Tuesday 13 September 2011

Keracunan makanan memudaratkan kesihatan. Bincangkan punca-punca yang menyebabkan hal ini terjadi. (PMR)


Isu  tentang keracunan makanan telah banyak kita dengar melalui media massa sejak kebelakangan ini. Kejadian-kejadian seperti muntah-muntah, cirit-birit, sakit perut malahan sehingga membawa kematian akibat keracunan makanan menyebabkan isu ini mendapat perhatian banyak pihak. Terdapat pelbagai punca berlakunya keracunan makanan.
Keracunan makanan banyak berlaku disebabkan oleh kelalaian pengguna itu sendiri. Kebanyakan anggota masyarakat tidak mempunyai pengetahuan tentang kesempurnaan penjagaan makanan. Kita perlu sedar bahawa kebersihan amat penting dalam proses penyediaan makanan. Namun, ada antara kita yang tidak mengetahui cara yang betul membasuh bahan makanan sebelum dimasak. Bahan-bahan seperti ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan amat sensitif dengan perubahan udara. Tanpa pembersihan yang teliti
sebelum dimakan ataupun dimasak kuman di dalam bahan makanan akan membahayakan kita.
Selain itu, makanan yang tercemar pasti mengundang bahaya keracunan makanan. Pencemaran makanan berlaku apabila  makanan yang disediakan atau dihidangkan itu terdedah. Keadaan persekitaran yang kotor juga dapat mencemarkan makanan. Hal ini sudah tentu menyebabkan makanan dihinggapi lalat, lipas dan tikus yang membawa kuman dalam makanan. Sebagai akibat, keracunan makanan berlaku
apabila kita makan makanan yang sudah tercemar oleh kuman dan bakteria.
Keracunan makanan juga disebabkan kandungan racun yang berlebihan dalam makanan. Para
petani dan pekebun sayur yang menanam sayur-sayuran biasanya menyembur racun serangga atau racun daun untuk memastikan tanaman mereka itu hidup subur. Penggunaan racun yang berlebihan terhadap tanam-tanaman seperti sawi, kailan, kobis dan bayam akan menyebabkan kandungan racun terserap ke dalam daun. Keadaan ini sudah tentu membahayakan para pengguna jika bahan-bahan tersebut tidak
dibersihkan dengan teliti.
Sebagai kesimpulan, kesedaran orang ramai tentang kebersihan makanan yang dimakan perlu dipertingkatkan. Hal ini amat penting kerana gejala keracunan makanan akan dapat menjejaskan                kesihatan dan kualiti hidup  kita. Oleh yang demikian, semua pihak haruslah memainkan peranan untuk menjamin kebersihan makanan dan alam sekitar.

No comments:

Post a Comment