Tuesday 13 September 2011

Menghayati Gagasan Satu (SPM)


MODUL KARANGAN RAMALAN SPM

Menghayati Gagasan Satu Malaysia

Seperti yang sering ditegaskan oleh perdana Menteri,Datuk Najib tun Razak,Konsep 1 Malaysia atau satu Malaysia bukanlah konsep atau formula baharu. Konsep yang bermatlamatkan perpaduan nasional juga merupakan wawasan pemimpin-pemimpin negara terdahulu yang telah diterjemahkan dalam pelbagai rupa bentuk dan jelmaan sepanjang lebih hina dekad kita mencapai matlamat.
Sejarah kesultanan Melayu Melaka 500 tahun lalu telah mempamerkan contoh terbaik. Pemimpin negara ketika itu yang terdiri daripada orang Melayu dan bumiputera mampu mewujudkan satu  masyarakat cosmopolitan. Sejarah negeri Melaka,misalnya ketika itu mempunyai 25 bahasa dan 250,000 penduduk terdiri daripada pelbagai hidup secara harmonis 110 tahun. Hal ini merupakan satu manifestasi daripada perpaduan dalam kepelbagaian. Jika diamati,apa-apa yang berubah adalah pendekatan dan gerak kerja menurut kesesuaian zaman dan generasi yang silih berganti. Gagasan ini bukan satu pendekatan yang terpisah daripada dasar-dasar kerajaan sebelum ini,sebaliknya merupakan pelengkap kepada pendekatan yang sedia ada untuk mengukuhkan perpaduan bagi menjamin kestabilan kea rah mencapai kemajuan dan pembangunan yang lebih tinggi bagi rakyat dan negara Malaysia.
Tegasnya,gagasan 1 Malaysia yang bertujuan untuk membentuk pembinaan sebuah negara yang bersatu padu berasaskan prinsip penerimaan,kesaksamaan,dan perkongsian antara masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini juga menepati kehendak dalam tuntutan Islam. Hal ini dijelaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri,Senator Mejar Jeneral ( B ) datuk Jamil Khir Baharom,bahawa Islam menyatakan manusia diciptakan Allah dengan pelbagai rupa bangsa,kulit yang berbeza,budaya,serta bahasa dengan matlamat saling berkenalan antara satu sama yang lain. Manusia tidak mungkin berkenalan jika tiada hubungan perasaan,saling ada kecurigaan dan kurang yakin antara satu sama lain. Misalnya ,proses perkenalan tidak akan berlaku antara pasangan kekasih sekiranya kedua-duanya tidak suka kerana perasaan suka itu mesti tumbuh dalam diri masing-masing.
Rasullah menyebut bahawa terdapat tiga jenis jiran dalam Islam dengan yang pertama jiran bukan islam,jiran sesame Islam dan jiran sekeluarga sesama Islam yang menjadi tanggungjawab seseorang muslim itu.Maknanya,Islam mengungkap seluruh orang tersebut dalam golongan yang sama dan hubung kaitnya dengan 1 malaysia adalah merupakan satu usaha membina rakyat Malaysia yang saling menghormati antara satu sama lain. Dengan kata lain,tiada seorang pun merasakan dirinya terpisah atau tertinggal dalam arus perdana kehidupan sebagai rakyat Malaysia.
Di samping itu,1 Malaysia juga digagaskan sebagai satu formula yang menjadi prasyarat bagi memastikan aspirasi negara,iaitu wawasan 2020 tercapai jika diterapkan ke dalam sanubari rakyat dan diamalkan oleh setiap lapisan  masyarakat. Bagi mencapai status negara maju dalam jangka masa yang telah ditetapkan,syarat yang paling utama ialah sebuah negara yang kukuh dan stabil dan ini akan hanya dapat dicapai apabila rakyatnya bersatu padu. Perpaduan yang digambarkan melalui gagasan 1 Malaysia amat berbeza daripada konsep asimilasi yang diamalkan di negara-negara lain kerana identity kaum-kaum etnik dilenyapkan dan diganti dengan satu identiti nasional yang sama. Namun,gagasan 1 Malaysia tidak sekali kali menyimpang daripada roh Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang negara sama ada secara tersurat atau secara tersirat. Malahan ,gagasan 1 malaysia kekal menjunjung kesemua peruntukan teras seperti perkara 3 dan bahagian 3 seperti mana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Oleh hal yang demikian,janganlah mana-mana pihak berasa khuatir atau menaruh syak,serta bimabang bahawa konsep ini akan terpesong daripada apa-apa yang telah dipersetujui oleh pemimpin-pemimpin tersohor negara suatu ketika dahulu.
Konsep 1 Malaysia juga bukan satu dasar yang tetap sebaliknya boleh mengalami evolusi dan menerima input-input dari semasa ke semasa. Proses penambahbaikan nilai-nilai murni atas dasar itu boleh berlaku mengikut peredaran waktu. Untuk itu, Datuk Seri melalui laman blognya 1 Malaysia telah menghuraikan lapan nilai atau prinsip kendiri yang perlu dihayati dan diterokai. Lapan nilai itu ialah budaya kecemerlangan seperti dalam amalan bekerja dan sikap, ketabahan dalam amalan bekerja dan sikap, ketabahan dalam mengharungi cabaran, rendah hati atau tawadhuk dan tanpa riak, penerimaan (bersyukur atas apa-apa yang diperoleh), kesetian (patuh dan akur, tetapi bukan secara membuta tuli), meritokrasi (pertimbangan mengikut prinsip kelayakan, tetapi perlu disesuaikan dengan situasi dan kondisi negara), pendidikan (berilmu, tetapi menjaga kepentingan semua), dan integriti ( jujur dan benar, serta sanggup mengakui kelemahan diri ). Kelapan-lapan nilai atau ciri inilah merupakan pengisian pada 1 Malaysia. Namun, dalam melaksanakan komitmennya terhadap rakyat, kerajaan telah mengutarakan tema “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” sebagai sebahagian daripada konsep 1 Malaysia. Tema ini selain menekankan peri pentingnya perpaduan rakyat Malaysia, kerajaan juga akan memberikan keutamaan kepada isu-isu yang dianggap penting oleh rakyat. Rakyat sebenarnya sangat berharap untuk melihat satu bentuk baru kenegaraan di bawah kepemimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak, khusunya menjelmakan janji mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian.
Apa-apa yang rakyat ingin lihat ialah pelaksanaan gagasaan 1Malaysia secara menyeluruh dan konsisten dalam semua aspek kehidupan rakyat negara ini, tanpa membezakan warna kulit. Perbezaan agama serta budaya etnik. Beliau juga amat gembira kerana konsep pentadbiran 1 Malaysia secara asasnya diterima oleh sebahagian besar rakyat negara ini. Malahan, dalam konteks hubungan luar negara, konsep 1 Malaysia bukan sahaja diterima di peringkat dalam negara malah turut diterima di peringat antarabangsa memandangkan negara ini mempunyai kelebihan strategik yang dimaksudkan adalah konsep pintu masuk negara untuk mempunyai hubungan dengan negara-negara kuasa tamadun dunia seperti China, India, Timur Tengah, dan dunia Melayu( Indonesia). Hubungan baik Malaysia dengan negara-negara besar sempurna itu sudah pasti memberi kelebihan kepada negara ini terutamanya dalam bidang pelaburan serta dana kewangan. Kekuatan kita ini bukan sahaja soal dalaman tetapi boleh diterjemahkan senagai kelebihan strategic kepada negara di peringkat dunia.
Secara tuntas, gagasan 1 Malaysia yang diilhamkan oleh pemimpin nombor satu negara merupakan pendekatan ideal dan kesinambungan kepada agenda membnagunkan negara dengan lebih berkesan. Dalam hubungan ini tidak ada nombor yang lebih dominant daripada satu dan tidak ada jenama yang terbaik di negara ini selain 1 Malaysia. Oleh itu, diharap gagasan ini akan memberi nafas dan tenaga baharu kepada Wawasan 2020, Misi Nasional, dan semua insiatif yang telah dimajukan sebelum ini, di samping memupuk semangat saling menghormati dan menerima kepelbagaian sosial budaya dalam kalangan rakyat Malaysia. 1 Malaysia juga perlu sampai ke telinga rakyat dengan satu kefahaman yang jelas dan ikhlas. Jangan jadi seperti mengalunkan lagu kepada si pekak, irama, dan melodinya lunak merdu, tetapi tidak dapat dinikmati dengan jelas, tetapi jika kena alunanya, si pekak dapat menghayatinya walaupun iramanya perlahan.





Kesan-kesan kemasukan buruh Asing Di Malaysia

Penghijrahan buruh asing untuk mencari rezeki di Malaysia telah menimbulkan berbagai-bagai kesan baik, kesan positif mahupun kesan negatif. Kebanjiran pekerja asing dari negara jiran terutamanya dari Indonesia, Filipina, Bangladesh dan Pakistan ke Malaysia sesungguhnya telah mendatangkan kesan dari segi ekonomi dan dari segi sosial. Jumlah pekerja asing kini dianggarkan kira-kira 2.5 juta orang atau lebih kurang 10% daripada 28juta orang penduduk Malaysia. Rusuhan yang pernah dicetuskan oleh pekerja Indonesia di depot tahanan Pekan Nenas, Johor dan sebuah kilang di Nilai beberapa tahun dahulu sehingga sanggup membakar bangunan dan merosakkan kenderaan polis telah membuka mata pihak pemerintah akan risiko yang terpendam selama ini. Setelah menyedari hakikat itu, kerajaan telah mengambil beberapa langkah khususnya operasi pembersihan untuk mengurangkan jumlah buruh asing sehingga hanya merangkumi kira-kira 5% daripada jumlah penduduk Malaysia.

Salah satu kesan positif berikutan kemasukan buruh asing itu ialah kemasukan buruh asing yang banyak boleh dijadikan sebagai satu sumber tenaga kerja yang dapat menjana ekonomi negara. Misalnya, sektor perladangan dan sektor pembinaan di negara ini sukar untuk beroperasi jika ketandusan tenaga pekerja asing. Hal ini demikian kerana rata-ratanya rakyat tempatan yang semakin tinggi cita rasanya sebagai akibat peningkatan taraf hidup memang menganggap kerja-kerja dalam sektor-sektor berkenaan sebagai kerja bawahan. Serentak dengan itu, memang tidak dapat dinafikan juga bahawa sebahagian daripada pembangunan pesat yang dinikmati oleh negara kita sebelum kegawatan ekonomi 1997-1998 telah ’disambungkan’ oleh kebanjiran pekerja asing. Sekiranya kita lebih peka, akan kita akuri hakikat bahawa pekerja Indonesialah yang menyabung nyawa di puncak bangunan, menaikkan kepingan konkrit dan ada kalanya mengorbankan nyawa untuk membina bangunan-bangunan tinggi yang tersergam indah dan menjadi kebanggaan negara seperti Menara Kembar Petronas dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Namun begitu, kebanjiran buruh asing telah meruncingkan masalah pengangguran dalam kalangan rakyat tempatan. Seperti yang kita maklumi, zaman ini zaman globalisasi. Kebangkitan kuasa ekonomi baru terutamanya negara China dan India telah memberi saingan yang hebat kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana ( PKS ) tempatan yang gagal meningkatkan produktiviti mereka. Sebagai akibat, majikan tempatan yang ingin mengurangkan kos pengeluaran pula akan terus memberikan keutaman kepada pekerja asing yang kononnya kurang cerewet, tidak menutut gaji yang tinggi dan sanggup bekerja dalam tempoh masa yang lebih panjang jika dibandingkan dengan pekerja tempatan. Serentak dengan itu, dilaporkan bahawa pendatang-pendatang asing khusunya rakyat indonesia juga menjalankan perniagaan secara haram di negara kita. Contohnya, siasatan telah menunjukkan bahawa lebih kurang 40% daripada 35000 gerai berlesen yang dikhususkan untuk penjaja tempatan khasnya Melayu di Lembah Klang telah ”diambil alih” oleh pendatang asing. Lantaran itu, tidak keterlaluan jika kita mengatakan bahawa ”periuk nasi” anak tempatan turut dirampas oleh buruh asing.

Jika kita tinjau dari segi ekonomi, kebanjiran buruh asing yang tidak terkawal juga didapati akan menggoyah kemantapan ekonomi negara yang masih menjalani pengukuhan. Hal ini demikian kerana apabila buruh asing bekerja dalam sektor perladangan, sektor pembinaan atau dalam sektor-sektor lain, mereka akan mendapat upah. Lazimnya, mereka tidak membelanjakan upah yang diperoleh di negara ini. Sebaliknya, sebahagian daripada pendapatan mereka akan dihantar ke negara asal mereka bagi menampung hidup keluarga masing-masing. Perangkaan menunjukkan bahawa kira-kira RM 6 billion telah mengalir keluar setiap tahun sebagai ekoran pengiriman wang ke negara asal masing-masing oleh lebih daripada 2.5 juta orang pekerja asing yang meliputi warga Indonesia, Pakistan, Filipina, Myanmar dan Bangladesh. Sehubungan dengan itu, setiap tahun kerajaan juga dapati mebelanjakan lebih RM 2 juta untuk membiayai makanan pedatang tanpa izin dalam tahanan. Hal ini nescaya akan menjejaskan imbangan pembayaran negara dan seterusnya membantutkan segala usaha murni kerajaan dalam mengembalikan ekonomi negera ke landasan yang sewajarnya.

Kemasukan buruh asing secara tidak terkawal juga menjadi ’duri dalam daging’ yang mencetuskan pelbagai masalah sosial dan mengancam ketenteraman masyarakat setempat. Pekerja-pekerja asing terutamanya pendatang-pendatang tanpa izin yang masuk ke negara kita telah mewujudkan perkampungan sendiri yang terasing daripada penduduk tempatan. Misalnya, mereka telah didapati membina petempatan setinggan dengan meneroka tanah rizab kerajaan secara haram. Laporan menunjukkan bahawa Kampung Pandan Dalam yakini petempatan asing terbesar di Lembah Klang telah dihuni lebih kurang 6000 orang pendatang tanpa izin. Hal ini akan mewujudkan ketidaksefahaman malah ketegangan antara pedagang tanpa izin dengan penduduk tempatan. Sejajar dengan itu, ada setengah-setengah buruh asing yang berani mempersenda undang-undang dan adat setempat dengan membabitkan diri dalam pelbagai jenayah seperti pergaduhan, rompakan, perogolan, pelacuran, perjudian dan pembunuhan. Masalah-masalah sosial itu bukan sahaja membimbangkan penduduk tempatan malah membebani kerajaan dalam usaha pembendungan.

Selain membabitkan diri dalam pelbagai jenayah, kebanjiran burh asing juga mengancam kesihatan rakyat Malaysia secara tidak langsung. Hal ini demikian kerana kajian menunjukkan bahawa Malaysia yang telah disahkan bebas daripada beberapa jenis penyakit berbahaya seperti tibi dan sifilis kini diserang semula penyakit-penyakit tersebut. Aliran perkembangan yang meresahkan ini pula berlaku kebetulnnya sejak negara kita mula menerima kemasukan buruh-buruh asing untuk mengisi kekosongan dalam pelbagai sektor pada awal 90-an. Walaupun secara teorinya buruh asing yang datang ke negara ini secara sah atau mempunyai permit diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan, namun hakikatnya banyak buruh asing yang didapati telah melakukan penipuan tentang status kesihatan mereka terutamanya warga Indonesia. Sebagai contohnya, mereka didapati membawa pelbagai penyakit berbahaya seperti sifilis, tibi, malaria, barah, kusta, Aids dan Hepatitis B. Oleh sebab itu, apabila rakyat tempatan bercampur gaul dengan buruh asing yang membawa penyakit berbahaya, sudah pasti penyakit tersebut mudah menjalar kepada rakyat tempatan.

Kesimpulannya, memandangkan begitu banyaknya kesan negatif yang ditimbulkan oleh kemasukan buruh asing, syor kerajaan untuk membekukan pengambilan pekerja asing atau menyahkan pekerja-pekerja terutama pekerja Indonesia yang menyalahgunakan keterbukaan pihak berkuasa memang dialu-alukan. Lantaran itu. ”sebelum kudis menjadi tolok”, pijak berkenaan khususya jabatan imigresen dan pihak Polis perlu memperketat pengawasan di perairan negara dan pintu masuk ke Malaysia serta menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada. Seiring dengan itu, kita perlu sedar bahawa kita tidak boleh bergantugn kepada rakyat asing untuk  selama-lamanya. Usaha-usaha yang terancang perlu untuk mengelakkan Malaysia daripada dimanipulasi oleh orang-orang luar. Atas kesedaran itu, semua pihak baik kerajaan mahupun swasta harus menggembleng tenaga dan merangka stategi yang ampuh lagi bersepadu untuk menangani masalah ini sampai akar umbinya agar tidak sampai ”kera di hutan disusui sementara anak di rumah mati kebuluran”.!



MEMELIHARA WARISAN KEBANGSAAN

Pendahuluan

Menghargai sejarah dan warisan adalah suatu yang masih longgar dan tidak kukuh dalam kalangan masyarakat tempatan. Sejarah selalu dilupkan dan peninggalan warisan pula selalu diabaikan. Hal ini disebabkan ada tanggapan bahawa kedua-duanya tidak releven dengan keperluan hari ini dan masa depan. Sejarah dan warisan selalu difahami sebagai ‘benda mati’ maka kepada sesetengah orang, kedua-duanya tidak bernilai lagi kecuali sedikit sentimental kepada masa lampau. Benda-benda warisan yang ditinggalkan itu adalah kesan laluan sejarah kepada sesuatu bangsa. Tegasnya, peninggalan sejarah dan warisan merupakan aset yang mesti dipertahankan dan dijaga dengan baik agar dapat dijadikan sumber rujukan, serta tatapan kepada generasi akan datang, di samping mampu menarik pelancong ke negara ini.

Warisan-warisan budaya dan semula jadi tidak hanya penting kepada negera, tetapi kepada seluruh dunia dan manusia sejagat. Warisan-warisan ini dianggap mempunyai nilai keunggulan sejagat. Warisan-warisan ini tidak akan dapat diganti dan kehilangannya bererti kerugian kepada manusia seluruh dunia ini. Oleh itu, sudah menjadi satu tanggungjawab bersama bagi semua pihak untuk memastikan kepentingan sejagat ini bebas daripada bahaya dan ancaman kemusnahan dan keluputan. Sehubungan dengan itu, pelbagai langkah dan tidakan telah diambil oleh kerajaan pusat dan negeri dalam memastikan proses pemuliharaan tinggalan bersejarah dan melestarikan nilai pelbagai warisan turun-temurun ini dirteruskan. Dalam konteks memelihara dan memulihara produk warisan, pengisytiharan yang pertama pernah diadakan di Parlimen dengan mengisytiharkan 50 butiran warisan yang diangkat menjadi Warisan Kebangsaan pada tahun 2007 bersempena dengan 50 tahun kemerdekaan Malaysia.

Ekoran daripada itu, pihak Kementerian Perapaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KPKKW) telah memproklamirkan sebanyak 173 butiran warisan lagi sebagai warisan kebangsaan. Senarai tersebut terdiri daripada semua butiran warisan yang disebut dalam Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645). Kewujudan daftar Warisan Kebagsaan seumpama itu membuktikan bahawa negara kita memberikan penekanan betapa peri pentingnya setiap jenis warisan. Malaysia adalah antara negara yang ke depan dalam perkara ini bersama-sama negara maju lain seperti united Kingdom dan Australia. Hal ini bukan sekadar daftar warisan, tetapi merupakan cermin kebijaksanan setempat atau ;local genius’ yang digunakan setiap hari tanpa disedari bahawa amalan itu diperturunkan nenek moyang.

Tujuan pengisythiharan ini adalah untuk memberi kesedaran kapada masyarakat kepantingan memulihara dan memelihara warisan Negara agar terus berkekalan dan menjadi warisan generasi akan datang. Majlis pengisytiharan kedua ini telah diadakan pada 14 Februari 2009 dan disempurnakan oleh Menterinya YB Dato’ Seri Hj. Mohd Shafie bin Hj. Apdal di Victoria Institution. Sempena majlis tersebut, butiran warisan yang diisyiharkan merangkumi Tapak Warisan-monumen atau bangunan, arkeologi, dan alam semula jadi; Objek Warisan- artifak, kerja seni, manuskrip, lagu rakyat, puisi, tradisi lisan, tarian, dan seni mempertahankan diri; serta Tokoh Orang Hidup. Hal ini menunjukkan negara kita kaya dengan khazanah warisan yang terdiri daripada pelbagai adapt, budaya, dan agama KPKKW melalui agensinya iaitu Jabatan Warisan Negara (JWN) bertanggungjawab untuk mendaftarkan semua butiran warisan yang telah diwartakan (KeKKWa) ditubuhkan pada 1 Mac 2006 lantaran berkuatkuasanya suatu akta yang dikenali sebagai Akta Warisan kebangsaan 2005( Akta 645) menggantikan Akta Benda Purba 1976 (Akta 168) dan Akta Harta Karun 1957 yang diguna pakai bagi perlindungan dan pemeliharaan warisan negara berkaitan barang purba, monument, dan tinggalan kebudayaan.

Akta Warisan Kebangsaan meliputi Warisan Budaya( Cultural Heritage ) yang dipecahkan kepada warisan ketara ( Tangible heritage ) dan warisan tidak ketara ( intangible heritage ), Warisan semula jadi ( Natural Heritage ), serta Warisan Budaya Bawah Air ( Underwater Cultural Heritage ). Warisan  ketara bermaskud sesuatu yang kekal dilihat dan dipegang sama ada static ( tapak tanah bersejarah, monument, bangunan, atau alam semula jadi), atau mudah alih ( artifak-artifak bahan budaya yang boleh dipindahkan. Manakala, warisan tak ketara pula merujuk warisan tidak nyata, iaitu ilmu dan kepakaran yang ditafsir melalui tardisi memlalui tradisi lisan, nilai-nilai adat dan budaya, bahasa dan persuratan. Sebagai sebuah entity yang dipertanggungjawab untuk mempertahankan kesinambungan warisan negara, JWN berfungsi secara dinamiknya untuk menggembleng usaha kea rah memartabatkan warisan kebudayaan dan warisan semula jadi negara. Berdasarkan matlamat tersebut JWN  bertanggungjawab untuk mengekal dan dan memulihara warisan negara sama ada dalam bentuk ketara mahupun etara.

Sehubungan dengan itu, Sekolah Menengah Kebangsaan Victoria turut disenaraikan sebagai Warisan Kebangsaan bagi ketegori Tapak Warisan ( Bangunan ) bersama-sama 16 butiran yang lain. SMK Victoria atau kini dikenali semula sebagai Victoria Institution ilah antara bangunan yang tersenarai sebagai Warisan Kebangsaan kerana peninggalan warisan  seni bina, kepentingan sejarah penggunaannya, serta kejayaan sekolah itu dalam melahirkan tokoh-tokoh ulung dalam politik, ushawan, sukan dan pentadbir. Usaha untuk mengangkat martabat tapak warisan seumpama itu juga pernah dilakukan di peringkat antarabangsa, iaitu seperti tujuh monument ajaib dunia termasuklah Primaid Giza, Taj Mahal, dan Colosseum di Rom.

Soalnya mengapa dunia mengangkat bangunan-bangunan lama ini sebagai suatu yang sangat bernilai waima selepas ribuan tahun pembinaanya? Faktornya tentulah sejarah yang tercipta di sebalik binaan itu yang mempunyai hubung kiat dengan kecemerlangan silam. Di Paris, misalnya terdapat ratusan bangunan yang diwartakan sebagai warisan mempunyai sejarah tentang tamadun Perancis. Salah satunya kediaman Victor Hugo, sasterawan tersohor Perancis yang dipelihara sebagai muzium hingga kini. Padahal tidak ada keunikan di kediaman itu, tetapi kerana nilai sejarah kediaman itu yang menyumbang kepada kemasyhuran Victor Hugo. Di Negara kita, antara tapak warisan yang telah diwartakan termasuk Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim, Perak: Universiti Malaya, Lembah Pantai ;Bagunan Stadhuys dan Gereja Christ, Melaka: Istana Lama Sri Mnanti, Negeri Sembilan;Masjid Jamek Jalan Tun Perak; Masjid Kampung Keling dan Kuil Poyyata Vinagar Moorthi di Melaka serta Muzium Perak, Jalan Taming Sari, Perak.

Dari segi pengiktirafan Warisan Antarabangsa pula, Malaysia berjaya menyenaraikan dua lagi tapak warisan dunia di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan kebudayaan Pertubuhan bangsa bersatu (UNESCO) melalui Bandar Melaka dan Georgetown, Pulau Pinang. Pengiktirafan yang diterima oleh kedua-dua Bandar raya tersebut deperoleh pada 7 julai 2008 pada persidangan Jawatankuasa Warisan Dunia ke-32 yang berlangsung di Quebec City, kanada. Kejayaan kedua-dua Bandar raya tersebut yang disenaraikan bersama sebagai Bandar Sejarah Selat Melaka itu adalah suatu yang kejayaan besar bagi Malaysia khusunya Melaka dan Pulau Pinang memandangkan usaha untuk mendapat pengiktirafan tersebut telah dilakukan sejak tahun 2001. Kejayaan itu menjadikan Malaysia kini mempunyai tiga tapak warisan dunia selepas Taman Negara Mulu, Sarawak dan Taman kinabalu, Sabah yang memperoleh pengiktirafan itu bagi kategori tapak alam semula jadi pada tahun 2000. Menurut kenyataan UNESCO, pihaknya menerima 45 pencalonan bagi kedua-dua kategori tapak kebudayaan dan alam semula jadi, tetapi hanya memilih 27 daripadanya,iaitu 19 bagi kategori tapak warisan dan lapan untuk alam semula jadi.

Dari segi warisan makanan pula,terdapat pelbagai jenis makanan kegemaran rakyat Malaysia yang dapat diketengahkan. Hal ini demikian kerana setiap kaum mewarisi makanan turun-temurun masing-masing dan kita tidak mahu keistimewaan sesuatu  masakan yang diwarisi oleh bangsa tertentu hilang begitu sahaja dek terdedah kepada makanan barat. Sebanyak 100 lagi makanan tradisional pelbagai kaum  di negara ini turut disenaraikan sebagai  Masakan warisan kebangsaan bagi kategori warisan tidak ketara ( makanan ) 2009 termasuk nasi dagang,nasi lemak,nasi kerabu,nasi himpit,kuih cincin,keropok,tosai dan roti canai. Sejak zaman berzaman,makanan tradisional seperti itu telah lama menjadi identity sesuatu kaum kerana keistimewaannya. Daripada lauk-pauk,kuih-muih  hinggalah makanan pembuka selera turut merentasi budaya dan bangsa di negara ini. Tegasnya, pengisytiharan warisan makanan sebagai warisan kebudayaan tidak ketara cukup signifikan dalam membudayakan masyarakat terhadap satu lagi warisan negara

Kesimpulan :

Secara tuntas,kesemua daftar warisan kebangsaan tersebut adalah bagi mengenal pasti butiran warisan yang dimiliki negara dalam usaha menyelamatkannya daripada pupus. Khazanah  berkenaan memang seharusnya dipelihara dan dipulihara supaya dapat diwariskan kepada generasi akan datang serta diurus tadbir dengan baik. Namun ,dalam percaturan antara nilai komersial dan warisan,sudah tentulah warisan akan tewas kepada perkiraan ringgit dan tunturan modenisasi.






MEMPERKUKUH  TRADISI  HIDUP  BERJIRAN


Pendahuluan

            Kehidupan bermasyarakat tidak terlepas daripada amalan hidup secara berjiran. Lazimnya jiran tetangga terdiri daripada kaum keluarga, rakan taulan, dan orang luar. Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, tradisi hidup berjiran atau semangat kejiranan berdasarkan perbezaan bangsa dan agama sudah sinonim sejak sekian lama. Perbezaan bangsa, agama, adat, dan budaya tidak seharusnya dijadikan sempadan untuk memisahkan atau membina benteng daripada amalan hidup sesame jiran tetangga. Namun, realiti masyarakat hari ini mengambil mudah berhubung semangat kejiranan ini. Mungkin alasan kesibukan seharian dan mengejar karier menyebabkan amalan kejiranan semakin dilupakan, malah ada jiran tetangga yang saling tidak mengenali antara satu sama lain, malah tidak pernah bertegur sapa. Oleh itu, usaha untuk mengekalkan hubungan baik sesama jiran mestilah dijaga bagi menjamin keharmonian dan keselamatan berkekalan.

            Sebagai sebuah negara yang berbilang kaum, Malaysia perlu menanamkan semangat kejiranan dalam kalangan anggota masyarakatnya khususnya bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar. Hal ini demikian kerana tradisi hidup berjiran sememangnya menjadi amalan masyarakat di luar Bandar semenjak dari dahulu lagi. Hubungan dan keutuhan semangat kejiranan ini merupakan teras perhubungan sosial dalam komuniti luar Bandar dan menjadi sebahagian daripada tradisi yang masih dipertahankan dan sukar diganggu gugat. Perubahan yang berlaku dalam masyarakat Malaysia umumnya telah mempengaruhi pola hubungan kejiranan yang telah sedia ada. Walau bagaimanapun, semangat berkenaan kian semakin terhakis dalam masyarakat bandar. Bagaikan enau melepaskan pucuk masing-masing, mungkin itu perumpamaan yang paling tepat untuk menggambarkan sikap sesetengah masyarakat bandar ini. Sikap individualistik dan ego hanya akan menyebabkan ikatan masyarakat menjadi longgar dan mendedahkan mereka kepada pelbagai risiko jenayah. Oleh itu, usaha bersepadu perlu dilakukan bagi menyuburkan kembali tradisi hidup berjiran tidak kira di mana-mana sahaja kita berada.

            Kemakmuran sesebuah negara amat bergantung kepada sejauh mana kemantapan dan keutuhan hubungan dalam setiap lapisan masyarakatnya. Hubungan yang erat antara sesama anggota masyarakat merupakan ciri-ciri masyarakat yang berkualiti, iaitu sebuah masyarakat yang bukan sahaja berjaya mewujudkan suasana harmoni dan aman sesame mereka, bahkan menjadi aset paling penting kepada negara. Menyedari hakikat inilah maka Islam awal-awal lagi telah menekankan betapa pentingnya menjalinkan hubungan yang erat dalam kalangan masyarakatnya. Islam amat menitikberatkan hubungan kejiranan kerana merupakan salah satu daripada cara hidup Islam. Dalam konteks hidup berjiran, umat Islam berkewajipan mengekalkan hubungan baik dan mesra sesama mereka. Segala perkara yang mencemar keharmonian dan kesejahteraan masyarakat dapat dicegah dengan semangat kerjasama, prihatin, dan kesatuan sesama jiran. Gejala-gejala sosial seperti khalwat, penderaan kanak-kanak, dan banyak lagi kes-kes jenayah dapat dibendung jika jiran berganding bahu dan mengambil inisiatif melaporkannya kepada pihak berkuasa.

            Sehubungan dengan itu, dalam konteks hubungan sosial isu yang menjadi perbincangan hangat hari ini ialah semangat kejiranan itu menjadi semakin diabaikan berpunca daripada pengaruh alam persekitaran yang semakin mencabar. Selain itu, disebabkan aktiviti harian individu yang semakin sibuk kesan daripada proses pembandaran, dan pemodenan yang begitu pesat. Fenomena sebegini begitu ketara dalam komuniti bandar yang lebih kompleks kehidupan sehariannya. Walaupun pelbagai elemen fizikal disediakan bagi mewujudkan interaksi sosial dan seterusnya semangat kejiranan, tetapi ternyata kurang berkesan. Keadaan ini memperlihatkan bahawa landskap dan perancangan fizikal itu sendiri sedikit sebanyak memainkan peranan sebagai ’penghalang’ atau ’sekatan’ terhadap interaksi sosial, termasuk hubungan antara jiran dalam kalangan penduduk bagi kawasan perumahan moden di bandar hari ini.

            Faktor teknologi turut menyebabkan kita kurang menghiraukan semangat kejiranan. Hal ini kerana dengan perkembangan teknologi yang canggih, kita semakin kurang berinteraksi secara langsung dengan ahli-ahli masyarakat yang lain. Melalui penggunaan telefon, faksimili dan Internet, kita tidak lagi perlu bertemu secara berseorangan untuk berhubung. Ekoran daripada itu, kita hilang kemahiran untuk berkomunikasi dan sikap ramah-tamah. Sebaliknya, kita menjadi kera sumbang dan hanya mampu berkomunikasi dengan orang lain dengan bantuan teknologi. Jelas bahawa semangat kejiranan akan pudar kerana semangat ini tidak dapat dipupuk jika ahli-ahli masyarakat tidak dapat berhubung antara satu sama lain dengan baik. Struktur perumahan moden juga menyukarkan penanaman semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat kita. Kebanyakan rumah dan pangsapuri moden dibina dengan tembok yang tinggi dan berpagar. Hal ini jauh berbeza dengan rumah-rumah di kampung yang tidak mempunyai sempadan untuk membezakan rumah satu jiran daripada rumah jiran yang lain.

            Sebenarnya sikap mengambil berat terhadap semangat kejiranan masih mampu meninggalkan kesan positif ketara terhadap kesejahteraan masyarakat tanpa mengira agama, kaum, atau darjat. Hubungan kejiranan kekal harmoni jika setiap jiran mempunyai matlamat hidup yang sama, yakni ingin akan perpaduan dan kesejahteraan. Mereka ingin menjadikan lingkungan kejiranan sebagai tempat paling selesa. Dengan kata lain, semangat kejiranan merupakan salah satu faktor yang dapat mengukuhkan perpaduan dan menyemai kasih sayang sesama insan. Dalam kehidupan bermasyarakat, amalan ambil peduli atau prihatin terhadap keadaan atau masalah dihadapi masyarakat atau jiran boleh membantu mengatasi kemelut serta kesulitan yang dialami oleh mereka. Hal ini demikian kerana banyak kes kejiranan tidak dapat diselesaikan disebabkan masing-masing tidak mahu mengalah. Selain itu, bagi memastikan hubungan kejiranan berlainan agama berjalan baik, setiap jiran perlu memahami dan mengetahui sedikit sebanyak mengenai jirannya dan mengamalkan sifat mulia seperti ikhlas, jujur, amanah, dan saling menghormati. Sebaliknya, sikap buruk seperti iri hati, mengumpat, dengki, fitnah, dan buruk sangka mesti dijauhkan.

            Amalan bertegur sapa sesama jiran merupakan titik permulaan terjalinnya hubungan yang erat dan mesra. Membiasakan diri bertanya khabar dan kesihatan diri, serta anak-anak jiran dapat menjadi penghubung kepada amalan bertukar-tukar pandangan dan berkongsi pengalaman sesama jiran apabila ditimpa masalahbyang akhirnya memberi jalan penyelesaian kepada kesejahteraan dan kebahagiaan hidup. Oleh itu, amalan bertegur sapa perlu dilakukan oleh setiap orang dan menjadi syarat utama dalam membentuk hubungan akrab sesama jiran. Meluangkan masa untuk berkunjung ke rumah jiran dapat mengeratkan dan menghidupkan semangat hidup berjiran. Kita akan lebih mengenali jiran apabila berkunjung atau menziarahi mereka. Hal ini kerana peluang masa berbicara yang lebih panjang dan suasana rumah yang lebih tenteram memungkinkan kita mengenali dan menyelami suka dan duka jiran secara lebih dekat. Namun demikian, kita perlulah pandai memilih waktu yang sesuai agar kunjungan kita itu mengganggu waktu rehat mereka yang boleh mengakibatkan kesan yang negatif pula. Sekurang-kurangnya amalan berkunjung ke rumah jiran dilakukan pada hujung minggu atau sempena hari-hari  perayaan tertentu.

            Sebagai jiran yang prihatin, kita hendaklah sentiasa berusaha untuk membina hubungan yang baik dengan jiran tetangga kita. Kemuncak hubungan kejiranan yang baik adalah apabila kita sanggup mengetepikan kesenangan dan kerehatan diri semata-mata untuk membantu jiran pada masa diperlukan. Pengorbanan seumpama ini sememangnya tidak mudah dilupakan oleh sesiapapun apatah lagi jiran yang terdekat. Semakin kerap kita menolong jiran maka pada masa yang sama semakin kuat pula ikatan kejiranan. Dengan sebab itu, amalan menolong jiran adalah amalan yang paling berkesan dalam mengekalkan hubungan kejiranan yang baik meskipun telah berpindah rumah. Seharusnya amalan ini dilakukan oleh setiap daripada kita. Jika jiran sibuk dengan majlis kenduri-kendara, hulurkanlah bantuan biar pun dengan menolong membersihkan kawasan mereka. Dengan amalan sedemikian akan lebih mengeratkan hubungan kejiranan serta dapat mencerminkan kehidupan yang harmoni dan bersatu padu.

            Usaha untuk mewujudkan suasana kejiranan yang rukun damai mungkin agak sukar berikutan hakikat hidup manusia hari ini yang berbeza pandangan, gaya, sikap, akhlak, dan perangai. Lantaran itu, melalui aktiviti kemasyarakatan mampu menyatukan kesemua titik  perbezaan tersebut secara tidak langsung. Antaranya termasuklah program Kawasan Rukun Tetangga (KRT)  yang perlu digerakkan secara lebih berkesan dan diubah daripada aktiviti penjagaan keselamatan kepada program bercorak sosial. Konsep baharu itu perlu memasukkan elemen sosial bagi memupuk semangat kerjasama dan perpaduan dalam kalangan masyarakat. Fungsi serta peranan KRT sebagai pemangkin perpaduan tidak akan mencapai sasarannya sekiranya KRT hanya wujud pada nama tanpa sebarang program. Kerajaan akan terus memberi geran bantuan tahunan kepada KRT yang aktif melaksanakan program di kawasan masing-masing. KRT yang aktif biasanya akan menerima geran bantuan tahunan bagi membolehkan mereka mengatur serta melaksanakan program tahunan untuk masyarakat setempat seperti Skim Rondaan Sukarela (SRS) termasuk mengaktifkan sayap-sayap KRT seperti Jiran Muda dan Jiran Wanita. Setiap tahun, Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional meluluskan penubuhan KRT sebagai platform bagi merapatkan hubungan penduduk pelbagai kaum.
            Di samping itu, pelbagai jawatankuasa boleh diwujudkan seperti jawatankuasa kemajuan pemelajaran anak-anak, jawatankuasa pembangunan insan, rakan cop, dan lain-lain lagi bagi tujuan menganjurkan aktiviti-aktiviti berfaedah seperti kem motivasi, program jati diri, gotong-royong, dan sebagainya. Kesemuanya ini membolehkan kebajikan masyarakat setempat sama ada anak-anak, para remaja, ibu bapa, dan sebagainya sentiasa terjamin dan terpelihara. Jiran yang sepakat dan bersatu padu mampu menjamin keselamatan kawasan setempat daripada sebarang ancaman kecurian, pecah rumah, penyalahgunaan dadah, penculikan, samseng, dan sebagainya. Tegasnya, tradisi hidup berjiran dalam suasana bekerjasama dan mengambil berat antara satu sama lain, sudah semestinya dapat menjana satu program yang menyumbang kepada kebajikan masyarakat setempat.









Kesimpulan

            Secara tuntas, usaha memperkukuh tradisi hidup berjiran yang harmoni menjadi aset penting untuk membentuk sebuah negara yang maju dan selamat. Tradisi hidup berjiran yang saling membantu dan mengambil tahu antara satu sama lain perlu dihidupkan semula bagi memastikan kejadian yang menggugat keharmonian dan kesejahteraan masyarakat tidak berlaku.          



MEMBANTERAS SAMSENG JALANAN

Pendahuluan

            Isu yang sering menjadi perhatian dan menjadi kebimbangan masyarakat kini ialah isu gejala “ samseng jalanan “ atau “ mat rempit “ yang bukan semakin berkurangan atau terkawal, tetapi sebaliknya semakin menjadi-jadi. Mereka bukan sekadar mencetus ketidakselesaan malah turut mengancam nyawa pengguna nyawa jalan raya yang lain. Baru-baru ini Ketua Trafik Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof berkata istilah “ mat rempit “ perlu ditukar kepada “ samseng jalanan “ , di samping dikenakan hukuman yang berat termasuk penjara mendatori kepada golongan ini. Pindaan tersebut mampu memberikan kesan lebih besar untuk membanteras kegiatan itu yang makin berleluasa. Dengan kata lain, usaha membanteras samseng jalanan perlu ditangani dengan segera sebelum menjadi barah dalam masyarakat.

            Sebenarnya, gejala mat rempit hanya wujud di Malaysia, malah tiada sebarang jurnal antarabangsa yang pernah melaporkan masalah itu kecuali di negara ini. Pakar pengangkutan awam yang juga Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Abdul Rahim Md Nor, sebelum ini pernah mengemukakan beberapa faktor termasuk penggunaan motosikal sebagai pengangkutan utama di Malaysia berbanding negara asing. Di Eropah, Amerika Syarikat dan Australia misalnya, banyak orang berkereta atau menggunakan kenderaan awam ke tempat kerja. Tidak banyak yang bermotosikal. Malah jika ada motosikal pun, mereka menggunakan motosikal berkuasa tinggi. Keadaan sebaliknya di sini kerana banyak bermotosikal. Jadi, wujudlah kelompok atau kumpulan tersendiri seperti mat rempit sama ada di luar bandar dan bandar. Tegasnya, merempit itu sudah menjadi satu budaya dalam kalangan pemilik motosikal ini. Di luar negara, jika ada pun, hanyala lumba kereta haram dan bukannya motosikal. Hanya ada beberapa negara yang melaporkan kejadian lumba kereta haram seperti Australia, New Zealand, Amerika, United Kingdom, Sweden, Crotia, Jepun, dan Hong Kong. Bagaimanapun, keadaan di luar negara terkawal, tidak seperti Malaysia yang hampir setiap malam ada-ada saja kejadian merempit.

                        Isu samseng jalan raya kini kembali mendapat perhatian apabila seorang wanita hamil dua bulan, ditemui mati di kawasan kediamannya di Taman Ayer Hitam, Batu Pahat, Johor Bahru, 3 Mei lalu akibat diragut. Tiga hari selepas itu, seorang lagi wanita hamil, turut terbunuh angkara peragut di Kampung Padang Raja, Jalan Melor-Ketereh, Kota Bharu walaupun hanya membawa beg tangan berisi wang tunai sebanyak RM 2 sahaja. Ekoran daripada peristiwa tragik seumpama itu, kerajaan perlu segera memikirkan langkah pencegahan yang terbaik untuk mengelakkan lebih banyak orang awam menjadi mangsa. Gelaran samseng jalanan lebih sesuai kerana tindakan dan kelakuan ganas golongan itu boleh mengancam nyawa orang lain. Oleh itu, diharap selepas ini tiada lagi istilah ”mat rempit” digunakan. Itulah yang diputuskan oleh pihak polis kerana gelaran itu nampaknya tepat bagi menggambarkan kekacauan yang dicetuskan oleh mereka. Banyak pihak sebelum ini menyatakan bahawa gelaran  mat rempit terlalu ”hebat” untuk golongan tersebut. Mereka berlagak di atas jalan raya dan istilah ”mat rempit” itu turut menyemarakkan semangat anak-anak muda yang kononnya ” tidak takut mati” itu.


                        Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan bersetuju supaya pihak media menggunakan istilah ’samseng jalanan’ dalam laporan mereka bagi menggantikan istilah ’mat rempit’yang digunakan sebelum ini. Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, pendekatan berkenaan selari dengan usaha kementerian melaksanakan langkah-langkah praktikal bagi membina negara dan bangsa. Perkara ini telah mendapat perhatian pelbagai pihak dan semakin menjadi sebutan ramai. Justeru, kita bersetuju dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya tidak menggunakan istilah ”mat rempit”  ataupun istilah lain yang mudah mencerminkan suatu golongan yang rendah mutu dirinya. Walau bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek pula tidak bersetuju istilah samseng jalanan digunakan bagi menggantikan gelaran mat rempit untuk merujuk kepada penunggang motosikal yang berlumba secara haram di jalan raya dan turut berkelakuan ganas. Gelaran samseng jalanan agak keterlaluan. Hanya segelintir sahaja daripada mereka dalam kalangan mat rempit yang terlibat dengan jenayah manakala sebahagian besar lagi hanya anak muda biasa. Namun, walau apa-apa pun gelaran yang diguna pakai, aktiviti mereka tetap menimbulkan pelbagai reaksi dan masalah kepada orang awam.

                        Kajian akademik pertama satu ketika dahulu mengenai isu mat rempit itu juga pernah mendedahkan peningkatan pembabitan remaja Melayu yang mencapai 95 peratus daripada keseluruhan mat rempit seluruh negara, berbanding kajian kali pertama pada 2002 yang merekodkan 80 peratus. Menurut Ketua Program Psikologi, Universiti Kebangsaan, Prof. Madya Dr. Rozimi Ismail yang menjalankan kajian mengikut geran penyelidikan UKM secara berperingkat selama enam tahun bermula 2002 hingga 2006 membabitkan tiga tajuk kajian. Kajian pertama bertajuk ’ Mat Rempit dan Hubungan dengan Masalah Sosial (2000 hingga 2002) diikuti kajian kedua bertajuk  ’ Faktor  Pembabitan Mat Rempit (2003-2004). Seterusnya, kajian terbaru berjudul ’Pembabitan Mat Rempit dalam Jenayah’ lebih kepada melihat tahap serta jenis jenayah berpunca daripada golongan berkenaan. Hasil kajian mendapati, 97 peratus daripada mereka disifatkan sebagai ’kepala angin’ atau sanggup melakukan apa-apa sahaja untuk mencari keseronokan manakala bakinya kira-kira tiga peratus digelar sebagai mat motor, iaitu individu yang benar-benar suka akan motosikal. Kebanyakan mat motor ini pelajar institusi pengajian tinggi yang lebih kepada mencari keseronokan ketika masa lapang atau melepaskan tekanan menjelang peperiksaan.

                        Kira-kira 24 peratus daripada mereka yang terlibat dengan kegiatan merempit mengaku pernah terlibat dalam jenayah, misalnya pecah rumah, curi motosikal, kumpulan samseng, vandalisme, dan seks bebas. Mereka berusia antara 14 hingga 25 tahun dan majoritinya berusia lingkungan 21 ke atas. Usia terlalu muda juga menyebabkan mereka mudah taksub kepada ketua kumpulan terdiri daripada mat rempit senior. Tidak menghairankan jika dikaji latar belakang mat rempit, ada yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana. Logiknya mereka juga mempunyai tahap pendidikan agak rendah dan ada antara mereka tercicir daripada pengajian sekolah.

                        Sebenarnya, apa yang mereka lakukan ialah mencari hiburan tetapi dengan cara tersendiri yang jelas membahayakan nyawa sendiri bahkan boleh menjadi igauan ngeri kepada pengguna jalan raya lain. Kebanyakan mereka pengganggur yang tidak mempunyai pendapatan tetap, pekerja kilang (bahagian am), mat despatch (penghantar surat), penjual burger jalanan, pembantu bengkel kenderaan dan pelajar (sekolah dan IPT). Kajian yang dijalankan dengan kerjasama cawangan Trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu juga mendapati, 85 peratus daripada mereka tidak mempunyai lesen memandu atau tamat tempoh sah. Ironinya, mat rempit mempunyai sikap setia kawan yang cukup tinggi dan sering mengutamakan kumpulan. Contoh paling mudah ialah jika berlaku kemalangan sama ada ketika operasi atau berlumba, mereka akan melarikan rakan mereka dan motosikal secepat mungkin sebelum dicekup polis.

                        Bagi memerangi golongan itu, pihak polis bukan sahaja mengubah gelarannya malah turut mengemukakan cadangan agar kerajaan meminda Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Bukit Aman mahu samseng jalanan tersebut dikenakan hukuman penjara mendatori, sesuai dengan kesalahan yang mereka lakukan. Ketika ini Seksyen 42 (1) hanya memperuntukkan denda tidak melebihi RM 10,000 atau penjara sekurang-kurangnya lima bulan. Hukuman tersebut terlalu ringan berbanding dengan akibat buruk yang dicetuskan oleh samseng jalanan yang menguasai jalan-jalan raya pada waktu dinihari tersebut. Tindakan pihak polis itu sekali gus membuktikan gejala lumba haram semakin tidak terkawal. Hanya tindakan keras menerusi peruntukan undang-undang sahaja yang diyakini mampu membendung mereka.

                        Datuk Seri Najib Tun Razak ketika merasmikan Majlis Perasmian Pengeluaran Ulung Mercedes-Benz E-Class dari kilang pemasangan MTB empat tahun lalu, pernah mencadangkan dua langkah bagi manangani isu samseng  jalan raya yang menghantui pengguna jalan raya di negara ini. Pertama, beliau berharap agar tindakan segera dan pantas diambil atas pihak-pihak yang bertanggungjawab melakukan tindakan samseng semasa berada di jalan raya. Hukuman berat juga perlu dijatuhkan kepada mereka ini. Langkah jangka panjang pula ialah membentuk nilai budaya masyarakat yang sentiasa bersopan dan mengambil berat tentang perasaan orang lain. Hal ini ada kaitan dengan Kempen Budi Bahasa dan Nilai-Nilai Murni yang dilancarkan oleh kerajaan. Tegasnya, permasalahan samseng jalan raya akan dapat diatasi sepenuhnya jika rakyat diajar untuk menghormati orang lain.

                        Selain itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Nik Mat meminta kerajaan pusat menetapkan hukuman yang lebih berat kepada samseng jalanan untuk mengelakkan mereka terus melakukan jenayah itu. Menurutnya, hukuman itu perlulah menimbulkan rasa gerun terhadap golongan itu yang selalu melakukan lumba haram di atas jalan raya sehingga membahayakan nyawa sendiri dan orang ramai. Samseng jalanan atau mat rempit sekarang menjadikan nyawa manusia murah dan harta benda orang murah. Kita perlu buat undang-undang yang menggerunkan supaya mereka rasa takut untuk buat lagi. Beliau diminta mengulas mengenai cadangan Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, yang telah mengemukan cadangan supaya kerajaan meminda segera Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 tersebut. Kerajaan perlu segera memikirkan langkah pencegahan yang terbaik untuk mengelakkan lebih ramai orang awam menjadi mangsa. Walau bagaimanapun, beliau turut menyeru supaya banyak langkah pencegahan diambil untuk mengelakkan lebih ramai nyawa orang awam terkorban.


            Kesimpulan

                        Secara tuntas, diharap semua pihak termasuk sekolah dapat bekerjasama dalam memberikan didikan serta nasihat kepada golongan muda supaya mereka tidak mudah terjebak dalam aktiviti yang merugikan itu dan menjejaskan masa depan mereka. Mudah-mudahan aktiviti samseng jalanan yang diterajui golongan muda dapat dibanteras sepenuhnya menerusi pendedahan dan didikan berkaitan undang-undang, serta keselamatan jalan raya di peringkat sekolah. Pihak berkuasa seprti polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) sepatutnya mewujudkan satu pangkalan data khas bagi pesalah merempit ini, khususnya mengesan mereka yang tegar dan harus dikenakan hukuman lebih berat apabila mengulangi kesalahan itu. Pangkalan data itu menjadi catatan rekod kesalahan dan rujukan pihak berkuasa itu sendiri. Yang penting, kerajaan juga harus lebih tegas dan serius dalam menangani permasalahan mat rempit ini.

No comments:

Post a Comment