Monday 12 September 2011

Peranan ibu bapa dalam mendidik anak (PMR)


Peranan ibu bapa dalam mendidik anak

“Keluarga bahagia tunjang kemakmuran negara”. Pernyataan ini jelas
menunjukkan bahawa keluarga memang memainkan peranan yang penting
dalam membentuk keperibadian mulia kanak-kanak. Remaja kini sering
melibatkan diri dalam masalah social yang telah mencetuskan isu polemik
dalam kalangan media massa yang saban hari meniti dari bibir ke bibir.
Siapakah yang harus dipersalahkan dalam hal ini? Sudah tentu, sesuatu
perkara berlaku tentu ada sebab-sebab yang mendorongnya kerana pepohon
pokok tidak akan berliuk-lintuk tidak ditiup angin
. Pembentukan
keperibadian mulia anak-anak bermula daripada institusi keluarga.
Sesebuah keluarga dibentuk dengan peranan ibu bapa masing-masing
kebanyak ibu bapa kini yang terlalu mementingkan kerjaya sehingga
menyebabkan anak-anak mereka di rumah berasa tersisih seperti anak kera
di hutan disusukan
, anak di rumah mati kelaparan. Oleh hal yang demikian,
ibu bapa haruslah mengimbangkan kerjaya dan kehidupan seharian mereka
agar anak-anak dapat mendapat didikan yang baik dari segi fizikal dan
metal. Ibu bapa sewajarnya tahu bahawa mujtamak yang kaya dalam
kebindaan tetapi muflis dari segi keperibadian akan secara tidak langsung
memberi impak negative terhadap anak-anak mereka. Oleh itu, keluarga
terutamanya ibu bapa memainkan peranan yang penting untuk membentuk
keperibadian anak-anak.
Tambahan pula, ibu bapa haruslah memberi didikan dan asuhan yang
baik sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Anak-
anak tentunya dapat mengimplimentasikan nilai-nilai murni dan sikap positif
ini dalam kehidupan seharian, seterusnya membentuk sanubari yang baik.
Ibu bapa merupakan uswah hasanah kepada anak-anak di rumah, oleh hal
yang demikian mereka mestilah sentiasa bersikap penyanyang dan berbudi
pekerti mulia dan jangan sesekali dijadikan seperti ketam mengajar anaknya
berjalan lurus, sedangkan diri sendiri berjalan mengiring. Sudah terang lagi
bersuluh bahawa jati diri anak-anak dapat dibentuk melalui institusi keluarga
khususnya ibu bapa yang memainkan peranan yang penting.

Disamping itu, anak-anak yang berfikiran suci akan sentiasa
mencontohi kelakuan ibu bapa mereka ibarat bapa borek, anak rintik
. Ibu
bapa merupakan tempat luahan isi hati dan penyimpan rahsia yang paling
dipercayai anak-anak. Justeru itu, ibu bapa sewajarnya mengindoktrinasikan
pucuk-pucuk hijau ini bagai menatang minyak yang penuh
kerana anak-anak
remaja kini sering melibatkan diri dalam kebejatan sosial dan budaya
hedonisme yang begitu cepat merebak bagai virus epidemik
. Melalui nasihat
dan ajaran yang baik, sudah tentu anak-anak akan tahu cara-cara untuk
membezakan antara intan dan kaca kerana sesal dahulu pendapatan, sesal
kemudian tidak berguna lagi. Institusi keluarga memang merupakan salah
satu langkah yang signifikan dalam membentuk keperibadian anak-anak.
Dalam nada yang berbeza, keluarga yang marem dan sakina turut
merupakan tempat yang paling baik agar proses pengajaran dan
pembelajaran dilakukan dalam kalangan anak-anak. Sikap-sikap yang positif
haruslah disemai dalam jiwa anak masing-masing bentuk menjamin
kesejahteraan hidup dan pembentukan keperibadian mulia mereka. Anak-
anak yang ibarat berusia setahun jagung, berdarah setampuk pinang ini
mesti
diberi penekanan dari segi mental dan fizikal supaya kelak dapat menjadi
tunggak negara.
Intihanya, keluarga merupakan mercu tanda kemakmuran negara.
Ibu bapa mestilah menjalankan peranan masing-masing agar tidak dijadikan
seperti hangat-hangat tahi ayam.
Jikalau anak-anak kini berjaya membentuk
keperibadian yang mulia, sudah tentu anak remaja yang merupakan pemuda
harapan bangsa, pemudi tiang negara ini dapat menjadi pemimpin yang
berkaliber kelak. Impian Perdana Menteri untuk membentuk sebuah negara
yang “Cemerlang, Gemilang dan Terbilang” dapat dimakbulkan, sekali gus
menjadi negara Malaysia berdiri gah di persada dunia.





Peranan ibu bapa dalam pembentukan disiplin anak-anak amat penting dalam membentuk masyarakat
yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Bincangkan.
Sebagaimana kita sedia maklum, anak-anak bagaikan kain putih yang suci lagi kudus yang perlu diwarnakan oleh ibu bapa yang membesarkannya. Sebagai anak yang menjadi harapan ibu bapa, kita harus sedar bahawa segala perbuatan positif dan negatif akan mencerminkan imej keluarga. Sejak kecil, kita dibesarkan bagai menatang minyak yang penuh oleh orang tua kita. Setiap belaian kasih dan sayang yang diberikan kepada kita penuh dengan harapan masa depan. Malangnya, masalah sosial dan kadar jenayah bagai bisul menjadi nanah dalam masyarakat pada zaman yang penuh dengan cabaran. Saya berpendapat bahawa ibu bapa memainkan peranan penting dalam pembentukan disiplin anak-anak.
Jika dibandingkan antara ibu bapa dahulukala dengan ibu bapa zaman globalisasi ini, kita dapat mengetahui bahawa anak-anak dulu lebih kerap dipukul. Sejak kempen antidera diperluas, ibu bapa mula menjauhkan diri mereka dengan rotan. Daripada perspektif orang tua-tua, setiap sebatan dan hukuman yang diterima dapat memberi tamparan insaf kepada diri anak-anak yang melakukan kesalahan. Namun, saya percaya bahawa ibu bapa perlu tegas dan mendisiplinkan anak-anak sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan pendisiplinan yang kukuh dan ketegasan yang bertempat, anak-anak akan berfikir dua kali sebelum melakukan kesalahan.
Selain ketegasan dan pendisiplinan, pendidikan formal perlu disalurkan oleh ibu bapa demi mematangkan fikiran anak-anak. Dengan pendidikan yang diterima, akal dan perasaan ingin memberontak dalam kalangan anak dapat diatasi. Hal ini demikian kerana anak-anak dikawal ketat dari segi peraturan sekolah. Dengan peraturan sekolah yang efektif dan jadual pelajaran yang ketat, nescaya anak-anak tidak akan mempunyai masa yang terluang untuk melakukan perkara yang membelakangkan undang-undang. Pendidikan formal yang efektif dapat menjadi tulang belakang pendirian teguh anak-anak dalam mendisiplinkan diri agar tidak melakukan perbuatan yang menconteng arang di muka ibu bapa.
Ajaran agama dan moral merupakan elemen yang maslahat dalam memperkukuh keimanan diri anak-anak demi mengekang hati dan perasaan yang ingin melanggar tatasusila. Masalahnya kini, ibu bapa bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing kerana sibuk mengejar kebendaan dan kedudukan dalam masyarakat. Mereka alpa dengan tanggungjawab keibubapaan yang asas, yakni mendidik anak-anak dengan ajaran agama dan moral. Sebagai contoh, ibu bapa haruslah menerangkan kepentingan menjaga moral dan tingkah laku yang murni demi mengukuhkan sahsiah diri. Dengan saluran yang betul dan tepat, anak-anak dapat didisiplinkan dan dibentuk menjadi modal insan yang berketerampilan dan berkewibawaan.
Mengikut Doktor Fazilah Kamsar, pakar motivasi yang terbilang, anak-anak akan menjadi berdisiplin jika kita menerangkan sebab dan akibatnya jika dia membuat kesalahan. Hal ini demikian kerana nasihat yang bernas daripada ibu bapa lebih berkesan daripada jeritan marah yang membuang masa dan tenaga. Anak-anak perlu diterangkan kesannya jika mereka merokok atau akibat daripada perbuatan ketidakjujuran mereka. Langkah ini penting agar akal anak-anak yang waras dapat dibentuk untuk membuat keputusan yang baik supaya tidak menyesal atas perbuatan diri kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Langkah ini amat penting agar anak-anak dapat dimatangkan dari segi psikologi sekali gus pencorakan disiplin diri mereka terbentuk secara semula jadi.
Di samping itu, ibu bapa mestilah menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak mereka. Oleh sebab bagaimana acuan, begitulah kuihnya; ibu bapa berperanan penting mempamerkan disiplin yang tinggi di depan anak-anak. Tamsilannya, ibu bapa haruslah membuang sampah di tong sampah dan menjaga kelakuan diri di khalayak ramai agar dicontohi oleh anak-anak mereka. Anak-anak yang mencontohi sikap positif ibu bapa pasti tidak akan membuat perkara yang menyalahi peraturan. Oleh hal yang demikian, ibu bapa mestilah menjauhi sikap ketam yang mengajar anaknya berjalan betul tetapi diri sendiri berjalan senget.
Kesimpulannya, pencorakan disiplin anak-anak dari rumah, yakni daripada komitmen ibu bapa amat berkesan. Ibu bapa harus menyedari hakikat bahawa masa depan anak-anak juga ditentukan oleh ajaran dan teguran membina daripada mereka. Anak-anak yang berdisiplin dapat meyakinkan ibu bapa dengan kejayaan akademik dan kokurikulum sekali gus menjadi warga yang cemerlang, gemilang, dan terbilang. Oleh hal yang demikian, saya berharap ibu bapa menginsafi tanggungjawab mereka dalam pembentukan disiplin anak-anak agar tidak menyesal selepas anak-anak terjerumus dalam kancah kebejatan sosial. Kebobrokan sikap anak-anak mestilah dikekang daripada menjadi duri dalam daging masyarakat kerana nusa tercinta ini memerlukan tenaga mereka untuk menggapai impian Wawasan 2020.

No comments:

Post a Comment