Tuesday 13 September 2011

Bincangkan kepentingan pengurusan masa yang berkesan dalam kehidupan seseorang pelajar. (PMR)


Pengurusan masa bermaksud pembahagian masa dengan betul supaya aktiviti harian seseorang dapat dijalankan dengan baik dan tidak terganggu atau boleh dimaksudkan sebagai pembahagian masa yang cekap. Dewasa ini, kita sering mendengar berita tentang pelajar-pelajar yang terjerumus ke dalam kancah kemaksiatan ataupun penyalahgunaan dadah. Hal ini berlaku kerana pelajar-pelajar ini mudah
terpengaruh oleh anasir-anasir buruk. Pelajar-pelajar yang terlibat dalam kegiatan ini tidak dapat
menguruskan masa dengan cekap, justeru, mereka sering membuang masa dengan sia-sia sahaja. Oleh itu, pengurusan masa yang berkesan amat penting dalam kehidupan seseorang pelajar.
Langkah pertama untuk mengendalikan masa secara berkesan ialah pelajar-pelajar digalakkan menyediakan jadual waktu belajar. Namun begitu, terdapat juga pelajar-pelajar yang menyediakan jadual waktu belajar  persendirian, tetapi tidak mengikutnya. Jadual waktu belajar dapat membantu pelajar-pelajar menguruskan masa secara berkesan supaya mereka mempunyai masa yang mencukupi untuk mengulang kaji pelajaran dengan menyeluruh dan bersiap sedia untuk menghadapi peperiksaan. Hal ini dapat
mengelakkan pelajar-pelajar daripada kesuntukan masa untuk mengulang kaji pelajaran apabila
peperiksaan sudah hampir. Pelajar-pelajar yang berjaya, biasanya terdiri daripada pelajar-pelajar yang membuat persediaan awal, bak kata pepatah sediakan payung sebelum hujan. Manakala, pelajar-pelajar yang tidak membuat persediaan awal kerana suka membuang masa tidak dapat mengulang kaji semua
tajuk sebelum peperiksaan. Oleh itu, pengurusan masa yang cekap memberikan masa yang cukup kepada pelajar-pelajar untuk membuat persediaan awal.
Di samping itu, masa yang terluang hendaklah digunakan untuk aktiviti yang berfaedah dan
membiarkan masa itu berlalu begitu sahaja. Sesungguhnya masa itu amat berharga dan masa yang
terbuang tidak akan dapat dikembalikan, bak kata pepatah masa itu emas. Seandainya, pelajar-pelajar
menguruskan masa dengan cekap, masa yang terluang boleh digunakan untuk melakukan kerja-kerja yang berfaedah seperti membaca novel, membaca majalah ilmiah, membantu ibu bapa di rumah ataupun bersenam dan berekreasi. Dengan membaca majalah ilmiah, pelajar-pelajar bukan sahaja menggunakan masa dengan berfaedah, malah dapat juga menambah ilmu pengetahuan. Dengan bersenam dan
berekreasi pula badan akan menjadi sihat. Oleh itu, masa yang dimanfaatkan banyak memberikan faedah kepada pelajar-pelajar.
Selain itu, sekiranya pelajar-pelajar dapat menguruskan masa dengan cekap, maka pelajar-pelajar dapat meluangkan masa yang berkualiti bersama-sama keluarga. Dengan itu, pelajar bukan sahaja
mempunyai masa yang cukup untuk mengulangkaji pelajaran, malah mempunyai masa untuk menjalankan aktiviti-aktiviti riadah bersama-sama dengan keluarga seperti bersenam, bersiar-siar, menonton televisyen dan sebagainya selain untuk beribadat dan tidur. Pelajar-pelajar juga dapat menghabiskan masa bersama-sama dengan keluarga untuk memupuk rasa kasih sayang serta merapatkan hubungan sesama ahli
keluarga dan seterusnya merealisasikan slogan semakin hari semakin sayang seperti yang diuar-uarkan oleh kerajaan. Hubungan silaturahim antara ahli keluarga akan menjadi lebih erat. Pengurusan masa yang cekap akan dapat mewujudkan keluarga bahagia.




Pengurusan masa yang berkesan juga dapat menanamkan sikap bertanggungjawab dan berupaya mendisiplinkan diri sendiri. Pelajar-pelajar juga berpeluang berdikari dalam menguruskan masa sendiri.
Melalui cara ini, pelajar-pelajar dapat mengamalkan hidup yang berdisiplin dan bermakna. Para pelajar yang mempunyai sifat-sifat terpuji seperti ini akan disanjungi oleh masyarakat. Para pelajar juga dinasihati supaya menggunakan masa cuti sekolah dengan berfaedah. Masa senggang ini boleh digunakan oleh para pelajar untuk membaiki kelemaham dalam pelajaran. Hal ini boleh dilakukan dengan membuat latihan, mencari maklumat di perpustakaan dan menghadiri kelas tambahan. Usaha-usaha ini perlu dilakukan untuk
mencapai kejayaan kerana jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Selain itu, masa cuti
sekolah bertujuan untuk memberikan peluang kepada pelajar-pelajar menenangkan fikiran setelah
bertungkus lumus sepanjang tahun.
Kesimpulannya, sebagai pelajar, kita bukan sahaja perlu berjaya dalam pelajaran malah kita juga perlu berjaya dalam bidang sukan, aktiviti kokurikulum dan agama. Oleh itu, kita perlu menguruskan masa dengan betul supaya aktiviti harian dapat dijalankan dengan berkesan dan seterusnya melahirkan insan yang cemerlang dalam semua bidang selaras dengan Wawasan 2020. Pendek kata dapatlah kita rumuskan bahawa pelajar-pelajar yang pandai menguruskan masa biasanya akan berjaya dalam kehidupan dan mereka juga berani menghadapi cabaran dan rintangan hidup.


5 comments: