MEMPERKUKUH TRADISI
HIDUP BERJIRAN
Pendahuluan
Kehidupan bermasyarakat tidak
terlepas daripada amalan hidup secara berjiran. Lazimnya jiran tetangga terdiri
daripada kaum keluarga, rakan taulan, dan orang luar. Dalam masyarakat majmuk
seperti Malaysia ,
tradisi hidup berjiran atau semangat kejiranan berdasarkan perbezaan bangsa dan
agama sudah sinonim sejak sekian lama. Perbezaan bangsa, agama, adat, dan
budaya tidak seharusnya dijadikan sempadan untuk memisahkan atau membina
benteng daripada amalan hidup sesame jiran tetangga. Namun, realiti masyarakat
hari ini mengambil mudah berhubung semangat kejiranan ini. Mungkin alasan
kesibukan seharian dan mengejar karier menyebabkan amalan kejiranan semakin
dilupakan, malah ada jiran tetangga yang saling tidak mengenali antara satu
sama lain, malah tidak pernah bertegur sapa. Oleh itu, usaha untuk mengekalkan
hubungan baik sesama jiran mestilah dijaga bagi menjamin keharmonian dan
keselamatan berkekalan.
Sebagai sebuah negara yang berbilang
kaum, Malaysia
perlu menanamkan semangat kejiranan dalam kalangan anggota masyarakatnya
khususnya bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar. Hal ini demikian kerana
tradisi hidup berjiran sememangnya menjadi amalan masyarakat di luar Bandar
semenjak dari dahulu lagi. Hubungan dan keutuhan semangat kejiranan ini
merupakan teras perhubungan sosial dalam komuniti luar Bandar dan menjadi
sebahagian daripada tradisi yang masih dipertahankan dan sukar diganggu gugat.
Perubahan yang berlaku dalam masyarakat Malaysia umumnya telah mempengaruhi
pola hubungan kejiranan yang telah sedia ada. Walau bagaimanapun, semangat
berkenaan kian semakin terhakis dalam masyarakat bandar. Bagaikan enau
melepaskan pucuk masing-masing, mungkin itu perumpamaan yang paling tepat untuk
menggambarkan sikap sesetengah masyarakat bandar ini. Sikap individualistik dan
ego hanya akan menyebabkan ikatan masyarakat menjadi longgar dan mendedahkan
mereka kepada pelbagai risiko jenayah. Oleh itu, usaha bersepadu perlu
dilakukan bagi menyuburkan kembali tradisi hidup berjiran tidak kira di
mana-mana sahaja kita berada.
Kemakmuran sesebuah negara amat
bergantung kepada sejauh mana kemantapan dan keutuhan hubungan dalam setiap
lapisan masyarakatnya. Hubungan yang erat antara sesama anggota masyarakat
merupakan ciri-ciri masyarakat yang berkualiti, iaitu sebuah masyarakat yang
bukan sahaja berjaya mewujudkan suasana harmoni dan aman sesame mereka, bahkan
menjadi aset paling penting kepada negara. Menyedari hakikat inilah maka Islam
awal-awal lagi telah menekankan betapa pentingnya menjalinkan hubungan yang
erat dalam kalangan masyarakatnya. Islam
amat menitikberatkan hubungan kejiranan kerana merupakan salah satu daripada
cara hidup Islam. Dalam konteks hidup berjiran, umat Islam berkewajipan
mengekalkan hubungan baik dan mesra sesama mereka. Segala perkara yang mencemar
keharmonian dan kesejahteraan masyarakat dapat dicegah dengan semangat
kerjasama, prihatin, dan kesatuan sesama jiran. Gejala-gejala sosial seperti
khalwat, penderaan kanak-kanak, dan banyak lagi kes-kes jenayah dapat dibendung
jika jiran berganding bahu dan mengambil inisiatif melaporkannya kepada pihak
berkuasa.
Sehubungan
dengan itu, dalam konteks hubungan sosial isu yang menjadi perbincangan hangat
hari ini ialah semangat kejiranan itu menjadi semakin diabaikan berpunca
daripada pengaruh alam persekitaran yang semakin mencabar. Selain itu,
disebabkan aktiviti harian individu yang semakin sibuk kesan daripada proses
pembandaran, dan pemodenan yang begitu pesat. Fenomena sebegini begitu ketara dalam
komuniti bandar yang lebih kompleks kehidupan sehariannya. Walaupun pelbagai
elemen fizikal disediakan bagi mewujudkan interaksi sosial dan seterusnya
semangat kejiranan, tetapi ternyata kurang berkesan. Keadaan ini memperlihatkan
bahawa landskap dan perancangan fizikal itu sendiri sedikit sebanyak memainkan
peranan sebagai ’penghalang’ atau ’sekatan’ terhadap interaksi sosial, termasuk
hubungan antara jiran dalam kalangan penduduk bagi kawasan perumahan moden di
bandar hari ini.
Faktor
teknologi turut menyebabkan kita kurang menghiraukan semangat kejiranan. Hal
ini kerana dengan perkembangan teknologi yang canggih, kita semakin kurang
berinteraksi secara langsung dengan ahli-ahli masyarakat yang lain. Melalui
penggunaan telefon, faksimili dan Internet, kita tidak lagi perlu bertemu
secara berseorangan untuk berhubung. Ekoran daripada itu, kita hilang kemahiran
untuk berkomunikasi dan sikap ramah-tamah. Sebaliknya, kita menjadi kera
sumbang dan hanya mampu berkomunikasi dengan orang lain dengan bantuan teknologi.
Jelas bahawa semangat kejiranan akan pudar kerana semangat ini tidak dapat
dipupuk jika ahli-ahli masyarakat tidak dapat berhubung antara satu sama lain
dengan baik. Struktur perumahan moden juga menyukarkan penanaman semangat
kejiranan dalam kalangan masyarakat kita. Kebanyakan rumah dan pangsapuri moden
dibina dengan tembok yang tinggi dan berpagar. Hal ini jauh berbeza dengan
rumah-rumah di kampung yang tidak mempunyai sempadan untuk membezakan rumah
satu jiran daripada rumah jiran yang lain.
Sebenarnya
sikap mengambil berat terhadap semangat kejiranan masih mampu meninggalkan
kesan positif ketara terhadap kesejahteraan masyarakat tanpa mengira agama,
kaum, atau darjat. Hubungan kejiranan kekal harmoni jika setiap jiran mempunyai
matlamat hidup yang sama, yakni ingin akan perpaduan dan kesejahteraan. Mereka
ingin menjadikan lingkungan kejiranan sebagai tempat paling selesa. Dengan kata
lain, semangat kejiranan merupakan salah satu faktor yang dapat mengukuhkan
perpaduan dan menyemai kasih sayang sesama insan. Dalam kehidupan
bermasyarakat, amalan ambil peduli atau prihatin terhadap keadaan atau masalah
dihadapi masyarakat atau jiran boleh membantu mengatasi kemelut serta kesulitan
yang dialami oleh mereka. Hal ini demikian kerana banyak kes kejiranan tidak
dapat diselesaikan disebabkan masing-masing tidak mahu mengalah. Selain itu,
bagi memastikan hubungan kejiranan berlainan agama berjalan baik, setiap jiran
perlu memahami dan mengetahui sedikit sebanyak mengenai jirannya dan
mengamalkan sifat mulia seperti ikhlas, jujur, amanah, dan saling menghormati.
Sebaliknya, sikap buruk seperti iri hati, mengumpat, dengki, fitnah, dan buruk
sangka mesti dijauhkan.
Amalan
bertegur sapa sesama jiran merupakan titik permulaan terjalinnya hubungan yang
erat dan mesra. Membiasakan diri bertanya khabar dan kesihatan diri, serta
anak-anak jiran dapat menjadi penghubung kepada amalan bertukar-tukar pandangan
dan berkongsi pengalaman sesama jiran apabila ditimpa masalahbyang akhirnya
memberi jalan penyelesaian kepada kesejahteraan dan kebahagiaan hidup. Oleh
itu, amalan bertegur sapa perlu dilakukan oleh setiap orang dan menjadi syarat
utama dalam membentuk hubungan akrab sesama jiran. Meluangkan masa untuk
berkunjung ke rumah jiran dapat mengeratkan dan menghidupkan semangat hidup
berjiran. Kita akan lebih mengenali jiran apabila berkunjung atau menziarahi
mereka. Hal ini kerana peluang masa berbicara yang lebih panjang dan suasana
rumah yang lebih tenteram memungkinkan kita mengenali dan menyelami suka dan
duka jiran secara lebih dekat. Namun demikian, kita perlulah pandai memilih
waktu yang sesuai agar kunjungan kita itu mengganggu waktu rehat mereka yang
boleh mengakibatkan kesan yang negatif pula. Sekurang-kurangnya amalan
berkunjung ke rumah jiran dilakukan pada hujung minggu atau sempena
hari-hari perayaan tertentu.
Sebagai
jiran yang prihatin, kita hendaklah sentiasa berusaha untuk membina hubungan
yang baik dengan jiran tetangga kita. Kemuncak hubungan kejiranan yang baik
adalah apabila kita sanggup mengetepikan kesenangan dan kerehatan diri
semata-mata untuk membantu jiran pada masa diperlukan. Pengorbanan seumpama ini
sememangnya tidak mudah dilupakan oleh sesiapapun apatah lagi jiran yang
terdekat. Semakin kerap kita
menolong jiran maka pada masa yang sama semakin kuat pula ikatan kejiranan.
Dengan sebab itu, amalan menolong jiran adalah amalan yang paling berkesan
dalam mengekalkan hubungan kejiranan yang baik meskipun telah berpindah rumah.
Seharusnya amalan ini dilakukan oleh setiap daripada kita. Jika jiran sibuk
dengan majlis kenduri-kendara, hulurkanlah bantuan biar pun dengan menolong
membersihkan kawasan mereka. Dengan amalan sedemikian akan lebih mengeratkan
hubungan kejiranan serta dapat mencerminkan kehidupan yang harmoni dan bersatu
padu.
Usaha
untuk mewujudkan suasana kejiranan yang rukun damai mungkin agak sukar
berikutan hakikat hidup manusia hari ini yang berbeza pandangan, gaya, sikap,
akhlak, dan perangai. Lantaran itu, melalui aktiviti kemasyarakatan mampu
menyatukan kesemua titik perbezaan
tersebut secara tidak langsung. Antaranya termasuklah program Kawasan Rukun
Tetangga (KRT) yang perlu digerakkan
secara lebih berkesan dan diubah daripada aktiviti penjagaan keselamatan kepada
program bercorak sosial. Konsep baharu itu perlu memasukkan elemen sosial bagi
memupuk semangat kerjasama dan perpaduan dalam kalangan masyarakat. Fungsi
serta peranan KRT sebagai pemangkin perpaduan tidak akan mencapai sasarannya
sekiranya KRT hanya wujud pada nama tanpa sebarang program. Kerajaan akan terus memberi geran bantuan
tahunan kepada KRT yang aktif melaksanakan program di kawasan masing-masing.
KRT yang aktif biasanya akan menerima geran bantuan tahunan bagi membolehkan
mereka mengatur serta melaksanakan program tahunan untuk masyarakat setempat
seperti Skim Rondaan Sukarela (SRS) termasuk mengaktifkan sayap-sayap KRT
seperti Jiran Muda dan Jiran Wanita. Setiap tahun, Jabatan Perpaduan dan
Integrasi Nasional meluluskan penubuhan KRT sebagai platform bagi merapatkan
hubungan penduduk pelbagai kaum.
Di
samping itu, pelbagai jawatankuasa boleh diwujudkan seperti jawatankuasa
kemajuan pemelajaran anak-anak, jawatankuasa pembangunan insan, rakan cop, dan
lain-lain lagi bagi tujuan menganjurkan aktiviti-aktiviti berfaedah seperti kem
motivasi, program jati diri, gotong-royong, dan sebagainya. Kesemuanya ini
membolehkan kebajikan masyarakat setempat sama ada anak-anak, para remaja, ibu
bapa, dan sebagainya sentiasa terjamin dan terpelihara. Jiran yang sepakat dan
bersatu padu mampu menjamin keselamatan kawasan setempat daripada sebarang
ancaman kecurian, pecah rumah, penyalahgunaan dadah, penculikan, samseng, dan
sebagainya. Tegasnya, tradisi hidup berjiran dalam suasana bekerjasama dan
mengambil berat antara satu sama lain, sudah semestinya dapat menjana satu
program yang menyumbang kepada kebajikan masyarakat setempat.
Kesimpulan
Secara
tuntas, usaha memperkukuh tradisi hidup berjiran yang harmoni menjadi aset
penting untuk membentuk sebuah negara yang maju dan selamat. Tradisi hidup
berjiran yang saling membantu dan mengambil tahu antara satu sama lain perlu
dihidupkan semula bagi memastikan kejadian yang menggugat keharmonian dan
kesejahteraan masyarakat tidak berlaku.
sesame ke sesama ? bknnya sesama ke ?
ReplyDeletemohon copy..terima kasih
ReplyDeletemohon copy..terima kasih
ReplyDeletethankyou!
ReplyDeletemohon copy . . sangat hargai ..
ReplyDeleteNice tapi kurang peribahasa
ReplyDelete