Tuesday 13 September 2011

Kebanyakan penyakit dalam masyarakat hari ini berpunca daripada kurangnya kebersihan. Bincangkan kepentingan penjagaan kebersihan. (PMR)


Negara Bersih Rakyat Sihat’, ‘Rakyat Bersih Negara Sejahtera’ dan ‘Kebersihan Asas Kemajuan Negara’. Slogan-slogan murni ini sering diuar-uarkan oleh pihak media massa untuk mendidik rakyat
negara ini supaya menghargai kebersihan. Setiap agama juga menuntut umatnya agar mengutamakan
kebersihan dalam kehidupan seharian.
Kebersihan sebenarnya merupakan kunci kesihatan manusia. Hal ini sedemikian kerana kebersihan diri dan persekitaran membantu kita menghindari pelbagai jenis penyakit. Menurut sumber Kementerian
Kesihatan, penyakit-penyakit seperti deman denggi, malaria, kolera, taun, H1N1 dan penyakit kaki, tangan dan mulut berpunca daripada pengabaian soal kebersihan. Keprihatinan terhadap nilai kebersihan
membolehkan kita memastikan kawasan rumah bebas daripada haiwan pembawa virus penyakit seperti lalat, tikus dan nyamuk Aedes. Kesedaran ini perlu wujud dalam diri setiap individu kerana lebih baik mencegah daripada mengubati.
 Selain itu, kebersihan merupakan ciri yang amat penting untuk menaikkan nama sesebuah negara di kaca mata dunia / persada antarabangsa. Dalam hal ini, negara yang bersih dan indah sentiasa menjadi destinasi tumpuan para pelancong asing. Pemeliharaan kebersihan semua tempat termasuk tandas awam di seluruh negara berupaya untuk meletakkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang paling popular di rantau Asia Tenggara. Tambahan pula, sumber pendapatan daripada sektor pelancongan disalurkan oleh pihak kerajaan untuk membangunkan  kemudahan infrastruktur dan kemudahan prasarana di kawasan-kawasan pedalaman negara ini.
Keutamaan terhadap soal kebersihan juga menjamin kehidupan yang bahagia. Hal ini berlaku
kerana persekitaran yang bersih dan suasana yang ceria dapat mendamaikan jiwa kita. Sekiranya, kawasan kediaman kita dikelilingi longgokan sampah, sudah pasti kita akan berasa sesak dan tertekan. Jadi, amalan penjagaan kebersihan membantu kita melepaskan diri daripada tekanan jiwa yang merupakan pembunuh senyap.
Sebagai kesimpulan, kebersihan merupakan aspek terpenting dalam kehidupan seharian manusia. Justeru, nilai kebersihan perlu disemai oleh ibu bapa dalam jiwa / diri anak-anak sejak kecil lagi seperti kata peribahasa melentur buluh biarlah daripada rebungnya.

No comments:

Post a Comment