Tuesday 13 September 2011

Kini, semangat patriotik dalam kalangan anak remaja negara ini semakin luntur. Huraikan langkah - langkah yang berkesan untuk memupuk patriotisme dalam jiwa anak-anak remaja kita. (PMR)


Dewasa ini, golongan remaja dikatakan kurang mempunyai semangat patriotik. Isu ini mendapat perhatian serius daripada pelbagai pihak kerana pembabitan remaja kita dalam kebejatan sosial dan budaya hedonistik begitu cepat merebak umpama virus penyakit. Justeru, prakarsa yang pragmatik perlu diambil
untuk memastikan api semangat patriotik dalam kalangan remaja tidak terpadam dan lenyap begitu sahaja sebelum nasi masih menjadi bubur.
Antara langkah dominan bagi menyuburkan semangat patriotik adalah dengan menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang telah dilancarkan oleh kerajaan. Dalam program ini, para pelajar yang menjadi pelatih dilatih menjadi barisan pertahanan negara supaya mereka sedar akan kekuatan mereka untuk mempertahankan maruah bangsa dan negara. Aktiviti-aktiviti lasak dalam program ini seperti kawat kaki, latihan tembakan dan aktiviti redah hutan dan penerapan nilai-nilai murni serta moral melalui aktiviti berpasukan membantu membina jati diri dalam jiwa anak-anak remaja kita. Dengan ini, golongan remaja kita mampu  mendukung cita-cita rakyat Malaysia untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju.
Selain itu, peranan ibu bapa adalah besar dalam usaha memupuk patriotisme dalam jiwa anak-anak muda kita kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dalam hal ini, ibu bapa haruslah menyemai nilai cinta akan negara dalam jiwa anak-anak sejak kecil lagi dengan menjadi teladan kepada anak-anak. Mereka harus mengibarkan jalur gemilang di rumah sepanjang bulan kemerdekaan supaya anak-anak dapat
menghayati erti kemerdekaan negara. Di samping itu, ibu bapa harus mendidik anak-anak tentang sejarah kemerdekaan negara, kepahlawanan tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan dan keperitan yang dialami oleh nenek moyang kita pada zaman penjajahan. Hal ini amat penting supaya anak-anak remaja kita menyedari kenikmatan kemerdekaan negara dan seterusnya menjadi tonggak negara.
Pemupukan patriotisme dalam kalangan muda-mudi juga dapat dijayakan menerusi sambutan
Bulan Penghayatan Kemerdekaan. Dalam hal ini, sekolah-sekolah di seluruh negara wajar melaksanakan berbagai-bagai program sepanjang Bulan Kemerdekaan untuk menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan pelajar kerana pelajar hari ini ialah pemimpin hari esok. Pihak sekolah boleh menganjurkan
pelbagai pertandingan bertemakan kenegaraan seperti pameran sumbangan tokoh-tokoh pejuang
kemerdekaan, pertandingan penulisan esei berkaitan dengan tokoh negara, pertandingan lukisan
berkonsepkan Satu Malaysia dan pertandingan lagu patriotik. Aktiviti-aktiviti ini secara tidak langsung akan
dapat menyemai semangat patriotik dalam jiwa pelajar-pelajar terutamanya murid sekolah rendah.
Sebagai kesimpulan, semangat patriotik haruslah dipupuk dalam jiwa rakyat negara ini
sejak zaman kanak-kanak. Semangat patriotik amat penting untuk membawa negara ini duduk sama
rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju.

No comments:

Post a Comment