Tuesday 13 September 2011

Sejak kebelakangan ini, masalah sosial dalam kalangan anak remaja semakin menjadi-jadi. Terangkan usaha-usaha yang boleh dilaksanakan oleh ibu bapa untuk menangani masalah salah laku anak remaja. (PMR)


Golongan remaja ialah aset penting bagi menjamin masa depan negara seperti kata peribahasa pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Sekiranya golongan ini diabaikan, bermakna negara akan kehilangan tenaga mereka dan masyarakat akan menanggung kerugian yang besar. Justeru, ibu bapa perlu memainkan peranan mereka dalam usaha mendidik anak-anak remaja mereka.
Ibu bapa haruslah meluangkan lebih banyak masa bersama-sama dengan anak-anak untuk
membentuk sahsiah anak-anak mereka. Hal ini membantu ibu bapa mendidik anak-anak berlandaskan
lunas-lunas agama dan nilai-nilai kemasyarakatan. Didikan dan tunjuk ajar ibu bapa yang menjadi bekalan hidup
  membantu  anak-anak  menangkis  pengaruh  negatif.  Sekiranya  ibu  bapa  melaksanakan  tanggungjawab mereka sebagai pendidik dan pembimbing dengan sempurna sudah pasti anak-anak remaja tidak terjebak dalam gejala sosial.
Selain itu, ibu bapa mestilah mengawasi gerak-geri anak-anak di rumah dan juga di luar rumah. Dalam hal ini, ibu bapa perlu memastikan aktiviti seharian mereka di rumah supaya mereka tidak
melencong. Tambahan pula, ibu bapa perlulah peka terhadap perkembangan anak-anak dari segi akademik dan disiplin di sekolah. Ibu bapa juga harus mengambil berat tentang latar belakang kawan anak-anak mereka. Dengan ini, ibu bapa dapat memastikan anak-anak mereka tidak terpengaruh oleh anasir-anasir jahat.
Hubungan kasih sayang antara ibu bapa dengan anak-anak adalah penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak. Hal ini kerana anak-anak yang ketandusan kasih sayang sering keluar mencari rakan untuk meluahkan perasaan dan berkongsi masalah mereka. Dalam hal ini ibu bapa wajar mengambil tahu masalah anak-anak dan membantu anak-anak mereka menangani masalah peribadi mereka. Dengan ini, anak-anak berasa diri mereka diberi perhatian dan dihargai oleh ibu bapa mereka. Hubungan erat antara ibu bapa dengan anak-anak membolehkan anak-anak mengawal tindak-tanduk mereka supaya tidak
mencemarkan nama baik keluarga.
Sebagai kesimpulan, tindakan awal ibu bapa amat penting untuk menentukan arah masa depan anak-anak mereka. Sekiranya ibu bapa bersikap seperti melepaskan batuk di tangga dalam usaha
menangani masalah salah laku anak-anak remaja sudah pasti kita akan menghadapi kesukaran untuk
mengubah keadaan kerana nasi sudah menjadi bubur.

4 comments: