Tuesday 13 September 2011

Hukuman rotan terhadap pelajar perlu diwujudkan semula di sekolah-sekolah. Jelaskan kebaikan pelaksanaan hukuman tersebut. (PMR)


Mutu disiplin pelajar sejak akhir-akhir ini menjadi gawat dan membimbangkan semua pihak                    termasuk pihak kerajaan. Saban hari, kes salah laku pelajar  menghiasi tajuk utama berita dalam akhbar-akhbar tempatan. Masalah kebejatan sosial dalam kalangan pelajar sekolah yang semakin menjadi-jadi mendesak masyarakat mencadangkan agar hukuman rotan diamalkan kembali di sekolah-sekolah.
Pelaksanaan hukuman rotan di sekolah dapat mengurangkan bilangan pelajar yang sengaja melanggar disiplin dan peraturan sekolah. Hal ini sedemikian kerana pelajar tahu bahawa tindakan drastik akan diambil terhadap mereka sekiranya mereka terang-terang bersikap biadap terhadap guru atau
melanggar peraturan sekolah. Kesedaran ini membolehkan mereka berubah sikap dan akur terhadap
peraturan sekolah. Sekiranya setiap pelajar yang bersalah dihukum dengan tegas tanpa rasa simpati sudah tentu kesedaran positif wujud dalam diri pelajar-pelajar.
Selain itu, kawalan disiplin melalui hukuman rotan membolehkan proses pembelajaran dan
pengajaran dapat berjalan dengan lancar. Dengan melaksanakan hukuman rotan tidak timbul masalah
ponteng kelas dan ponteng sekolah. Malah, pelajar-pelajar bermasalah tidak lagi mengganggu pelajar lain yang ingin belajar. Dengan itu, guru dapat menyampaikan pelajaran dengan berkesan dan memastikan setiap pelajar memberikan konsentrasi dalam proses pembelajaran. Hal ini sudah pasti akan melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan. Suasana ini menjadikan sekolah tempat yang selesa dan selamat untuk pelajar menimba ilmu.
Hukuman rotan juga mampu menjadi pengajaran kepada pelajar lain. Hukuman rotan yang
dilaksanakan terhadap pelajar-pelajar yang melakukan kesalahan berat akan menimbulkan rasa ketakutan dalam diri pelajar-pelajar lain. Pelajar akan sentiasa beringat jika tersilap langkah akan dikenakan hukuman rotan. Lebih-lebih lagi hukuman rotan ini mencalar imej diri para pelajar. Lantaran itu mereka tidak akan
berani melakukan perkara-perkara yang bercanggah dengan peraturan sekolah. Jadi, dalam jangka masa panjang kekuatan pengaruh rakan sebaya dalam kalangan pelajar menjadi lemah dan membolehkan kes salah laku pelajar mencecah angka sifar.
Sebagai kesimpulan, hukuman rotan wajar dilaksanakan dalam usaha mengekalkan fungsi                  sekolah sebagai institusi penyaluran pelbagai ilmu pengetahuan. Kita perlu ingat bahawa mencegah adalah lebih baik daripada merawat.

3 comments: