Tuesday 13 September 2011

Buat masa ini, kehadiran pelajar dalam perjumpaan unit beruniform tidak menggalakkan. Cadangkan langkah-langkah yang boleh diambil agar penyertaan pelajar semakin baik dalam perjumpaan kokurikulum. (PMR)


Kebelakangan ini, kehadiran pelajar dalam aktiviti kokurikulum semakin membimbangkan pihak
sekolah. Tambahan pula, ibu bapa sendiri tidak begitu menggalakkan anak-anak mengambil bahagian dalam aktiviti persatuan, kelab dan unit beruniform di sekolah. Justeru, usaha-usaha berterusan pihak
sekolah amat penting untuk memastikan para pelajar sentiasa terlibat dalam kegiatan luar bilik darjah.
Pihak sekolah harus mempelbagaikan aktiviti sewaktu perjumpaan kegiatan kokurikulum untuk menarik minat pelajar. Guru-guru penasihat aktiviti persatuan, kelab dan unit beruniform yang merancang dan melaksanakan aktiviti yang sama pada setiap minggu membosankan para pelajar. Sebagai contoh,
aktiviti mingguan Persatuan Pengakap dan Kadet Remaja sekolah jangan fokuskan latihan kawat kaki
sahaja. Kepelbagaian aktiviti setiap minggu seperti memasak, sesi uji bakat, mencipta logo, memasang
khemah, mencari harta karun dan belajar membuat simpulan tali akan merangsang minat pelajar untuk menyertai kokurikulum secara aktif.
Selain itu, penyertaan pelajar dalam kegiatan kokurikulum dapat ditingkatkan dengan
memperbanyak aktiviti luar. Hal ini penting kerana kokurikulum yang dilaksanakan di dalam darjah
membosankan pelajar seolah-olah hadir ke sekolah untuk belajar. Oleh yang demikian, guru-guru penasihat kelab, persatuan dan unit beruniform harus merancang dan mengadakan aktiviti mingguan di tempat-tempat rekreasi yang berdekatan dengan sekolah. Aktiviti seumpama ini dapat menenangkan fikiran pelajar dan membebaskan diri mereka daripada tekanan akademik buat sementara waktu.
Pihak sekolah juga perlu mengadakan aktiviti berbentuk pertandingan untuk meningkatkan
penyertaan pelajar dalam kokurikulum. Pelajar-pelajar yang memenangi pertandingan yang diadakan perlu diberikan hadiah dan sijil penyertaan semasa perhimpunan rasmi pagi agar menjadi perangsang kepada seluruh pelajar sekolah. Pertandingan-pertandingan yang dianjurkan haruslah mendapat sambutan hangat daripada pelajar seperti pertandingan perbarisan, kawat kaki, memasang khemah, berkayak, perbahasan, syarahan, bercerita, berbalas pantun dan peraduan mengarang.
Pelajar-pelajar juga perlu diberi perdedahan tentang kebaikan penglibatan dalam kokurikulum
melalui kempen kesedaran. Pihak sekolah harus melancarkan kempen kesedaran secara berterusan untuk menyedarkan pelajar bahawa penyertaan dalam kokurikulum menjadi prasyarat kemasukan pelajar ke
Institusi Pengajian Tinggi Awam. Dalam usaha ini, pihak sekolah harus mengadakan poster dan
mengedarkan risalah dari semasa ke semasa agar pelajar sedar akan kepentingan kokurikulum.
Sebagai kesimpulan, kerjasama dan sokongan ibu bapa amat penting untuk memastikan kejayaan aktiviti kokurikulum di sekolah. Kecemerlangan pelajar dalam akademik dan penyertaan pelajar dalam
kokurikulum merupakan dua aspek penting untuk melahirkan pelajar yang seimbang daripada segi jasmani, rohani, emosi dan intelek selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara.

2 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Bbabababa abababbabababababababababbabababababa

    ReplyDelete