Tuesday 13 September 2011

MEMPERKUKUH TRADISI HIDUP BERJIRAN (SPM)


MEMPERKUKUH  TRADISI  HIDUP  BERJIRAN


Pendahuluan

            Kehidupan bermasyarakat tidak terlepas daripada amalan hidup secara berjiran. Lazimnya jiran tetangga terdiri daripada kaum keluarga, rakan taulan, dan orang luar. Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, tradisi hidup berjiran atau semangat kejiranan berdasarkan perbezaan bangsa dan agama sudah sinonim sejak sekian lama. Perbezaan bangsa, agama, adat, dan budaya tidak seharusnya dijadikan sempadan untuk memisahkan atau membina benteng daripada amalan hidup sesame jiran tetangga. Namun, realiti masyarakat hari ini mengambil mudah berhubung semangat kejiranan ini. Mungkin alasan kesibukan seharian dan mengejar karier menyebabkan amalan kejiranan semakin dilupakan, malah ada jiran tetangga yang saling tidak mengenali antara satu sama lain, malah tidak pernah bertegur sapa. Oleh itu, usaha untuk mengekalkan hubungan baik sesama jiran mestilah dijaga bagi menjamin keharmonian dan keselamatan berkekalan.

            Sebagai sebuah negara yang berbilang kaum, Malaysia perlu menanamkan semangat kejiranan dalam kalangan anggota masyarakatnya khususnya bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar. Hal ini demikian kerana tradisi hidup berjiran sememangnya menjadi amalan masyarakat di luar Bandar semenjak dari dahulu lagi. Hubungan dan keutuhan semangat kejiranan ini merupakan teras perhubungan sosial dalam komuniti luar Bandar dan menjadi sebahagian daripada tradisi yang masih dipertahankan dan sukar diganggu gugat. Perubahan yang berlaku dalam masyarakat Malaysia umumnya telah mempengaruhi pola hubungan kejiranan yang telah sedia ada. Walau bagaimanapun, semangat berkenaan kian semakin terhakis dalam masyarakat bandar. Bagaikan enau melepaskan pucuk masing-masing, mungkin itu perumpamaan yang paling tepat untuk menggambarkan sikap sesetengah masyarakat bandar ini. Sikap individualistik dan ego hanya akan menyebabkan ikatan masyarakat menjadi longgar dan mendedahkan mereka kepada pelbagai risiko jenayah. Oleh itu, usaha bersepadu perlu dilakukan bagi menyuburkan kembali tradisi hidup berjiran tidak kira di mana-mana sahaja kita berada.

            Kemakmuran sesebuah negara amat bergantung kepada sejauh mana kemantapan dan keutuhan hubungan dalam setiap lapisan masyarakatnya. Hubungan yang erat antara sesama anggota masyarakat merupakan ciri-ciri masyarakat yang berkualiti, iaitu sebuah masyarakat yang bukan sahaja berjaya mewujudkan suasana harmoni dan aman sesame mereka, bahkan menjadi aset paling penting kepada negara. Menyedari hakikat inilah maka Islam awal-awal lagi telah menekankan betapa pentingnya menjalinkan hubungan yang erat dalam kalangan masyarakatnya. Islam amat menitikberatkan hubungan kejiranan kerana merupakan salah satu daripada cara hidup Islam. Dalam konteks hidup berjiran, umat Islam berkewajipan mengekalkan hubungan baik dan mesra sesama mereka. Segala perkara yang mencemar keharmonian dan kesejahteraan masyarakat dapat dicegah dengan semangat kerjasama, prihatin, dan kesatuan sesama jiran. Gejala-gejala sosial seperti khalwat, penderaan kanak-kanak, dan banyak lagi kes-kes jenayah dapat dibendung jika jiran berganding bahu dan mengambil inisiatif melaporkannya kepada pihak berkuasa.

            Sehubungan dengan itu, dalam konteks hubungan sosial isu yang menjadi perbincangan hangat hari ini ialah semangat kejiranan itu menjadi semakin diabaikan berpunca daripada pengaruh alam persekitaran yang semakin mencabar. Selain itu, disebabkan aktiviti harian individu yang semakin sibuk kesan daripada proses pembandaran, dan pemodenan yang begitu pesat. Fenomena sebegini begitu ketara dalam komuniti bandar yang lebih kompleks kehidupan sehariannya. Walaupun pelbagai elemen fizikal disediakan bagi mewujudkan interaksi sosial dan seterusnya semangat kejiranan, tetapi ternyata kurang berkesan. Keadaan ini memperlihatkan bahawa landskap dan perancangan fizikal itu sendiri sedikit sebanyak memainkan peranan sebagai ’penghalang’ atau ’sekatan’ terhadap interaksi sosial, termasuk hubungan antara jiran dalam kalangan penduduk bagi kawasan perumahan moden di bandar hari ini.

            Faktor teknologi turut menyebabkan kita kurang menghiraukan semangat kejiranan. Hal ini kerana dengan perkembangan teknologi yang canggih, kita semakin kurang berinteraksi secara langsung dengan ahli-ahli masyarakat yang lain. Melalui penggunaan telefon, faksimili dan Internet, kita tidak lagi perlu bertemu secara berseorangan untuk berhubung. Ekoran daripada itu, kita hilang kemahiran untuk berkomunikasi dan sikap ramah-tamah. Sebaliknya, kita menjadi kera sumbang dan hanya mampu berkomunikasi dengan orang lain dengan bantuan teknologi. Jelas bahawa semangat kejiranan akan pudar kerana semangat ini tidak dapat dipupuk jika ahli-ahli masyarakat tidak dapat berhubung antara satu sama lain dengan baik. Struktur perumahan moden juga menyukarkan penanaman semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat kita. Kebanyakan rumah dan pangsapuri moden dibina dengan tembok yang tinggi dan berpagar. Hal ini jauh berbeza dengan rumah-rumah di kampung yang tidak mempunyai sempadan untuk membezakan rumah satu jiran daripada rumah jiran yang lain.

            Sebenarnya sikap mengambil berat terhadap semangat kejiranan masih mampu meninggalkan kesan positif ketara terhadap kesejahteraan masyarakat tanpa mengira agama, kaum, atau darjat. Hubungan kejiranan kekal harmoni jika setiap jiran mempunyai matlamat hidup yang sama, yakni ingin akan perpaduan dan kesejahteraan. Mereka ingin menjadikan lingkungan kejiranan sebagai tempat paling selesa. Dengan kata lain, semangat kejiranan merupakan salah satu faktor yang dapat mengukuhkan perpaduan dan menyemai kasih sayang sesama insan. Dalam kehidupan bermasyarakat, amalan ambil peduli atau prihatin terhadap keadaan atau masalah dihadapi masyarakat atau jiran boleh membantu mengatasi kemelut serta kesulitan yang dialami oleh mereka. Hal ini demikian kerana banyak kes kejiranan tidak dapat diselesaikan disebabkan masing-masing tidak mahu mengalah. Selain itu, bagi memastikan hubungan kejiranan berlainan agama berjalan baik, setiap jiran perlu memahami dan mengetahui sedikit sebanyak mengenai jirannya dan mengamalkan sifat mulia seperti ikhlas, jujur, amanah, dan saling menghormati. Sebaliknya, sikap buruk seperti iri hati, mengumpat, dengki, fitnah, dan buruk sangka mesti dijauhkan.

            Amalan bertegur sapa sesama jiran merupakan titik permulaan terjalinnya hubungan yang erat dan mesra. Membiasakan diri bertanya khabar dan kesihatan diri, serta anak-anak jiran dapat menjadi penghubung kepada amalan bertukar-tukar pandangan dan berkongsi pengalaman sesama jiran apabila ditimpa masalahbyang akhirnya memberi jalan penyelesaian kepada kesejahteraan dan kebahagiaan hidup. Oleh itu, amalan bertegur sapa perlu dilakukan oleh setiap orang dan menjadi syarat utama dalam membentuk hubungan akrab sesama jiran. Meluangkan masa untuk berkunjung ke rumah jiran dapat mengeratkan dan menghidupkan semangat hidup berjiran. Kita akan lebih mengenali jiran apabila berkunjung atau menziarahi mereka. Hal ini kerana peluang masa berbicara yang lebih panjang dan suasana rumah yang lebih tenteram memungkinkan kita mengenali dan menyelami suka dan duka jiran secara lebih dekat. Namun demikian, kita perlulah pandai memilih waktu yang sesuai agar kunjungan kita itu mengganggu waktu rehat mereka yang boleh mengakibatkan kesan yang negatif pula. Sekurang-kurangnya amalan berkunjung ke rumah jiran dilakukan pada hujung minggu atau sempena hari-hari  perayaan tertentu.

            Sebagai jiran yang prihatin, kita hendaklah sentiasa berusaha untuk membina hubungan yang baik dengan jiran tetangga kita. Kemuncak hubungan kejiranan yang baik adalah apabila kita sanggup mengetepikan kesenangan dan kerehatan diri semata-mata untuk membantu jiran pada masa diperlukan. Pengorbanan seumpama ini sememangnya tidak mudah dilupakan oleh sesiapapun apatah lagi jiran yang terdekat. Semakin kerap kita menolong jiran maka pada masa yang sama semakin kuat pula ikatan kejiranan. Dengan sebab itu, amalan menolong jiran adalah amalan yang paling berkesan dalam mengekalkan hubungan kejiranan yang baik meskipun telah berpindah rumah. Seharusnya amalan ini dilakukan oleh setiap daripada kita. Jika jiran sibuk dengan majlis kenduri-kendara, hulurkanlah bantuan biar pun dengan menolong membersihkan kawasan mereka. Dengan amalan sedemikian akan lebih mengeratkan hubungan kejiranan serta dapat mencerminkan kehidupan yang harmoni dan bersatu padu.

            Usaha untuk mewujudkan suasana kejiranan yang rukun damai mungkin agak sukar berikutan hakikat hidup manusia hari ini yang berbeza pandangan, gaya, sikap, akhlak, dan perangai. Lantaran itu, melalui aktiviti kemasyarakatan mampu menyatukan kesemua titik  perbezaan tersebut secara tidak langsung. Antaranya termasuklah program Kawasan Rukun Tetangga (KRT)  yang perlu digerakkan secara lebih berkesan dan diubah daripada aktiviti penjagaan keselamatan kepada program bercorak sosial. Konsep baharu itu perlu memasukkan elemen sosial bagi memupuk semangat kerjasama dan perpaduan dalam kalangan masyarakat. Fungsi serta peranan KRT sebagai pemangkin perpaduan tidak akan mencapai sasarannya sekiranya KRT hanya wujud pada nama tanpa sebarang program. Kerajaan akan terus memberi geran bantuan tahunan kepada KRT yang aktif melaksanakan program di kawasan masing-masing. KRT yang aktif biasanya akan menerima geran bantuan tahunan bagi membolehkan mereka mengatur serta melaksanakan program tahunan untuk masyarakat setempat seperti Skim Rondaan Sukarela (SRS) termasuk mengaktifkan sayap-sayap KRT seperti Jiran Muda dan Jiran Wanita. Setiap tahun, Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional meluluskan penubuhan KRT sebagai platform bagi merapatkan hubungan penduduk pelbagai kaum.
            Di samping itu, pelbagai jawatankuasa boleh diwujudkan seperti jawatankuasa kemajuan pemelajaran anak-anak, jawatankuasa pembangunan insan, rakan cop, dan lain-lain lagi bagi tujuan menganjurkan aktiviti-aktiviti berfaedah seperti kem motivasi, program jati diri, gotong-royong, dan sebagainya. Kesemuanya ini membolehkan kebajikan masyarakat setempat sama ada anak-anak, para remaja, ibu bapa, dan sebagainya sentiasa terjamin dan terpelihara. Jiran yang sepakat dan bersatu padu mampu menjamin keselamatan kawasan setempat daripada sebarang ancaman kecurian, pecah rumah, penyalahgunaan dadah, penculikan, samseng, dan sebagainya. Tegasnya, tradisi hidup berjiran dalam suasana bekerjasama dan mengambil berat antara satu sama lain, sudah semestinya dapat menjana satu program yang menyumbang kepada kebajikan masyarakat setempat.


Kesimpulan

            Secara tuntas, usaha memperkukuh tradisi hidup berjiran yang harmoni menjadi aset penting untuk membentuk sebuah negara yang maju dan selamat. Tradisi hidup berjiran yang saling membantu dan mengambil tahu antara satu sama lain perlu dihidupkan semula bagi memastikan kejadian yang menggugat keharmonian dan kesejahteraan masyarakat tidak berlaku.          

6 comments: