Tuesday 13 September 2011

Kejayaan seseorang pelajar dalam peperiksaan bergantung pada kerajinannya. Berikan pendapat anda. (PMR)


Setiap pelajar yang berusaha dengan bersungguh-sungguh mengharapkan kejayaan dalam peperiksaan. Kejayaan dalam peperiksaan ini amat penting supaya pelajar dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Dalam hal ini, kejayaan seseorang pelajar boleh ditentukan oleh beberapa
faktor.
             Kejayaan dalam peperiksaan sering dikaitkan dengan usaha yang dilakukan oleh seseorang. Hal ini tidak dapat disangkal lagi dan terbukti dengan pengakuan yang dibuat oleh pelajar-pelajar yang berjaya. Mereka telah berjaya dalam peperiksaan hasil kerajinan dan usaha gigih mereka. Sebagai contoh, Nor Amalina Che Bakri yang mendapat 17A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia telah mendedahkan usaha yang dilakukannya untuk berjaya dalam peperiksaan. Kejayaannya membuktikan kerajinan amat penting untuk seseorang pelajar mencapai kejayaan bak kata pepatah kalau tidak dipecahkan ruyung
manakan dapat sagunya.
Walau bagaimanapun, kejayaan seseorang bukan sahaja bergantung pada kerajinannya.               Seseorang pelajar juga memerlukan bimbingan dan panduan untuk berjaya. Untuk menghadapi
peperiksaan, pelajar memerlukan bimbingan daripada seorang guru. Oleh itu, terdapat pelajar yang
mengikuti kelas tambahan untuk mendapat keputusan yang cemerlang dalam pelajaran. Hal ini perlu
dilakukan kerana pelajar memerlukan pengajaran yang sistematik daripada seorang guru. Dengan adanya bimbingan dan panduan, kerajinan seseorang pelajar akan lebih berkesan.
Selain itu, pelajar juga memerlukan sokongan material untuk mencapai kejayaan dalam
peperiksaan. Hal ini demikian kerana pelajar memerlukan buku rujukan dan bahan bacaan tambahan seperti buku kerja, buku rujukan, kamus, surat khabar dan majalah untuk mengulang kaji pelajaran.  Pelajar juga memerlukan tempat belajar yang selesa dan peralatan untuk menulis dan mengira. Segala kemudahan ini tidak dapat disediakan seandainya pelajar tidak mendapat sokongan material daripada ibu bapa atau penjaga mereka. Kerajinan seseorang pelajar akan lebih bermakna jika pelajar mempunyai segala
kemudahan yang diperlukan.
Sokongan moral juga tidak kurang pentingnya untuk seseorang pelajar berjaya dalam               peperiksaan. Pelajar memerlukan sokongan moral dalam bentuk pujian dan kasih sayang daripada ibu bapa serta guru. Tanpa kasih sayang, emosi para pelajar akan terganggu. Akibatnya, mereka tidak dapat
menumpukan perhatian kepada pelajaran. Sebaliknya, kestabilan emosi menjadikan pelajar lebih
bersemangat untuk belajar dengan bersungguh-sungguh. Dengan adanya sokongan moral, pelajar akan bertambah rajin untuk mengulang kaji pelajaran dan seterusnya mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.
Sebagai kesimpulan, kejayaan dalam peperiksaan tidak hanya bergantung pada kerajinan.  Faktor-faktor lain seperti bimbingan, sokongan moral dan sokongan material turut penting dalam menentukan
kejayaan seseorang pelajar.

No comments:

Post a Comment