu untuk menangani masalah ini sampai akar umbinya agar tidak sampai ”kera di hutan disusui sementara anak di rumah mati kebuluran”.!

No comments:

Post a Comment