Tuesday, 13 September 2011

Pelbagai pihak telah mengetengahkan pandangan yang berbeza berhubung dengan masalah penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar. Pada pendapat anda, terangkan kesan buruk pelajar sekolah menggunakan telefon bimbit (PMR)


Kini, penggunaan telefon bimbit dalam kalangan masyarakat negara kita termasuk dalam kalangan pelajar sekolah sudah menjadi satu keperluan semasa. Isu murid sekolah membawa dan menggunakan telefon bimbit di sekolah bukanlah isu baru. Baru-baru ini, Kementerian Pelajaran telah mengharamkan penggunaan telefon bimbit di sekolah oleh pelajar. Menurut Menteri Pelajaran, penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar sekolah banyak mendatangkan kesan negatif.
            Penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar sekolah mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran. Hal ini berlaku kerana pelajar-pelajar yang telalu ghairah menghantar pesanan ringkas (SMS) tidak memberikan tumpuan semasa guru sedang mengajar di dalam kelas. Keadaan ini ditambah pula
dengan adanya mod senyap dalam telefon bimbit yang pasti membolehkan pelajar melanggar peraturan sekolah tanpa disedari oleh guru. Kesukaran guru untuk mengawal disiplin pelajar di dalam bilik darjah
sudah tentu akan mengakibatkan masalah kemerosotan akademik dalam kalangan pelajar.
         Selain itu, penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar sekolah mengundang pelbagai masalah sosial. Hal ini demikian kerana pelajar-pelajar sering menggunakan telefon bimbit berkamera untuk
merakamkan perbuatan yang tidak senonoh. Pada masa yang sama, bahan-bahan yang tidak sewajarnya ditatap oleh pelajar sekolah disebarkan dengan lebih mudah dan cepat. Perkara ini sudah tentu akan menghalang usaha pemupukan nilai-nilai murni dalam jiwa generasi muda selaras dengan cabaran
Wawasan 2020.
         Daripada segi kewangan, masalah pelajar sekolah menggunakan telefon bimbit membebankan ibu bapa. Dalam hal ini golongan ibu bapa yang berpendapatan rendah amat  merasai beban apabila anak-anak mendesak ibu bapa membelikan mereka telefon bimbit. Lebih-lebih lagi, fenomena pembaziran wang berlaku apabila kebanyakan remaja suka menukar telefon bimbit  mereka mengikut kecanggihan dan
peredaran zaman. Di samping itu, tempoh percakapan yang panjang kerana berbual-bual kosong dengan rakan sudah pasti menggandakan bil telefon setiap bulan dan seterusnya meningkatkan beban ibu bapa lagi.
         Sebagai kesimpulan, penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar sekolah lebih banyak
mendatangkan implikasi buruk. Justeru, dalam usaha manangani isu ini ibu bapa harus memberikan
kerjasama padu kepada pihak sekolah.

Gejala merokok dalam kalangan pelajar sekolah semakin berleluasa. Huraikan punca-punca remaja terjebak dalam gejala merokok. (PMR)


Merokok merupakan perbuatan yang memudaratkan kesihatan kita. Tabiat merokok pada masa ini telah menjadi gaya atau budaya hidup remaja di negara kita. Remaja kita sekarang sudah berani merokok di tempat-tempat awam tanpa segan-silu seperti pusat beli- belah, perhentian bas, kedai-kedai makanan,
sekolah dan taman-taman rekreasi.
               Kebanyakan remaja kita terbabit dalam gejala merokok kerana tekanan. Tekanan dalam diri
remaja berpunca daripada bebanan tugasan sekolah, harapan tinggi ibu bapa, persediaan ke arah
peperiksaan, kesuntukan masa, masalah kewangan, masalah keluarga dan masalah percintaan. Keadaan ini menyebabkan remaja sentiasa dalam ketakutan, keresahan, kebingungan dan kebosanan. Tekanan dan gangguan emosi ini mendesak para remaja mencari jalan untuk menenangkan jiwa sehinggalah mereka terjebak dalam gejala merokok.
            Selain itu, perasaan ingin tahu dan ingin cuba yang tinggi dalam diri remaja menyebabkan mereka suka merokok. Remaja yang mendengar bahawa orang dewasa suka merokok kerana amalan ini
memberikan ketenangan, keseronokan dan kepuasan telah mendorong remaja untuk mencuba. Perasaan ingin cuba bertukar menjadi ketagih akan rokok apabila berasa seronok dan ada kelainan dalam gaya hidup remaja. Remaja bermula dengan sehari sebatang rokok dan lama-kelamaan meningkat kepada sehari
sekotak.
            Pengaruh rakan sebaya juga mendorong remaja merokok. Ada antara remaja kita yang sanggup merokok semata-mata untuk memelihara ikatan persahabatan. Tambahan pula, sepanjang alam
persekolahan remaja dipaksa merokok  supaya diterima masuk sebagai anggota sah dalam sesebuah geng. Oleh sebab, sejak di bangku sekolah lagi para remaja sering berdepan dengan rakan-rakan yang merokok maka remaja turut menjadi perokok.
              Sebagai kesimpulan, perbuatan merokok menyebabkan ketagihan. Hal ini wajar ditangani dengan segera kerana kebanyakan remaja yang terlibat dalam gejala penagihan dadah dan menghidu gam
berpunca daripada amalan merokok.

Gejala ponteng sekolah dalam kalangan pelajar menjadi isu hangat dalam masyarakat kita. Bincangkan punca-punca berlakunya gejala ponteng sekolah dalam kalangan pelajar negara ini. (PMR)


Isu pelajar terlibat dalam gejala ponteng sekolah bukanlah isu baru. Baru-baru ini, gejala ponteng sekolah dalam kalangan pelajar kita mendapat perhatian serius pihak media massa apabila para pelajar sering berkeliaran di tempat-tempat yang tidak sewajarnya pada waktu persekolahan dalam pakaian seragam. Lazimnya, gejala ponteng sekolah sering berlaku di bandar-bandar besar dan kini, tidak kurang pula pelajar luar bandar terlibat dalam gejala ini.
Gejala ponteng sekolah dalam kalangan pelajar berpunca daripada kealpaan ibu bapa. Ibu bapa yang terlalu sibuk dengan kerjaya mereka menyebabkan remaja hilang perhatian dan dan kasih sayang. Keadaan ini mendorong remaja sering mencari rakan sehingga remaja terdorong untuk ponteng sekolah supaya mereka dapat menghabiskan masa dengan melepak bersama-sama dengan rakan di tempat-tempat yang tidak sepatutnya. Di samping itu, remaja juga ponteng sekolah kerana masalah keluarga. Pergaduhan dan penceraian dalam kalangan ibu bapa mengakibatkan remaja mengalami gangguan emosi dan fikiran remaja berkecamuk memikirkan masalah keluarga. Keadaan ini menyebabkan mereka hilang minat belajar dan mula ponteng sekolah.
              Selain itu, kemunculan pusat hiburan bagai cendawan tumbuh selepas hujan menyuburkan gejala ponteng sekolah lagi dalam kalangan pelajar kita. Kafe siber dan pusat permainan video yang begitu banyak di kawasan bandar termasuk pekan-pekan kecil sering dijadikan medan pertemuan para remaja. Pelajar-pelajar kita yang disogokkan dengan wang saku berlebihan oleh ibu bapa mendorong mereka mengunjungi kafe siber dan pusat hiburan. Ketagihan akan internet dan permainan video ini akan mendorong remaja untuk ponteng sekolah. Para pelajar yang seronok melayari internet dan melepak di pusat hiburan akan menghabiskan masa berjam-jam sehinggalah tamat waktu persekolahan.
              Kelemahan dalam pelajaran juga adalah antara faktor pelajar terlibat dalam gejala ponteng
sekolah. Lazimnya, pelajar-pelajar yang lemah dalam pelajaran menangguhkan kerja sekolah dan tidak membuat sebarang persediaan untuk pelajaran yang akan datang. Keadaan ini mengakibatkan mereka
banyak ketinggalan dalam pelajaran dan berasa bosan duduk di dalam kelas. Pada masa yang sama, mereka sering dimarahi oleh guru dan dikenakan tindakan disiplin. Oleh itu, untuk melarikan diri daripada bebanan tugasan sekolah dan hukuman, pelajar-pelajar kita mengambil jalan mudah dengan ponteng
sekolah.
             Sebagai kesimpulan, gejala ponteng sekolah dalam kalangan pelajar akan mengheret mereka
terlibat dalam masalah sosial yang lebih berat seperti gengsterisme, penagihan dadah dan jenayah kekerasan. Pihak polis, ibu bapa dan pihak sekolah harus berganding bahu seperti aur dengan tebing dalam usaha menangani masalah ini dengan kadar segera. 

Berikan pendapat anda tentang kebaikan kelas tuisyen kepada pelajar sekolah. (PMR)


Memang tidak dapat dinafikan bahawa pusat tuisyen di negara ini bertambah dengan pesat bagai, cendawan tumbuh selepas hujan. Sejak kebelakangan ini, kelas tuisyen sudah menjadi sebahagian
daripada budaya warga pelajar kita. Seseorang pelajar mengganggap dirinya tidak lengkap tanpa menghadiri kelas tuisyen. Dengan ini, tidak keterlaluan jika dikatakan pusat tuisyen merupakan sekolah kedua untuk para pelajar pada hari ini.
Dengan menghadiri kelas tuisyen, para pelajar mempersiapkan diri mereka ke arah peperiksaan. Hal ini demikian kerana mereka mendapat bimbingan intensif bagi setiap mata pelajaran daripada guru-guru tuisyen. Guru-guru tuisyen dapat memberikan tumpuan yang lebih dan mengukuhkan pemahaman para
pelajar kerana bilangan pelajar di dalam kelas tuisyen adalah kecil. Oleh itu, guru tuisyen mudah untuk
menyelesaikan masalah dan kekaburan yang dihadapi oleh pelajar.
Selain itu, pelajar sekolah sekarang sering dibebankan dengan pelbagai tugasan seperti folio dan kerja kursus sehingga mereka tidak sempat untuk mengulang kaji pelajaran. Pelajar-pelajar sewajarnya membuat ulang kaji secara konsisten untuk mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan. Jadi, kelas tuisyen dapat memberikan peluang untuk para pelajar menelaah pelajaran. Mereka juga dibimbing menerusi kaedah latih tubi bagi membiasakan diri dengan bentuk soalan peperiksaan sebelum menduduki
peperiksaan sebenar.
Pelajar-pelajar yang menghadiri kelas tuisyen juga berpeluang untuk menambahkan kenalan baru. Hal ini berlaku kerana kebanyakan pelajar di dalam kelas tuisyen datang dari sekolah yang berlainan. Perkara ini membolehkan seseorang pelajar berkenalan dengan lebih banyak pelajar dan seterusnya
mewujudkan komunikasi sihat dalam kalangan pelajar. Mereka bertemu, berbincang dan berkongsi
maklumat tentang pelbagai perkara. Keadaan ini sudah tentu dapat menambah pengetahuan para pelajar di samping mewujudkan persaingan sihat dan perpaduan antara pelajar.
Sebagai kesimpulan, kewujudan pusat tuisyen lebih  banyak mendatangkan manfaat kepada para pelajar. Walau bagaimanapun, pertumbuhan pusat tuisyen di negara kita harus dipantau oleh pihak
berkuasa dari masa ke masa agar mutu pengajaran serta bimbingan selaras dengan matlamat untuk
melahirkan pelajar cemerlang.

Kegiatan kokurikulum merupakan aktiviti wajib bagi semua pelajar. Bincangkan kepentingan kegiatan kokurikulum kepada pelajar. (PMR)


Kerajaan sentiasa mengemaskinikan sistem pendidikan negara ini untuk melahirkan golongan
pelajar yang pintar dan berketerampilan. Sesungguhnya, sekolah juga berfungsi untuk membentuk pelajar yang berdisiplin dan bertanggungjawab terhadap masyarakat serta negara. Untuk mencapai matlamat ini, kerajaan telah merancang kegiatan kokurikulum sebagai pelengkap bagi kurikulum yang sedia ada. Kegiatan kokurikulum ialah kegiatan yang dilakukan oleh pelajar di luar bilik darjah selepas waktu
persekolahan. Kegiatan kokurikulum dibahagikan kepada tiga kumpulan aktiviti iaitu aktiviti persatuan,
pasukan beruniform dan sukan. Pelajar-pelajar sekolah diwajibkan menyertai satu atau lebih daripada satu kegiatan-kegiatan tersebut.
Sebenarnya, kegiatan kokurikulum ini amat penting untuk melahirkan insan kamil seperti yang
dituntut dalam Wawasan 2020. Matlamat utama Falsafah Pendidikan Negara adalah untuk melahirkan insan yang seimbang daripada segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Selaras dengan keperluan negara,
sekolah bukan sahaja perlu melahirkan pelajar yang intelek malah pada masa yang sama sekolah perlu membekalkan pelajar yang sihat, produktif dan berperibadi mulia. Untuk mencapai matlamat ini,
Kementerian Pelajaran Malaysia telah mewajibkan kegiatan kokurikulum bagi semua pelajar.
Kegiatan kokurikulum juga membantu pihak sekolah mempermudah dan mempercepat proses
penerapan nilai murni dalam kalangan pelajar. Nilai-nilai masyarakat seperti kerjasama, bertolak ansur,
bertimbang rasa, saling menyayangi, hormat-menghormati dan adil dapat disemai dalam jiwa pelajar melalui kerja berpasukan yang merintis peluang ke arah permuafakatan dan seterusnya perpaduan masyarakat. Justeru, pihak sekolah harus memastikan setiap pelajar di sekolah melibatkan diri secara aktif dalam kegiatan kokurikulum.
Di samping itu, nilai kepemimpinan dapat dipupuk apabila pelajar bergiat cergas dalam kegiatan kokurikulum. Kegiatan kokurikulum yang lebih berbentuk kerja berpasukan memberikan peluang kepada pelajar-pelajar untuk mengendalikan aktiviti-aktiviti secara berkumpulan. Pelajar-pelajar membuat keputusan sebulat suara sesama sendiri untuk merancang dan mengendalikan kegiatan-kegiatan persatuan dan badan beruniform mengikut kebolehan serta kemahiran mereka. Jadi, jelas terbukti bahawa kegiatan kokurikulum dapat mengasah nilai kepemimpinan dalam diri pelajar kerana pelajar hari ini ialah bakal pemimpin negara hari esok.
Tambahan pula, kegiatan kokurikulum yang memadatkan kehidupan harian pelajar membolehkan pelajar menghabiskan masa lapang mereka dengan kegiatan yang berfaedah. Pembabitan pelajar dalam kegiatan seumpama ini membantu mereka menghindari gejala sosial yang memalu dan merugikan masyarakat serta negara. Kegiatan kokurikulum yang dijalankan di sekolah banyak memberikan penekanan kepada pembinaan sahsiah dan peribadi mulia dalam kalangan pelajar.
Penglibatan pelajar dalam pelbagai kegiatan persatuan dan sukan dapat membentuk minda yang cerdas dan fizikal yang cergas. Kegiatan kokurikulum seperti sukan dan permainan yang merupakan satu bentuk latihan fizikal mampu melahirkan pelajar yang sihat, kuat, aktif, agresif serta bebas daripada
ancaman penyakit. Kesihatan diri merupakan asas penting untuk mencapai kesejahteraan hidup,
pembangunan diri dan agen terpenting dalam proses pembangunan negara.
Sebagai kesimpulan, kegiatan kokurikulum memainkan peranan penting dalam usaha
menyempurnakan matlamat wawasan pendidikan negara ini serta pembangunan diri para pelajar.
Kepentingan kokurikulum tidak boleh dipertikaikan lagi oleh mana-mana pihak memandangkan sumbangan kegiatan kokurikulum yang tidak ternilai kepada pelajar, bangsa dan negara. Tidak keterlaluan jika dikatakan kegiatan kokurikulum menjadi asas kepada pembangunan industri sukan di negara ini.

Dalam usaha mengejar kekayaan dan kemewahan masyarakat sering mengabaikan soal kesihatan. Terangkan cara-cara menjaga kesihatan. (PMR)


Penyakit berjangkit yang kian merebak di negara kita jelas membuktikan rakyat Malaysia tidak menghargai kesihatan diri. Sesungguhnya, kesihatan ialah aset pembangunan diri, keluarga dan negara. Gaya hidup yang kita amalkan sangat mempengaruhi tahap kesihatan. Kita perlu sedar bahawa hidup tanpa penyakit ialah kehidupan yang sangat bermakna.
Amalan pemakanan yang sihat dan seimbang sangat penting untuk menjaga kesihatan. Kita perlu mengamalkan pengambilan makanan berkhasiat yang mengandungi karbohidrat, protein, vitamin dan
mineral. Sayur-sayuran, buah-buahan dan hasil tenusu perlu diutamakan dalam amalan pemakanan harian kita. Sebaliknya, makanan segera seperti Pizza Hut, ayam goreng KFC, burger, ‘hot dog’ dan mi Maggi yang banyak mengandungi bahan kimia dan pengawet perlu dielak. Di samping itu, kebersihan daripada segi penyediaan makanan penting untuk menjamin kesihatan.
Selain itu, senaman perlu dilakukan untuk membina fizikal yang cergas. Semua menyedari hakikat bahawa badan yang cergas membina minda yang cerdas. Sebaik-baiknya, kita perlu memperuntukkan masa sekurang-kurangnya 20 minit setiap hari untuk melakukan aktiviti yang dapat mengeluarkan peluh. Aktiviti fizikal perlu dijadikan budaya hidup seharian supaya kita dapat menikmati kebahagiaan hidup tanpa penyakit bak kata pepatah sediakan payung sebelum hujan.
Pada masa yang sama, rehat dan tidur yang cukup penting untuk menjaga kesihatan. Rehat dan tidur yang cukup mempengaruhi keupayaan dan kecergasan seseorang. Orang yang tidak mempunyai rehat dan tidur yang cukup cepat berasa letih dan mudah jatuh sakit. Justeru, kekuatan tubuh badan dan
kecergasan fizikal setiap individu dalam masyarakat sangat penting untuk meningkatkan produktiviti negara.
Sebagai kesimpulan, kita perlu menghayati maksud cogan kata ‘Mencegah Lebih Baik daripada
Mengubati’ dalam kehidupan seharian kita. Setiap anggota masyarakat harus menjalani pemeriksaan
perubatan sekurang-kurang dua kali setahun untuk mengekalkan kualiti kesihatan kita.

Masalah pencemaran alam sekitar di Malaysia bertambah serius. Bincangkan punca-punca pencemaran alam sekitar di Malaysia. (PMR)


Alam merupakan anugerah Tuhan yang amat berharga kepada rakyat semua negara di dunia ini. Malangnya, hari demi hari alam mengalami pencemaran dan pemusnahan yang berterusan. Pencemaran alam sekitar menjadi isu sejagat yang kian membimbangkan masyarakat dunia.
             Perkembangan sektor perindustrian sebenarnya telah dikenal pasti sebagai punca utama
berlakunya pencemaran udara. Pembakaran bahan-bahan api seperti arang batu dan petroleum yang mengeluarkan asap tebal berwarna hitam mencemarkan udara. Fenomena ini bertambah buruk apabila
pihak pengilang tidak memasang alat penapisan pada corong-corong asap. Di samping itu, pembuangan sisa-sisa toksik ke dalam sungai oleh sektor perkilangan menyebabkan sungai-sungai di negara kita terus tercemar.
Selain itu, pencemaran alam terutamanya pencemaran udara turut berlaku kerana penggunaan kenderaan bermotor. Asap kenderaan yang mengandungi gas karbon monoksida mencemari udara semasa pembakaran diesel dan petrol. Kegiatan pembakaran yang berleluasa juga menimbulkan pencemaran alam. Pelupusan sampah-sampah mengikut kaedah pembakaran terbuka di tanah lapang menghasilkan asap
tebal dan gas beracun. Pada masa yang sama, pembakaran hutan untuk kegunaan projek-projek
pembangunan juga menimbulkan pencemaran udara yang serius.
Pencemaran alam sekitar juga disebabkan kurangnya kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat. Perbuatan anggota masyarakat membuang sampah di merata-rata tempat bukan sahaja mencacatkan
keindahan negara malah mengotorkan persekitaran kita. Masyarakat  yang membuang ribuan tan sampah sehari tanpa memikirkan jalan untuk melupuskan sampah menyebabkan kediaman kita seolah-olah dalam longgokan sampah. Keadaan seperti ini sudah tentu menimbulkan bau yang kurang menyenangkan serta mendedahkan masyarakat kepada penyakit berjangkit.
Sebagai kesimpulan, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan undang-undang yang tegas
terhadap pihak yang melakukan pencemaran alam sekitar. Kesedaran orang ramai untuk melindungi dan memelihara alam sekitar sangat penting dalam usaha menangani masalah pencemaran alam sekitar.