Tuesday 13 September 2011

Berikan pendapat anda tentang cara-cara untuk menceriakan kawasan sekolah. (PMR)


Sekolah merupakan tempat kita belajar dan menuntut ilmu. Alam sekitar yang kondusif akan
mempengaruhi pelajar menelaah pelajaran dalam suasana yang seronok. Setiap pelajar akan berasa selesa jika persekitaran sekolahnya bersih dan ceria. Oleh itu, pihak sekolah perlu mengambil tindakan yang
sewajarnya untuk menceriakan kawasan sekolah.
Salah satu tindakan untuk menceriakan kawasan sekolah adalah dengan mengadakan program gotong-royong. Aktiviti gotong-royong ini harus diadakan secara berkala untuk membersihkan kawasan
sekolah. Dalam hal ini, seisi warga sekolah harus melibatkan diri supaya mereka memahami mesej dalam peribahasa yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing. Pada waktu sama, kerja dapat disiapkan dengan cepat dan mudah.
Pihak sekolah juga wajar mengadakan taman bunga untuk meningkatkan keceriaan sekolah. Usaha ini dapat dijayakan dengan mengadakan program ‘Sekolah dalam Taman’. Dalam hal ini,
pelajar-pelajar sekolah menanam pokok-pokok bunga dan tumbuh-tumbuhan hijauan di kawasan
sekolah. Untuk menjayakan hasrat ini, pihak pentadbiran sekolah boleh membina kolam ikan, pondok
bacaan dan pancuran air seperti air terjun sebagai daya tarikan yang menakjubkan. Dengan ini,
persekitaran sekolah menjadi lebih nyaman dan berudara segar.
Selain itu, pertandingan kelas terbersih perlu diadakan pada setiap minggu. Dalam hal ini setiap pelajar akan menjalankan tugas masing-masing untuk membersihkan kelas mereka seperti mengelap
cermin tingkap, menyapu lantai dan membalut meja murid dan guru. Untuk memastikan pelajar-pelajar
tekun menjalankan tanggungjawab, guru bertugas perlulah memantau dan menilai kebersihan kelas pada setiap hari. Kelas terbersih dan terkotor patut diumumkan dalam perhimpunan mingguan untuk menaikkan semangat para pelajar.
Sebagai kesimpulan, seluruh warga sekolah hendaklah bekerjasama untuk menceriakan
kawasan sekolah seperti bukit sama didaki, lurah sama dituruni. Hubungan erat antara guru, pelajar dengan kakitangan sekolah seperti isi dengan kuku penting untuk menentukan persekitaran sekolah yang bersih dan ceria.

1 comment:

  1. ckg..... boleh saya dpt krngn KEPENTINGAN SUNGAI(SPM)....., ada yg ckg meramalkan krngn tersebut untuk spm .... tq.... (PELAJAR SMC SPM).

    ReplyDelete