Kesan-kesan
kemasukan buruh Asing Di Malaysia
Penghijrahan
buruh asing untuk mencari rezeki di Malaysia telah menimbulkan berbagai-bagai
kesan baik, kesan positif mahupun kesan negatif. Kebanjiran pekerja asing dari
negara jiran terutamanya dari Indonesia, Filipina, Bangladesh dan Pakistan ke
Malaysia sesungguhnya telah mendatangkan kesan dari segi ekonomi dan dari segi
sosial. Jumlah pekerja asing kini dianggarkan kira-kira 2.5 juta orang atau
lebih kurang 10% daripada 28juta orang penduduk Malaysia. Rusuhan yang pernah
dicetuskan oleh pekerja Indonesia di depot tahanan Pekan Nenas, Johor dan
sebuah kilang di Nilai beberapa tahun dahulu sehingga sanggup membakar bangunan
dan merosakkan kenderaan polis telah membuka mata pihak pemerintah akan risiko
yang terpendam selama ini. Setelah menyedari hakikat itu, kerajaan telah
mengambil beberapa langkah khususnya operasi pembersihan untuk mengurangkan
jumlah buruh asing sehingga hanya merangkumi kira-kira 5% daripada jumlah
penduduk Malaysia.
Salah satu kesan
positif berikutan kemasukan buruh asing itu ialah kemasukan buruh asing yang
banyak boleh dijadikan sebagai satu sumber tenaga kerja yang dapat menjana
ekonomi negara. Misalnya, sektor perladangan dan sektor pembinaan di negara ini
sukar untuk beroperasi jika ketandusan tenaga pekerja asing. Hal ini demikian
kerana rata-ratanya rakyat tempatan yang semakin tinggi cita rasanya sebagai
akibat peningkatan taraf hidup memang menganggap kerja-kerja dalam
sektor-sektor berkenaan sebagai kerja bawahan. Serentak dengan itu, memang
tidak dapat dinafikan juga bahawa sebahagian daripada pembangunan pesat yang
dinikmati oleh negara kita sebelum kegawatan ekonomi 1997-1998 telah
’disambungkan’ oleh kebanjiran pekerja asing. Sekiranya kita lebih peka, akan
kita akuri hakikat bahawa pekerja Indonesialah yang menyabung nyawa di puncak
bangunan, menaikkan kepingan konkrit dan ada kalanya mengorbankan nyawa untuk
membina bangunan-bangunan tinggi yang tersergam indah dan menjadi kebanggaan
negara seperti Menara Kembar Petronas dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala
Lumpur (KLIA).
Namun begitu,
kebanjiran buruh asing telah meruncingkan masalah pengangguran dalam kalangan
rakyat tempatan. Seperti yang kita maklumi, zaman ini zaman globalisasi.
Kebangkitan kuasa ekonomi baru terutamanya negara China dan India telah memberi
saingan yang hebat kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana ( PKS ) tempatan yang
gagal meningkatkan produktiviti mereka. Sebagai akibat, majikan tempatan yang
ingin mengurangkan kos pengeluaran pula akan terus memberikan keutaman kepada
pekerja asing yang kononnya kurang cerewet, tidak menutut gaji yang tinggi dan
sanggup bekerja dalam tempoh masa yang lebih panjang jika dibandingkan dengan
pekerja tempatan. Serentak dengan itu, dilaporkan bahawa pendatang-pendatang asing
khusunya rakyat indonesia juga menjalankan perniagaan secara haram di negara
kita. Contohnya, siasatan telah menunjukkan bahawa lebih kurang 40% daripada
35000 gerai berlesen yang dikhususkan untuk penjaja tempatan khasnya Melayu di
Lembah Klang telah ”diambil alih” oleh pendatang asing. Lantaran itu, tidak
keterlaluan jika kita mengatakan bahawa ”periuk nasi” anak tempatan turut
dirampas oleh buruh asing.
Jika kita tinjau
dari segi ekonomi, kebanjiran buruh asing yang tidak terkawal juga didapati akan
menggoyah kemantapan ekonomi negara yang masih menjalani pengukuhan. Hal ini demikian kerana apabila buruh
asing bekerja dalam sektor perladangan, sektor pembinaan atau dalam
sektor-sektor lain, mereka akan mendapat upah. Lazimnya, mereka tidak membelanjakan
upah yang diperoleh di negara ini. Sebaliknya, sebahagian daripada pendapatan
mereka akan dihantar ke negara asal mereka bagi menampung hidup keluarga
masing-masing. Perangkaan menunjukkan bahawa kira-kira RM 6 billion telah
mengalir keluar setiap tahun sebagai ekoran pengiriman wang ke negara asal
masing-masing oleh lebih daripada 2.5 juta orang pekerja asing yang meliputi
warga Indonesia, Pakistan, Filipina, Myanmar dan Bangladesh. Sehubungan dengan
itu, setiap tahun kerajaan juga dapati mebelanjakan lebih RM 2 juta untuk
membiayai makanan pedatang tanpa izin dalam tahanan. Hal ini nescaya akan
menjejaskan imbangan pembayaran negara dan seterusnya membantutkan segala usaha
murni kerajaan dalam mengembalikan ekonomi negera ke landasan yang sewajarnya.
Kemasukan buruh
asing secara tidak terkawal juga menjadi ’duri dalam daging’ yang mencetuskan
pelbagai masalah sosial dan mengancam ketenteraman masyarakat setempat.
Pekerja-pekerja asing terutamanya pendatang-pendatang tanpa izin yang masuk ke
negara kita telah mewujudkan perkampungan sendiri yang terasing daripada
penduduk tempatan. Misalnya, mereka telah didapati membina petempatan setinggan
dengan meneroka tanah rizab kerajaan secara haram. Laporan menunjukkan bahawa
Kampung Pandan Dalam yakini petempatan asing terbesar di Lembah Klang telah
dihuni lebih kurang 6000 orang pendatang tanpa izin. Hal ini akan mewujudkan
ketidaksefahaman malah ketegangan antara pedagang tanpa izin dengan penduduk
tempatan. Sejajar dengan itu, ada setengah-setengah buruh asing yang berani
mempersenda undang-undang dan adat setempat dengan membabitkan diri dalam
pelbagai jenayah seperti pergaduhan, rompakan, perogolan, pelacuran, perjudian
dan pembunuhan. Masalah-masalah sosial itu bukan sahaja membimbangkan penduduk
tempatan malah membebani kerajaan dalam usaha pembendungan.
Selain
membabitkan diri dalam pelbagai jenayah, kebanjiran burh asing juga mengancam
kesihatan rakyat Malaysia secara tidak langsung. Hal ini demikian kerana kajian
menunjukkan bahawa Malaysia yang telah disahkan bebas daripada beberapa jenis
penyakit berbahaya seperti tibi dan sifilis kini diserang semula penyakit-penyakit
tersebut. Aliran perkembangan yang meresahkan ini pula berlaku kebetulnnya
sejak negara kita mula menerima kemasukan buruh-buruh asing untuk mengisi
kekosongan dalam pelbagai sektor pada awal 90-an. Walaupun secara teorinya
buruh asing yang datang ke negara ini secara sah atau mempunyai permit
diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan, namun hakikatnya banyak buruh asing
yang didapati telah melakukan penipuan tentang status kesihatan mereka
terutamanya warga Indonesia. Sebagai contohnya, mereka didapati membawa
pelbagai penyakit berbahaya seperti sifilis, tibi, malaria, barah, kusta, Aids
dan Hepatitis B. Oleh sebab itu, apabila rakyat tempatan bercampur gaul dengan
buruh asing yang membawa penyakit berbahaya, sudah pasti penyakit tersebut
mudah menjalar kepada rakyat tempatan.
Kesimpulannya,
memandangkan begitu banyaknya kesan negatif yang ditimbulkan oleh kemasukan
buruh asing, syor kerajaan untuk membekukan pengambilan pekerja asing atau
menyahkan pekerja-pekerja terutama pekerja Indonesia yang menyalahgunakan
keterbukaan pihak berkuasa memang dialu-alukan. Lantaran itu. ”sebelum kudis
menjadi tolok”, pijak berkenaan khususya jabatan imigresen dan pihak Polis
perlu memperketat pengawasan di perairan negara dan pintu masuk ke Malaysia
serta menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada. Seiring dengan itu, kita
perlu sedar bahawa kita tidak boleh bergantugn kepada rakyat asing untuk selama-lamanya. Usaha-usaha yang terancang
perlu untuk mengelakkan Malaysia daripada dimanipulasi oleh orang-orang luar.
Atas kesedaran itu, semua pihak baik kerajaan mahupun swasta harus menggembleng
tenaga dan merangka stategi yang ampuh lagi bersepadu untuk menangani masalah
ini sampai akar umbinya agar tidak sampai ”kera di hutan disusui sementara anak
di rumah mati kebuluran”.!
No comments:
Post a Comment