Tuesday 13 September 2011

Berbelanja secara berhemat ialah satu sikap yang patut diamalkan oleh setiap anggota masyarakat. Huraikan kepentingan amalan berjimat cermat. (PMR)


Peribahasa Melayu yang berbunyi ingat sebelum habis jimat sebelum kena jelas menggambarkan betapa pentingnya sikap berjimat dalam kehidupan rutin kita. Menurut Kamus Dewan, berjimat cermat
bermaksud sikap tidak boros ketika berbelanja. Sifat ini perlu ada dalam diri setiap anggota masyarakat.
             Amalan berjimat cermat sebenarnya dapat membantu kita menghadapi waktu kesusahan. Kita perlu berjimat supaya wang simpanan masih ada. Hari esok jika kita susah kerana bersara ataupun kehilangan pekerjaan, dengan wang yang ada bolehlah kita menyelesaikan segala masalah dengan tenang. Hal ini
sudah tentu mengelak kita daripada amalan berhutang.
Sikap berjimat cermat juga dapat menggandakan wang simpanan kita. Wang simpanan ini               bolehlah kita gunakan untuk menampung kos pendidikan anak-anak kita kelak. Sebagaimana yang sedia kita maklum kos belajar semakin meningkat pada masa ini. Dengan adanya wang simpanan yang banyak kita dapat menghantar anak-anak kita melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Amalan berjimat mengajar kita hidup menabung. Lazimnya wang lebihan kita akan kita simpan di bank. Wang simpanan itu bukan sahaja memberikan dividen malahan wang kita juga dilaburkan oleh pihak kerajaan dalam pembiayaan projek-projek pembangunan negara. Hal ini bermakna kita memberikan
sumbangan dalam proses pembangunan negara.
Berjimat sebenarnya selaras dengan tuntutan agama. Agama melarang kita bersikap boros yang boleh membawa kepapaan. Dengan wang simpanan yang ada kita dapat membantu ahli keluarga dan
anggota masyarakat yang hidup dalam kesusahan pada bila-bila masa. Bantuan ini secara tidak langsung membawa kita melibatkan diri dalam kerja amal dan aktiviti kebajikan.
Sebagai kesimpulan, amalan berhemat berbelanja merupakan amalan yang mulia dan                  bertanggungjawab yang seharusnya menjadi budaya masyarakat kita. Amalan ini harus dipupuk oleh ibu bapa dalam jiwa anak-anak sejak kecil lagi bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya.

1 comment: