Tuesday, 13 September 2011

Bincangkan langkah-langkah untuk menggalakkan industri pelancongan di Malaysia. (PMR)


Di Malaysia, industri pelancongan semakin pesat berkembang dan mendapat sambutan yang
menggalakkan daripada para pelancong sama ada pelancong luar negara atau pelancong dari dalam
negara. Hal ini demikian kerana Malaysia mempunyai banyak destinasi pelancongan yang menarik seperti Pulau Langkawi, Pulau Tioman, Pulau Pinang, Melaka Bandaraya Bersejarah dan Pantai Rantau Abang.
Kempen Cuti-Cuti Malaysia dan Tahun Melawat Malaysia turut mendorong kedatangan para pelancong luar ke negara kita. Bagi mengelakkan tanggapan indah khabar daripada rupa, maka semua pihak perlu
bekerjasama memastikan industri pelancongan kita menepati kehendak pelancong.
Bagi memastikan industri pelancongan Malaysia terus berkembang pesat, kerajaan telah dan
sedang meningkatkan kemudahan pengangkutan dan perhubungan. Pelancong-pelancong ditawari
pelbagai kemudahan pengangkutan seperti teksi, komuter, bas, feri dan kapal terbang. Tambahan pula,
persaingan yang sihat daripada pengusaha-pengusaha syarikat pengangkutan telah meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam di Malaysia. Para pelancong tidak perlu menghabiskan banyak masa menunggu perkhidmatan pengangkutan untuk bergerak dari suatu tempat ke suatu tempat. Manakala
pelancong tempatan pula yang menggunakan pengangkutan sendiri, tidak perlu merungut kerana jalan raya yang disediakan selesa dan lebar. Pembinaan Lebuh Raya Timur – Barat dan Lebuh Raya Utara Selatan
mempercepat perjalanan untuk ke sesuatu destinasi. Oleh itu, kemudahan pengangkutan dan perhubungan akan meningkatkan industri pelancongan di Malaysia.
Selain itu, kemudahan penginapan juga perlu ditingkatkan bagi menarik lebih banyak pelancong datang ke Malaysia. Hotel, aparment, rumah tumpangan dan calet perlu diperbanyak dan ditingkatkan mutu perkhidmatannya. Para pelancong dapat memilih tempat penginapan yang sesuai untuk mereka. Lazimnya, pelancong-pelancong asing gemar menikmati keindahan flora dan fauna yang terdapat di negara kita dan dengan kewujudan program ‘homestay’, para pelancong dapat memilih untuk menginap di kediaman berasaskan reka bentuk kampung. Melalui program ‘homestay’, didapati para pelancong mula selesa
apabila dapat tinggal bersama-sama dengan masyarakat setempat, mengetahui budaya dan adat resam masyarakat setempat, bak kata pepatah di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Para pelancong juga boleh memilih untuk menginap di hotel-hotel yang terdapat di Malaysia, contohnya Hotel Seri Malaysia.
Hotel Holiday Inn, Hotel Berjaya dan sebagainya lagi yang menawarkan pakej penginapan yang menarik dan murah. Oleh itu, langkah kerajaan memperbanyak tempat penginapan dapat meningkatkan industri
pelancongan negara.
  Kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Oleh yang demikian, kerajaan melalui Lembaga
Penggalakan Pelancong Malaysia (LPPM) wajar menyediakan maklumat yang lengkap tentang sesuatu tempat yang menarik di negara ini dan mengenal pasti tempat-tempat baharu yang boleh dilawati. Maklumat tentang tempat-tempat menarik di Malaysia dapat disebarkan melalui media massa seperti internet, majalah, risalah, televisyen dan radio. Pengiklanan menerusi internet merupakan kaedah yang berkesan dan murah kerana dengan sentuhan dan ‘klik’, seluruh penduduk dunia akan mengetahui tempat-tempat menarik di negara kita. Para pelancong yang suka akan tempat-tempat tinggi untuk dijelajahi akan mendapatkan
maklumat tentang Gunung Kinabalu, Gunung Tahan atau Gunung Ledang, manakala pelancong-pelancong
 yang gemar akan tempat-tempat bersejarah akan mendapatkan maklumat tentang Melaka Bandaraya Bersejarah, Lembah Bujang, Pulau Langkawi, Tasik Dayang Bunting dan sebagainya lagi. Dengan ini adalah jelas bahawa maklumat yang lengkap tentang sesuatu tempat yang menarik dapat meningkatkan industri pelancongan negara.
             Seterusnya, kepelbagaian budaya dan adat resam masyarakat di negara ini dapat menarik
pelancong luar berkunjung ke Malaysia. Kementerian Pelancongan seharusnya menjadikan kepelbagaian dan keunikan budaya serta adat resam kaum-kaum di Malaysia sebagai suatu pakej pelancongan. Tiga
etnik besar iaitu Melayu, Cina dan India yang hidup dalam keadaan harmoni dan saling menghormati
budaya dan adat resam masing-masing, boleh menjadi daya penarik pelancong asing untuk berkunjung ke Malaysia. Para pelancong pasti tertarik hati melihat permainan tradisi kaum Melayu seperti congkak dan wau, manakala kaum Cina dengan Tarian Naga yang unik dan penuh kesenian. Para pelancong juga pasti jatuh hati apabila menyaksikan adat perkahwinan kaum India yang penuh keceriaan dan berwarna-warni. Amalan budaya dan adat yang berbeza-beza inilah yang menyatukan rakyat Malaysia. Amalan hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah dapat menggambarkan kerukunan hidup rakyat Malaysia yang mungkin tidak terdapat di negara lain. Jadi, sewajarnyalah pihak kerajaan menggunakan kepelbagaian
budaya dan adat resam penduduk di negara ini untuk memajukan industri pelancongan negara.
Kesimpulannya, jelaslah bahawa pelbagai langkah dapat dilakukan untuk memastikan Malaysia menjadi pilihan pelancong tempatan dan pelancong luar negara. Namun demikian, kerjasama daripada
semua pihak sama ada pihak kerajaan, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat tempatan amat diperlukan untuk menjayakan segala program yang dirancangkan oleh Kementerian Pelancongan
Malaysia. Jika perkhidmatan yang kita berikan lebih baik, lebih cekap, lebih murah dan lebih menarik,
nescaya Malaysia akan terus dibanjiri oleh pelancong asing. Keadaan ini secara tidak langsung dapat
merealisasikan impian negara kita untuk menjadi negara yang maju dan terkenal di persada antarabangsa ibarat kata pepatah, berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain.

7 comments: