Tuesday 13 September 2011

Kepentingan Perpaduan (SPM)


Kepentingan Perpaduan

'Bagai aur dengan tebing' merupakan peribahasa yang amat sinonim dengan kehidupan masyarakat Malaysia. Walaupun penduduk Malaysia berbilang kaum namun semangat tolong-menolong sesama masyarakat amat penting untuk melaksanakan sesuatu perkara. Bertitik tolak daripada sikap saling menolong ini, akan lahirlah masyarakat yang bersatu padu. Perpaduan merupakan aset terpenting Malaysia kerana tanpa perpaduan, tidak mungkin keharmonian dapat dinikmati ibarat 'bersatu kita teguh, bercerai kita roboh'.

Kepentingan perpaduan ialah perpaduan dapat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka. Sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan, pelbagai ranjau berduri yang dilalui oleh generasi terdahulu untuk menuntut kemerdekaan. Hasil perpaduan masyarakat Tanah Melayu ketika itu yang berganding bahu menuntut kemerdekaan telah membuka mata pihak Inggeris supaya memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Implikasinya, masyarakat kini hidup harmoni tanpa gangguan dan kongkongan penjajah. Perpaduan yang telah wujud kini adalah warisan daripada warisan nenek moyang yang harus dikekalkan agar tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

Selain itu, perpaduan kaum juga dapat mengelakkan semangat assabiah iaitu semangat kekitaan yang hanya mementingkan diri sendiri ala 'enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing'. Semangat assabiah ini akan menimbulkan permusuhan antara kaum. Hasilnya, Malaysia dapat menjadi contoh terbaik kepada negara lain seperti negara Amerika Syarikat yang mengamalkan Dasar Aparteid. Dasar Aparteid ialah dasar yang mewujudkan jurang perbezaan antara golongan berkulit putih dengan golongan berkulit hitam. Akibatnya, wujudlah pelbagai masalah sosial yang melibatkan perkauman berdasarkan warna kulit. Sebagai iktibar, masayarakat Malaysia wajar mengekalkan perpaduan demi mengelakkan semangat assabiah terjadi di atas bumi Malaysia ini.

Di samping itu, kepentingan perpaduan yang lain pula ialah perpaduan dapat membangunkan ekonomi negara. Perpaduan yang ditunjukkan oleh masyarakat Malaysia akan menarik minat pelancong asing untuk mengenali dengan lebih dekat lagi budaya masyarakat Malaysia yang berbeza kaum dan agama tetapi dapat hidup dengan harmoni di bawah satu bumbung.
Selaras dengan itu, ekonomi negara akan berkembang dengan kemasukan palancong asing. Masyarakat Malaysia juga dapat berkongsi ilmu antara satu sama lain dalam membangunkan negara. Pelabur dari luar negara juga akan berminat untuk melabur di Malaysia. Rentetan itu, perpaduan kaum yang mampu meningkatkan taraf ekonomi negara akan menjadikan Malaysia berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara lain.

Konklusinya, pihak kerajaan perlulah mengadakan pelbagai program atau aktiviti yang dapat memupuk semangat perpaduan kaum. Masyarakat Malaysia juga perlu memainkan peranan dalam memupuk perpaduan kaum supaya negara kekal dalam kemerdekaan. Semoga 52 tahun kemerdekaan pada tahun ini akan meningkatkan kesepakatan masyarakat untuk menobatkan Malaysia agar gah dan popular di seluruh sarwajagat ini.
Laungan 'Malaysia Boleh' perlu diteruskan agar semangat warganegara Malaysia ini digeruni oleh negara luar.

  


Konsep “1 Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan”, telah diperkenalkan oleh
Dato’ Sri Najib Bin Tun Abdul Razak setelah beliau secara sah dilantik sebagai Perdana Menteri
Malaysia yang ke-6 pada 3 April yang lalu. Pelbagai persepsi timbul daripada pengenalan konsep
ini yang dikatakan menyamai konsep “Malaysian Malaysia” yang diperkenalkan oleh parti
politik DAP pada tahun 1960-an. Namun hal ini hanya merujuk kepada ideologi politik yang
diperjuangkan oleh individu yang bernaung dibawah pengaruh parti politik tempatan. Sesuatu
yang seharusnya menjadi debat dan forum percambahan minda ialah kaedah dan pelaksanaan
yang boleh diguna pakai untuk menterjemahkan ideologi kepimpinan beliau dan sejauh manakah
pelaksanaannya mempengaruhi penerimaan masyarakat terhadap konsep baru ini. Oleh itu,
definisi konsep yang seharusnya merangkumi pelbagai sudut pandangan perlu diperjelaskan
untuk membolehkan penerimaan konsep ini dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat di
Malaysia.
Secara umumnya, Malaysia yang berlatarbelakangkan kepelbagaian kaum dalam satu
naungan kuasa raja berperlembagaan amat menitikberatkan semangat perpaduan dan patriotisme
yang tinggi dalam setiap diri masyarakatnya. Hal ini perlu dijaga dan sering diberi perhatian bagi
menjaga keamanan dan keselamatan negara. Oleh itu, konsep 1 Malaysia ini secara sosiologinya
bermaksud kewujudan satu bangsa yang besar yang digelar “Bangsa Malaysia” dan
menggantikan dasar perkauman yang hanya menjauhkan hubungan antara kaum di negara ini.
Bangsa-bangsa di negara ini harus membentuk satu budaya penerimaan pelbagai aplikasi adat,
budaya dan peraturan yang dipraktikkan sesebuah kaum bagi meningkatkan kesefahaman dan
menjayakan gagasan ini. Sikap hormat-menghormati dan mesra antara kaum amat penting bagi
menzahirkan jati diri Bangsa Malaysia. Oleh itu, pemupukan nilai murni ini bolah dilaksanakan
di peringkat awal lagi khususnya dalam membina kehidupan berjiran di kawasan perumahan agar
gagasan 1 Malaysia dapat diterapkan dalam kalangan masyarakat.
Dalam aspek politik pula, gagasan ini perlu tulus dan mencakupi pelbagai fahaman politik
negara. Pihak pembangkang mahupun pihak kerajaan bukan sahaja perlu bersama dalam
menjayakan gagasan ini malahan perlu mengetepikan ideologi dan kepentingan politik mereka.
Hal ini kerana keperluan dan kepentingan rakyat menjadi keutamaan negara yang harus
didahulukan sebelum kepentingan politik mengambil tempat. Parti-parti politik yang
berpengaruh perlu bersifat glokal bagi mancari usaha ke arah pembangunan modal insan yang
jitu dan mapan serta mampu bersaing dengan arus permodenan dunia. Persaingan politik perlu
diketepikan dan pembentukkan sahsiah yang baik merupakan contoh yang berguna kepada
masyarakat. Sikap suka menjatuhkan pula amat bertentangan dengan gagasan 1 Malaysia yang
lebih bersifat menggalakkan dan mendukung usaha ke arah pembentukkan Bangsa Malaysia.
Peristiwa hitam 13 Mei 1969 seharusnya menjadi pedoman dalam setiap kamus kehidupan
pemimpin mahupun rakyat di negara ini agar langkah menjaga Bangsa Malaysia dapat
diperkukuhkan.
Seterusnya, aspek ekonomi pula lebih memperlihatkan penghapusan dasar “Pecah dan
Perintah” yang diperkenalkan oleh penjajah barat sebelum Tanah Melayu (Malaysia) mencapai
kemerdekaan. Meskipun sudah 52 tahun, Malaysia mencapai kemerdekaan, namun kesan
daripada dasar ini masih jelas kelihatan. Oleh itu, menerusi gagasan 1 Malaysia ini, sektor
ekonomi lebih tertumpu kepada kesamarataan penguasaan ekonomi masyarakat. Jika dahulu
kaum Melayu lebih tertumpu kepada bidang pertanian dan perikanan, kaum Cina memonopoli
bidang perniagaan dan perlombongan serta kaum India hanya tertumpu kepada bidang
perladangan dan estet, kini pelbagai kaum mampu menceburkan diri dalam bidang yang mereka
mampu bangunkan. Monopoli bangsa tertentu ini mampu dipecahkan menerusi dasar-dasar yang
dibentuk oleh ahli-ahli Dewan Parlimen menerusi kaedah perlembagaan negara. Dalam hal ini,
bantuan dan sokongan daripada kerajaan mampu memberi peluang dan suntikan semangat
kepada individu yang berusaha untuk menceburkan diri dalam bidang yang berpotensi untuk
dimajukan. Kesannya, ekonomi negara mampu diperkasakan oleh rakyatnya sendiri yang
membentuk gagasan 1 Malaysia.
Dalam pada itu, aspek pendidikan turut menjadi fokus utama pengenalan gagasan 1 Malaysia.
Institusi-institusi pendidikan di negara ini yang berlandaskan kurikulum yang telah ditetapkan
Dasar Pendidikan Negara perlu memperkenalkan dan menerapkan nilai-nilai 1 Malaysia dalam
diri dan mentaliti pelajar agar memahami kepentingan dan kewajaran gagasan ini diperkenalkan.
Secara definisinya, konsep 1 Malaysia dalam pendidikan merangkumi pembentukan sistem
pendidikan yang ideal dan sesuai untuk keseluruhan masyarakat amnya. Penghapusan dasar
pendidikan yang hanya berkepentingankan sesebuah bangsa dan menafikan hak golongan
tertentu merupakan matlamat 1 Malaysia dalam pendidikan. Persaingan yang sengit antara
pelajar hari ini dalam memperoleh peluang pendidikan yang lebih tinggi menuntut kerajaan dan
Badan Bukan Kerajaan (NGO) bertindak bijak dan saksama agar peluang yang diwujudkan tidak
menindas mana-mana pihak atau bangsa tertentu. Selain itu, pembentukan satu jenis sekolah
sahaja yang menggunakan satu bahasa penghantar yang rasmi iaitu bahasa Melayu mampu
melahirkan bangsa Malaysia yang mantap dari segi perhubungan antara kaumnya. Justeru itu,
tindakan-tindakan seperti ini amat membantu dalam melahirkan golongan pemimpin yang
berfikiran kreatif dan berpandangan jauh untuk masa depan negara mereka yang tercinta.
Selain itu, aspek agama dan kepercayaaan setiap bangsa di Malaysia turut diambil kira dalam
usaha menjayakan gagasan 1 Malaysia. Hal ini kerana, agama dan kepercayaan merupakan
pengaruh terbesar dalam menghasilkan keputusan yang melibatkan pertimbangan yang dilakukan
oleh aspek lain. Oleh sebab itu, 1 Malaysia dalam soal agama dan kepercayaan merujuk kepada
sikap keterbukaan masyarakat dalam menerima dan menghormati prinsip dan amalan agama
sesebuah bangsa. Agama Islam, Buddha, Hindu dan Kristian merupakan agama yang menjadi
anutan sebahagian besar masyarakatnya. Justeru itu, sensitiviti agama dan perkauman perlu
dijaga dan tidak boleh dipermainkan bagi menimbulkan kemarahan dan ketegangan yang
seterusnya menidakkan kejayaan gagasan ini. Pengenalan konsep rumah terbuka dan kunjung-
mengunjung yang semakin diguna pakai semasa musim perayaan oleh masyarakat tempatan
merupakan salah satu kaedah bagi mempelajari sesuatu adat dan memahami sensitiviti sesuatu
kaum seterusnya memupuk sikap saling menghormati antara satu sama lain. Langkah muhibah
ini mampu memperjelaskan lagi secara rohaninya konsep 1 Malaysia.
Kesimpulannya, gagasan 1 Malaysia bukan sahaja satu harapan untuk generasi akan datang
sebaliknya langkah ke arah pembentukannya perlulah bermula daripada sekarang. Seruan
pemimpin negara, perlu disahut semua pihak dalam usaha menjayakannya. Perkongsian ideologi
dalam menjayakannya perlulah bersifat mantap dan pelaksanaannya perlulah secara bersepadu
bagi merealisasikan harapan beliau kepada negara. Kesannya bukan sahaja melibatkan negara
secara umumnya, malahan meliputi pelbagai lapisan masyarakat di negara ini. Oleh itu,
semangat 1 Malaysia perlu didukung semua pihak untuk memacu negara ke peringkat yang lebih
tinggi dan menyiapkan negara dalam mengharungi arus permodenan, pembangunan, persaingan
dan globalisasi dunia. Diharap gagasan ini akan mencapai matlamat dan halatuju seperti yang
telah ditetapkan.


  
CARA-CARA MEMUPUK PERPADUAN DIKALANGAN BELIA DALAM MENCAPAI GAGASAN 1 MALAYSIA.

Pepatah melayu ada menyebut bersatu teguh, bercerai roboh. Ia sudah cukup melambangkan kepentingan perpaduan di dalam sesebuah keluarga, masyarakat dan negara. Datuk Seri Najib Razak telah memperkenalkan slogan ‘1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ pada hari beliau dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia. Oleh yang demikian rakyat Malaysia terutama golongan belia perlu menanam semangat perpaduan yang tinggi dalam diri mereka bagi menyemarakan lagi gagasan ‘1Malaysia’. Pelbagai cara boleh dipupuk bagi memastikan gagasan ‘1Malaysia’ ini difahami dan dihayati oleh seluruh rakyat Malaysia. Misalnya, dalam konteks sosial, ia boleh didpupuk melalui gotong-royong yang diadakan oleh masyarakat setempat. Selain itu, belia juga boleh disatukan dengan cara menyertai aktiviti sukan yang disertai oleh pelbagai kaum dalam satu pasukan yang sama. Begitu jugalah apa yang perlu diamalkan oleh pelajar-pelajar terutamanya pelajar institut pengajian tinggi, dimana setiap kumpulan tugasan dianggotai oleh pelajar yang berbilang kaum dan jantina tanpa didominasi oleh sesuatu bangsa. Tanpa disedari, disitu bermula sebuah ikatan yang harmoni diantara kaum selain dapat mengeratkan hubungan silaturahim. Konsep ‘1Malaysia’ boleh dijayakan lagi jika semua golongan belia bersatu. Golongan belia perlu sedar sebenarnya mereka mempunyai tanggungjawab yang besar sebagai pelapis dan pemimpin negara pada masa hadapan. Mereka sepatutnya menjadi warganegara Malaysia yang mementingkan perpaduan dan menanam semangat cintakan negara. Mereka seharusnya bekerjasama tanpa mengira kaum, agama dan bangsa dalam menjadikan ‘1Malaysia’ menjadi realiti. Ada juga pepatah melayu mengatakan melentur buluh biarlah dari rebungnya. Oleh yang demikian kerajaan seharusnya memainkan peranan yang penting dalam merialisasikan ‘1Malaysia’. Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia boleh menyelarskan satu mata pelajaran yang berkaitan dengan perpaduan disekolah dan institut pengajian tinggi di mana matapelajaran mengajar mereka tentang kepentingan perpaduan dalam sesebuah masyarakat dan negara. Bermula dari sekolah, mereka boleh menghayati erti perpaduan. Selain itu, adakan kem untuk memupuk perpaduan antara kaun seperti kem PLKN di mana semua kaum akan di tempatkan dibawah satu bumbung dan dari situ mereka akan belajar untuk menghormati antara satu sama lain dan dari situ perpaduan dikalangan kaum dapat dipupuk secara sendirinya. Walau apa jua yang kita lakukan, kita jualah yang mencorakkannya... sebagai bangsa yang mempunyai peradaban dan mertabat yang tinggi maka eloklah kita teliti sehalus-halusnya perpaduan kaum yang ada..
jangan hanya berada dibawah satu bumbung(negara) tetapi hidup masing-masing. Pepatah dulu ada benarnya, ”bersatu kita teguh, bercerai kita roboh” kata-kata ini seharusnya ”tak lekang dek panas, tak lentur dek hujan”... renungkan ke dalam diri kita semua....


HALANGAN-HALANGAN BELIA DALAM MENCAPAI GAGASAN 1 MALAYSIA

Seperti kita semua tahu bahawa Perdana Menteri Malaysia Kelima Dato Seri Najib Tun Razak telah mengisytiharkan konsep 1Malaysia iaitu mengambil kira kepentingan dan aspirasi semua lapisan masyarakat dalam menggerakkan negara ke depan. Terdapat beberapa nilai-nilai utama daripada konsep 1Malaysia -- budaya kecemerlangan, meritokrasi, integriti dan kesetiaan dan ia adalah selari dengan slogan "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan". Sebagai rakyat Malaysia banyak halangan yang dihadapi sebelum kita dapat menjayakan konsep tersebut buat masa sekarang.

Sebagai contoh ialah rakyat Malaysia sendiri dimana walaupun kita telah mencapai kemerdekaan selama 52 tahun tetapi tahap kesedaran atau semangat patriotik masyarakat kita masih ditahap rendah pada sambutan Hari Kemerdekaan yang dianjurkan kerajaan. kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim. Selain itu masalah yang dihadapi penduduk luar bandar yang masih di diskriminasi oleh sesetengah pihak merupakan halangan untuk konsep tersebut berjaya. Sebagai contoh kita dapat lihat melalui aspek Agama di Sabah dimana ianya di dominasi oleh Agama Islam dan Kristian banyak memberi impak atau cabaran dilalui tidak mudah kerana kepelbagaian merumitkan usaha ke arah perpaduan dan kesatuan masyarakat. Selain itu masalah penggunaan bahasa yang baik masih lagi menimbulkan persoalan apabila penggunaan bahasa Melayu di Sabah dikatakan agak rendah. Keadaan ini bukan dipengaruhi oleh sentimen kenegerian atau bersikap prejudis terhadap rakan Semenanjung tetapi masalah yang dihadapi ialah tongue twist atau lebih mudah ‘Slang’ yang dituturkan untuk bergaul. Selain itu, cabaran lain ialah antaranya dari segi sosio-budaya, ekonomi dan politik keseluruhannya. Dari segi politik, demokrasi semakin diperluaskan ruang hak bersuara seperti penggunaan blog secara meluas tanpa kekangan pihak berkuasa. Masyarakat dapat mengetahui dan menilai bagaimana pemimpin berbincang secara terbuka serta penyertaan rakyat dalam pembuatan keputusan. Dalam perspektif ekonomi, dasar liberalisasi ekonomi yang di bentuk bagi menangani krisis ekonomi dunia ketika ini perlulah seimbang bagi mengelak percanggahan kepentingan sesuatu kaum. Bagi sosial budaya, perubahan yang dilakukan untuk meningkatkan taraf kehidupan rakyat dan pendidikan mestilah berteraskan perpaduan bagi merapatkan jurang antara kaum yang ketika ini dilihat goyah akibat dimanipulasi oleh golongan yang berfikiran sempit bagi mencapai kepentingan diri semata-mata.


KEPENTINGAN KONSEP SATU MALAYSIA.

Konsep Satu Malaysia akan membawa aspirasi untuk memperkukuhkan hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat sebagaimana kehendak prinsip Rukun Negara. Perkara yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati dan sikap saling mempercayai antara kaum. Rakyat perlu memahami dan mengamalkan bahawa segala tindakan perlulah mengutamakan kepentingan negara.
Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Malaysia adalah negara kita di mana tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan.
Nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatu padukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Melalui konsep ‘1 Malaysia’ ini tidak akan wujud perasaan tidak berpuas hati kepada mana-mana kaum kerana semua rakyat adalah Bangsa Malaysia dan Rakyat Malaysia yang mempunyai satu hala tuju da kita dan cita rasa untuk bersama memajukan negara.
Pembinaan negara bangsa bagi sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia adalah amat penting terutama dalam era globalisasi yang membenarkan pengaliran secara bebas dan pantas bukan sahaja maklumat, modal serta manusia tetapi juga sistem nilai, budaya dan kepercayaan dari pelbagai negara. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan.
Sesungguhnya semua rakyat Malaysia perlu mendasari prinsip-prinsip utama 1 Malaysia iaitu kebersamaan (togetherness) dan kekitaan (sense of belonging) bagi menjayakan konsep ini.

KEPENTINGAN SATU MALAYSIA TERHADAP DIRI BELIA DAN MASYARAKAT.

Kepentingan yang kita dapat lihat didalam perlaksanaan konsep satu Malaysia adalah konsep dimana ianya menggalakkan perpaduan diantara kaum dan menggelakkan perbalahan sesama masyarakat.
Selain itu mengikut persepsi lain, konsep ini dapat menggelakkan demonstrasi. Seperti yang kita ketahui, negara kita sedang rancak dengan pelbagai demonstrasi yang dilakukan seperti demonstrasi yang dijalankan oleh pelajar UITM (University Teknologi Mara Malaysia). selain itu, konsep satu Malaysia juga dapat mengelakkan ketidakpuasan hati dikalangan belia dan masyarakat. Seperti contoh perbalahan antara kaum dimana seperti yang kita tahu, kaum atau bangsa melayu mendapat keistimewaan yang banyak dan ini akan menimbulkan ketidakpuasan hati diantara kaum dan bangsa lain. Jadi konsep satu Malaysia membawa maksud kesamarataan antara semua kaum di Malaysia. Jadi secara kesimpulannya, semua bangsa adalah sama.seperti lirik lagu satu Malaysia yang dinyanyikan oleh satu pelajar Lim Kok Wing Kita satu bangsa, kita satu negara, kita satu matlamat, kita satu nama satu nama, kita satu Malaysia.


  
Karangan Berpandu 1
Kaji gambar-gambar di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang cara-
cara rakyat Malaysia mengisi masa cuti. Panjang huraian andaantara 200 hingga
250 patah perkataan.
RANGKA JAWAPAN
CARA-CARA RAKYAT MALAYSIA MENGISI MASA CUTI
1.0 Pendahuluan
-Kaya dengan tempat percutian menarik kerana kepelbagaian kaum.
-Mengeratkan hubungan kekeluargaan dan menyumbang ekonomi
negara.
2.0 Isi/fakta
2.1
Melawat pusat-pusat kebudayaan (IU)
- Rakyat akan mengetahui budaya kaum yang unik dan menarik. (HS1)
- Pelbagai etnik seperti Melayu, Cina, dan India. (HS2)
- Mempunyai kebudayaan dan identiti yang tersendiri. (HS3)
- Mampu menjaga keharmonian tanpa berlakunya rusuhan kaum. (HS4)
- Aspek pemakanan, tarian, pakaian, musim perayaan, dan,sebagainya.
(CTH)
2.2
Mengembara (IU)
-Sama ada ke luar bandar atau hutan. (HS1)
-
Menambahkan pengalamaan dan menguji kecerdasan. (HS2)
-
Pulau Langkawi mempunyai keindahan alam sekitar. (CTH)
-
Perlu dipelihara untuk generasi akan datang dan menikmati kurniaan
Iilahi. (HS3)
-Mendedah kehidupan di kawasan utan dan menguji kesabaran
seseorang. (HS4)
2.3
Melawat pusat-pusat membeli-belah (IU)
-Pada musim perayaan atau hujung minggu. (HS1)
-Ekonomi negara meningkat. (HS2)
-
Membeli barangan buatan tempatan. (HS3)
-
Menyahut seruan kerajaaan. (HS4)
-Pusat penjualan batik, cenderahati, kraf tangan, dan sebagainya. (CTH)
3.0 Penutup
-Matlamat kerajaanmembentuk keluarga bahagia. (CDG)
-Merealisasikan harat murni kerajaan. (HP)



Contoh Jawapan Karangan Berpandu
Malaysia satu-satunya negara yang kaya dengan pelbagai hari percutian kerana kepelbagaian kaum. Rakyat Malaysia harus mengambil kesempatan untuk mengisi masa percutian ini dengan pelbagai cara kerana percutian bukan sahaja dapat mengeratkan silaturahim atau hubungan kekeluargaan, malah dapat menyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi . Sehubungan dengan itu, rakyat Malaysia patut mengisi masa cuti bak kata peribahasa , jauh perjalanan, luas pengalaman.
Salah satu bentuk percutian yang digalakkan adalah percutian kebudayaan. Rakyat seharusnya mengisi masa cuti dengan melawat ke pusat-pusat kebudayaan. Hal ini demikian kerana dapat memudahkan rakyat negara ini mengetahui budaya kaum lain yang unik dan menarik. Memang tidak dapat dinafikan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai pelbagai etnik seperti Melayu, Cina, India, dan sebagainya mampu menjaga keharmonian dalam negara tanpa melakukan rusuhan kaum. Setiap etnik ini mempunyai budayanya yang tersendiri sekali gus mempamerkan identiti sebenarnya sesuatu kaum. Fenomena ini dapat dilihat dari aspek pemakanan, tarian, pakaian, musim perayaan, dan sebagainya. Misalnya, pada musim perayaaan atau mengadakan rumah terbuka, etnik yang berbilang bangsa akan saling menziarahi antara satu sama lain.
Selain itu, rakyat Malaysia juga, boleh mengisi masa cuti dengan mengembara ke pelbagai destinasi alam semula jadi yang terdapat di Negara kita.Rakyat harus mengambil kesempatan meneroka khazanah alam semula jadi seperti meyusur Sungai Pahang ke Taman Negara , Pahang, mendaki Gunung Kinabalu atau lain-lain destinasi alam semula jadi yang jarang dikunjungi. Hal ini dapat menambahkan pengalaman dan pengetahuan sekali gus memupuk sifat cinta akan alam semula jadi. Contohnya Pulau Langkawi masih lagi mempunyai keindahan alam sekitar yang belum dinodai oleh pembangunan negara yang begitu pesat. Khazanah alam semula jadi ini perlu dipelihara agar generasi akan datang dapat menikmati kurniaan Ilahi ini. Aktiviti mengembara ini mendedahkan kehidupan di kawasan hutan yang benar-benar menguji tahap kesabaran seseorang.
Di samping itu, pusat-pusat beli-belah juga menjadi tumpuan rakyat Malaysia untuk mengisi masa cuti yang banyak. Hal ini demikian kerana pada cuti musim perayaan atau cuti hujung minggu amat sesuai untuk pergi membeli-belah. Peribahasa Melayu ada menyatakan, sambil menyelam minum air amat relevan dalam hal ini. Hal ini demikian kerana dengan berbelanja di pelbagai kompleks beli- belah bertaraf antarabangsa, secara tidak langsung, ekonomi negara akan meningkat . Tambahan pula, rakyat akan membeli barangan buatan Malaysia dan menyahut seruan kerajaan Belilah Barangan Buatan Malaysia.”. Antara pusat beli- belah yang sering dikunjungi ialah pusat penjualan batik, kedai cenderahati, kraf tangan, dan sebagainya.
Sesungguhnya, rakyat Malaysia harus mengisi masa cuti dengan pelbagai cara kerana amalan percutian selaras dengan matlamat kerajaan membentuk keluarga bahagia menggenapi usaha “Rumahku, Syurgaku.” Dengan itu, marilah
kita bersam-sama merealisasikan hasrat murni ini ke arah Malaysia yang “Cemerlang, Gemilang dan Terbilang.” Oleh itu, rakyat Malaysia diseru melancong dalam negeri sendiri yang begitu banyak dan menarik.
( 299 patah perkataan)
Karangan Berpandu 2
Lihat gambar di bawah ini dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang usaha- usaha memajukan ICT di negara kita. Panjangnya huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah kata.
RANGKA JAWAPAN
1.0 Pendahuluan
- maksud ICT (AR)
- ICT telah mula berkembang di Negara kita(HS1)
- ICT kita standing negara lain(CTH)
- pelbagai usaha telah dan sedang dijalankan memajukan ICT(HS2)
2.0 Isi / Fakta
2.1- memajukan ICT melalui Koridor Raya Multimedia (MSC)(IU)
- projek yang mampu memacu ekonomi Negara (HS1)
- mendorong pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan(HS2)
- menyediakan syarikat ICT di Malaysia bertaraf dunia(CTH)
2.2-Usaha membudayakan ICT kepada masyarakat(IU)
- menjelang 2020 pengguna internet menjangkau 2614 juta orang(CTH)
- pertambahan dan perkembangan penggunaan internet
purata
77.25%(CTH)
- usaha “celik” ICT berjaya(HS1)
2.3-memajukan ICT dalam bidang Pendidikan(IU)
- tema Hari Guru berkait ICT(HS1)
- 4500 sekolah ada makmal komputer dan 99 ribu unit computer(CTH)
- berkongsi maklumat melalui sidang video(HS2)
- dapat memperkasa bidang Pendidikan(HS3)
2.4-usaha Majlis IT Negara dalam pembabitan institusi peringkat
global(IU)
- menjalankan 5 agenda tersendiri(HS1)
- menubuhkan Jawatankuasa Pelaksana Teras Strategik (HS2)
- menggerakkan sector awam dan swasta libatkan 30 projek(CTH)
- negara akan dianggap maju dalam teknologi maklumat(HS3)
2.5-melebarluaskan ICT dengan penyediaan infrastruktur dan utility(IU)
- usaha ini berdasarkan Dasar Telekomunikasi Kerajaan 1994-2020(HS1)
- kerjasama sektor swasta dan kerajaan(HS2)
- kerajaan sentiasa mengkaji dan menilai keberkesanannya(HS2)
3.0- Kesimpulan
- rakyat tidak harus lepaskan peluang menyambut ICT
- pentingnya semua pihak bekerjasama bersedia dalam cabaran ICT
Contoh Jawapan Karangan Berpandu 2
Secara ringkas ICT bermaksud maklumat dan teknologi yang disampaikan dari sumber kepada penerima melalui saluran teknologi. Darsawarsa ini, kemajuan ICT atau Industri Teknologi Komunikasi dan Maklumat sudah Negara kita kita sudah boleh dikatakan maju dan mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain. Banyak usaha telah dilakukan dalam memajukan ICT negara kita.
Kemajuan penggunaan ICT dalam kalangan penduduk negara ini diwujudkan melalui Koridor Raya Multimedia (MSC) iaitu suatu projek raksasa kerajaan Malaysia untuk memajukan sektor teknologi maklumat. Penubuhan Koridor Raya Multimedia ibarat enjin yang dapat memacu Malaysia ke arah pencapaian negara maju menjelang 2020 dan menyediakan ICT bertaraf dunia yang komprehensif. Hal ini dapat mewujudkan persekitaran kerja dan kehidupan yang mendorong pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan. MSC ternyata menjadi pemangkin
kepada kepada syarikat ICT di Malaysia berdaya saing supaya dapat berkembang
sebagai syarikat bertaraf dunia.
Negara berusaha Meluaskan ICT kepada seluruh masyarakat misalnya kemudahan komputer di Malaysia adalah lebih 65% terutama ditempat kerja dan perumahan. Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia tahun 2001, sehingga akhir tahun 2020 dianggarkan pengguna internet di negara ini menjangkau 2614 juta orang. Selain itu statistik dari suruhanjaya juga menunjukkan perkembangan dan pertambahan penggunaan internet di Malaysia dari tahun 1995- 2002 sentiasa meningkat dari tahun ke tahun iaitu sebanyak 77.25% jika dihitung secara kadar purata pertumbuhan. Ternyata usaha kita menjadikan masyarakat kita “celik’ ICT menampakkan kejayaan.
Bukan itu sahaja, kemajuan ICT semakin rancak dalam bidang pendidikan. Tidak hairanlah tema hari guru tahun 2006 turut berkaitan usaha kerajaan untuk membudayakan ICT dalam kalangan pelajar dan pendidik iaitu “Pendidikan Bestari Pemangkin Kegemilangan”. Sehingga kini 4500 buah sekolah disediakan makmal komputer dengan 99 ribu unit komputer. Bukan itu sahaja, setakat ini sebanyak 8120 sekolah dihubungkan dengan kemudahan jalur lebar school-net dan 14 ribu unit televisyen. Ternyata penggunaan teknologi maklumat dapat memajukan dan merevolusikan bidang pendidikan negara. Diharap sekolah-sekolah dapat berkongsi maklumat melalui sidang video.Dengan ini hasrat kita untuk memperkasakan bidang pendidikan bukan hanya mimpi.
Selain itu, kemajuan ICT di bawah Majlis IT Negara (NITC) telah melancarkan Agenda Teras Strategik yang mendorong pembabitan rakyat dan institusi secara efektif dalam kemunculan rangkaian persekitaran global. Lima agendanya ialah E- Ekonomi, E-Perkhidmatan Awam, E-Komuniti, E-Pembelajaran dan E-Kedaulatan. NITC juga telah menubuhkan Jawatankuasa Pelaksanaan Teras Strategik (STIC) untuk merealisasikan Agenda Teras Strategik. Setakat ini STIC berjaya menggerakkan sektor awam dan swasta melaksanakan 30 projek termasuklah Pusat Pertukaran Sumber E-Komuniti, Grid Pembelajaran Kebangsaan, Dana ICT Komuniti dan SJ2005. Dengan ini kita mampu menjadikan Malaysia gah maju dalam teknologi maklumat dan bukan dianggap negara dunia ketiga lagi.
Dalam dunia serba kompetatif ini, usaha murni kerajaan melalui Dasar Telekomunikasi Kerajaan 1994-2020 patut dimanfaatkan oleh semua. Kerajaan akan menyediakan infrastruktur dan utiliti yang mencukupi dan berteknologi memenuhi kehendak masyarakat atau sebuah bandar moden. Pembangunan infrastruktur itu merangkumi projek syarikat kerajaan mahupun swasta seperti Syarikat Telekom Malaysia Berhad (STMB) dan beberapa syarikat lain seperti Maxis, Celcom, Digi, TM Touch dan lain-lain lagi. Setakat ini, pihak kerajaan sentiasa mengkaji dan menilai agar telekomunikasi berteknologi tinggi dan aplikasi pengguna ICT benar-benar memberangsangkan ekonomi negara di peringkat global.
Konklusinya, kemajuan ICT negara yang memberangsangkan sepatutnya tidak dilepaskan begitu sahaja oleh kita semua dalam merealisasi wawasan 2020. Sesungguhnya kita belum boleh mendabik dada kerana cabaran ICT mendatang
harus ditempuh oleh semua rakyat Malaysia dengan penuh persediaan kata orang kalau takut dilambung ombak, janganlah berumah di tepi pantai. Tegasnya, kerjasama semua pihak penting dalam usaha memajukan lagi ICT di negara kita.
Karangan Berpandu 3
Lihat gambar di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentangu saha-
usaha meningkatkan mutu pengangkutan awam di Malaysia.Panj ang
huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.
PENGANGKUTAN AWAM DI MALAYSIA
RANGKA KARANGAN
1.0 Pendahuluan
- Usaha yang dilakukan oleh kerajaan meningkatkan mutu pengangkutan
awam.- Jenis pengangkutan awam di Malaysia.
- Tujuan pembangunan pengangkutan awam.
2.0 Isi
2.1 – Pengangkutan awam teksi
- Pengklasan teksi bandar, luar bandar dan lapangan terbang.
- Peningkatan mutu perkhidmatan- sistem bermeter/ sistem radio teksi.
- Memberi faedah kepada pengguna- memudahkan/elakkan
penyelewengan.
2.2 – Pengangkutan awam bas.
- Pengabungan syarikat kecil kepada besar- bentuk modal besar.
- Penawaran perkhidmatan lebih baik- bas baru dan lebih baik
2.3 – Perkhidmatan monorel / komuter/ kereta api elektrik
- mengurangkan kesesakan di bandar dan masalah pencemaran udara
- gerabak berhawa dingin menganti gerabak kelas 3 tidak berhawa
dingin.2.4 – Perkhidmatan kapal terbang
- MAS dan Air Asia
- banyakkan destinasi
- pekej tambang murah
- ramai pengguna mampu mengunakannya
3.0 Penutup
- Sistem pengangkutan awam setanding dengan negara maju
- Syarikat terlibat perlu kekalkan dan tingkatkan kualiti.
- Kualiti yang baik menarik minat pengguna.
Contoh Jawa;pan Karangan Berpandu 3
Dalam usaha menuju negara maju menjelang tahun 2020, Malaysia telah berusaha menyediakan prasarana yang mencukupi untuk memastikan sistem pengangkutan berjalan lancar. Sistem pengangkutan yang cuba dibangunkan ini meliputi laluan darat seperti jalan raya dan jalan kereta api, laluan udara dan laut. Fokus utama pembangunan sistem pengangkutan ini bagi memudahkan orang ramai berhubung dengan masyarakat tempatan dan masyarakat di dunia luar.
Teksi digunakan sebagai alat mudah untuk pergi ke sesuatu destinasi. Kenderaan tersebut sebagai keperluan wajib untuk masyarakat ke destanasi yang diinginkan seperti ke sekolah, ke pejabat, ke surau dan ke pasar raya. Untuk meningkatkan mutu perkhidmatan, kerajaan telah mewartakan semua teksi bandar
mengunakan sistem bermeter dan radio teksi.Kerajaan juga telah menggunakan warna yang berbeza untuk teksi bandar dan luar bandar.Bagi pengangkutan ke destanasi lapangan terbang kerajaan telah memperkenalkan teksi limosen. Melalui keadah ini,mutu prkhidmatan dapat ditingkatkan dan diselaraskan serta memudahkam pengguna.Selain itu, penggunaan teksi bermeter dapat mengelakkan pemandu teksi melakukan penyelewengan dan menguntungkan pengguna.
Pengangkutan awam yang paling murah dan popular dalam kalangan pengguna ialah bas. Bas biasa digunakan oleh orang ramai untuk pergi bekerja atau ke pasar raya. Untuk meningkatkan mutu perkhidmatan ini, kerajaan telah menggalakkan pengusaha bas yang berskala kecil membentuk konsortium bagi meningkatkan aliran modal. Antara syarikat konsortium yang beroperasi ialah Transit Link, Couseway Link dan Pak May. Melalui keadah ini, syarikat pengangkutan akan dapat menawarkan perkhidmatan yang lebih baik dengan cara mengantikan kenderaan yang telah lama dengan kenderaan yang baru serta selesa.Keadah ini akan menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan ini.
Di Lembah Klang yang mempunyai aliran trafik yang lebih padat,kerajaan telah memperkenalkan sistem pengangkutan awam yang baru dan canggih untuk mengatasi masalah kesesakan. Untuk itu, kerajaan telah memperkenalkan monorel dan komuter yang digerakkan oleh tenaga elektrik. Melalui sistem pengangkutan ini kerajaan dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di bandar khasnya Kuala Lumpur selain mengurangkan masalah pencemaran udara.
Untuk perjalanan lebih jauh, katakan warga Kuala Lumpur ingin ke Johor Bahru, ramai yang memilih menaiki kereta api. Sekiranya menaiki kereta api pada waktu malam, bangun pagi sahaja sudah tiba tempat yang dituju. Untuk memajukan jenis pengangkutan ini kerajaan melalui badan berkanunnya Kereta api Malaysia Berhad (KTMB) telah memperkenalkan gerabak kereta api berhawa dingin kelas satu dan dua . KTMB juga telah menamatkan perkhidmatan gerabak kelas tiga yang tidak berhawa dingin.
Sementara itu, mereka yang ingin ke seberang laut, ramai yang memilih perkhidmatan kapal terbang dan kapal laut. Untuk meningkatkan mutu perkhidmatan Syarikat Penerbangan Malaysia Berhad (MAS) dan Air Asia telah menambah destinasi penerbangan baru dan membeli pesawat-peswat yang baru. Selain itu, syarikat penerbangan ini juga telah menawarkan pekej tambang murah khasnya yang telah dilakukan oleh Air Asia.Dengan cara ini, ramai pengguna akan mampu menggunakan perkhidmatan ini.
Sesungguhnya, sistem pengangkutan awam di Malaysia boleh dikatakan setanding dengan negara-negara maju. Oleh itu, menjadi tanggungjawab syarikat yang mengendalikan perkhidmatkan ini terus mengekalkan dan meningkatkan mutu perkhidmatan agar manarik minat pengguna menggunakannya.
KARANGAN BERPANDU 4
Lihat gambar di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentangfaktor-
faktor yang mendorong Malaysia menjadi destinasi pelancongan yang
menarik. Panjang huraian, antara 200 hingga 250 patah perkataan.
RANGKA KARANGAN
1.0
Pendahuluan
Malaysia berpotensi sebagai pelancongan menarik (AR)
Malaysia kaya dengan pelbagai tempat pelancongan menarik (HS)
Mampu menggamit sesiapa sahaja yang datang (HS)
Keindahan dan keunikan ini diihat daripada pebagai aspek (AA)
2.0
Isi / Fakta
2.1
Alam flora dan fauna yang indah
- Dipenuhi dengan pelbagai keaslian spesis tumbuhan, herba dan serangga.
- Taman Negara di Pahang dan Endau Rompin
- Pencinta alam dapat menikmati, mengkaji dan mengenali
- Tinggal di dalam hutan dengan menyewa chale atau khemah
2.2
Komposisi kaum yang unik
o
Masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa dan agama
iaitu Melayu, Cina dan India, Kadazan, Bidayuh dan sebagainya.
o
Memiliki keunikan budaya dari segi pakaian, tarian dan makanan.
o
Disajikan dengan persembahan tarian kebudayaan seperti Zapin, Inang, Ngajat, Tarian Singa dan Klasik India kepada para pelancong yang mengunjungi Rumah Kampung Budaya di Sarawak.
o
Menikmati keenakan masakan tradisi tempatan, biasanya disajikan
oleh hote-hotel atau restoran terkemuka.
o
Pelancong tidak berasa rugi berkunjung ke Malaysia kerana kaya
dengan pelbagai adat dan tradisi.
2.3
Malaysia memiliki destinasi pelancongan menarik
o
Tanah Tinggi seperti Tanah Tinggi Cameron dan Tanah Tinggi Genting, Pantai-pantai yang menawan seperti Rantau Abang dan Teluk Chempedak, Pulau-pulau yang indah seperti Pulau Tioman dan Pulau Langkawi.
o
Dijaga kebersihan dan keindahan alam sekeliling.
o
Menaiktaraf infrastruktur dan prasarana di mana-mana
sahaja
tempat pelancongan yang berpotensi.
3.0
Penutup
Masyarakat Malaysia harus memberi sokongan kepada pihak kerajaan dalam
menjayakan kempen cuti-cuti Malaysia dan Tahun Melawat Malaysia.
Rancanglah percutian yang menarik bersama keluarga kita di Malaysia kerana
segala-galanya ada di Malaysia.
CONTOH JAWAPAN KARANGAN BERPANDU
Malaysia memang berpotensi untuk memajukan sektor pelancongan. Hal ini demikian kerana Malaysia kaya dengan pelbagai tempat pelancongan yang menarik, indah dan menawan. Malaysia mampu menggamit sesiapa sahaja untuk berkunjung ke negara ini. Keindahan ini boleh dilihat daripada pelbagai aspek.
Alam flora dan fauna yang indah merupakan daya tarikan utama para pelancong dari dalam dan luar negara. Dalam belantara ini dipenuhi dengan pelbagai keaslian spesis tumbuhan yang dijaga dengan rapi oleh pihak-pihak tertentu seperti Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Perhutanan. Malah usaha kerajaan negeri Pahang dan Johor yang menjadikan hutan itu sebagai hutan simpanan iaitu Taman Negara di Pahang dan Endau Rompin merupakan khazanah yang bernilai bagi para pencinta alam untuk menikmati alam ciptaan-Nya. Mereka bukan sahaja dapat menikmati keindahan alam bahkan berpeluang juga mengenali jenis-jenis tumbuhan-tumbuhan dan
serangga-serangga di negara kita yang memiliki hutan hujan khatulistiwa. Bagi mereka yang berminat pastinya mereka akan tinggal beberapa hari dengan menyewa chalet yang disediakan oleh pihak- pihak tertentu. Jelaslah keindahan alam flora dan fauna mampu meningkatkan industri pelancongan di Negara ini umpama peribahasa sambil menyelam minum air kerana bukan sahaja memperoleh pendapatan malah nama negara dapat dikenali di peringkat antarabangsa.
Komposisi kaum yang unik di Malaysia juga menyumbang daya penggalak sektor pelancongan di negara ini. Para pelancong akan disajikan dengan persembahan kebudayaan pelbagai kaum oleh mana-mana kumpulan kebudayaan khas. Mereka pasti berasa kagum dengan keunikan budaya dari segi pakaian, tarian dan keenakan makanan tempatan yang mewarnai kehidupan di Malaysia. Pelbagai tarian tradisional seperti zapin, inang, ulik mayang, tarian singa, klasik India, ngajat dan sebagainya mampu manghiburkan para pelancong yang berkunjung ke kampong Budaya Sarawak dan pastinya akan membawa kenangan manis yang indah dihati pelancong. Malaysia yang kaya dengan pelbagai jenis makanan tempatan pelbagai kaum pasti mengundang rasa ingin datang lagi untuk merasai kelazatan makanan ini. Sesungguhnya, para pelancong tidak akan berasa rugi sekiranya berkunjung ke Malaysia kerana terdapat pelbagai masyarakat majmuk yang kaya dengan pelbagai adat dan tradisi mereka masing-masing.
Selanjutnya, kita juga memiliki destinasi pelancongan yang menarik. Antaranya, di kawasan tanah tinggi seperti di Tanah Tinggi Cameron dan Tanah Tinggi Genting. Selain itu, Malaysia juga memiliki pantai-pantai yang menawan seperti Rantau Abang dan Teluk Chempedak. Malahan juga memiliki pulau-pulau yang yang indah seperti Pulau Langkawi dan Pulau Tioman. Terdapat juga tempat dan bangunan bersejarah yang harus dilawati bagi mengenali Malaysia dengan lebih dekat lagi. Keistimewaan tempat pelancongan ini memberi banyak pengetahuan dan pengalaman kepada para pelancong. Setiap destinasi pelancongan sentiasa dijaga kebersihan dan keindahan alam sekeliling. Bukan itu sahaja, kerajaan juga memperuntukkan jumlah yang besar bagi menaik taraf infrastruktur dan prasarana di mana-mana tempat pelancongan yang berpotensi. Hal ini bagi memastikan para pelancong akan berasa seronok untuk melancong di sini. Tidak dinafikan lagi bahawa industri pelancongan merupakan serampang dua mata dalam usaha meningkatkan ekonomi dan pendapatan Negara.

Konklusi, masyarakat Malaysia haruslah sentiasa memberi sokongan kepada pihak kerajaan dalam menjayakan kempen cuti-cuti Malaysia dan Program Tahun Melawat Malaysia. Jadi, rancanglah percutian yang menarik bersama keluarga kita di Malaysia kerana segala-galanya ada di Malaysia.

No comments:

Post a Comment