Tuesday 13 September 2011

Pada masa ini, pencapaian atlet-atlet negara kita amat mengecewakan. Huraikan sebab-sebab mutu sukan negara semakin merosot. (PMR)


Bersukan menjadi sebahagian daripada aktiviti kehidupan rakyat Malaysia. Bagaimanapun,
pencapaian atlet negara dalam kejohanan sukan pada peringkat antarabangsa masih belum memuaskan walaupun banyak usaha telah dilakukan. Hal ini amat jelas apabila kontinjen Malaysia hanya berjaya
merangkul satu pingat perak dalam Sukan Olimpik ke-29 di Beijing baru-baru ini.
Kemerosotan mutu sukan negara disebabkan oleh kekurangan kelengkapan dan kemudahan
peralatan sukan. Kebanyakan stadium di negara ini masih kekurangan peralatan dan kemudahan. Oleh itu, agak sukar bagi atlet kita untuk mempertingkatkan pencapaian mereka dan bersaing dengan para atlet dari negara-negara lain.
Di samping itu, pendedahan pada peringkat antarabangsa masih belum mencukupi untuk              memantapkan mutu pencapaian atlet negara. Kebanyakan atlet negara kekurangan pengalaman dan gagal menyesuaikan diri di negara tuan rumah. Mereka tidak boleh bermain mengikut keupayaan yang sebenar kerana berasa kekok dengan suasana dan keadaaan yang asing bagi mereka manakala ada atllet yang hanya cemerlang di tempat sendiri.
Bukan setakat itu sahaja, program latihan yang disediakan untuk para atlet masih belum                setanding dengan program latihan atlet luar negara. Pihak pengurusan sukan seperti Majlis Olimpik
Malaysia (MOM) masih gagal merumuskan program latihan yang benar-benar berkesan dan sesuai          untuk atlet negara. Kadang kala atlet mempunyai kerenah tersendiri seperti ponteng latihan, tidak puas hati dengan jurulatih dan banyak menghadapi masalah peribadi. Sikap tidak profesional ini telah membantutkan usaha jurulatih untuk meneruskan program latihan yang lebih mencabar.
Selain itu, bakat sukan dalam kalangan pelajar sekolah yang tidak dicungkil dengan                      sebaik-baiknya telah menyebabkan mutu sukan negara merosot. Hal ini demikian kerana pihak sekolah
lebih mengutamakan aspek kecemerlangan akademik. Pendek kata, lebih banyak alasan daripada
kesungguhan yang diberikan untuk mengelakkan diri daripada komitmen untuk memantapkan mutu sukan negara.
Sebagai kesimpulan, kerajaan dan pihak pengurusan sukan seharusnya berganding bahu untuk menyediakan kemudahan dan peralatan sukan yang lebih canggih. Dengan adanya kerjasama semua
pihak, nescaya usaha untuk menggilap keunggulan atlet dan skuad negara serta meningkatkan                  pencapaian sukan negara di arena antarabangsa akan membuahkan hasil.

No comments:

Post a Comment